,

Masih Ada Sinar Di Raudhatus Sakinah

Terimbau epilog cinta luka yang menjadi pedoman buatku hingga kini. Usai kuliah Usul Fiqh aku mendapat satu mesej daripada ketua naqibahku.

“Assalamualaikum, Sakinah. InshaaAllah ba’da Zohor sekitar pukul 2 petang ada program kat satu tempat ni. Harap enti siap awal. Nahnu tunggu di kantin Ma’had.”

Setibanya di sana, aku memerhati keadaan sekeliling. Sungguh aman dan mendamaikan hati. Rumahnya di atas air mengaitkan panorama kampung yang menambat hati. Ada angsa, ada itik dan ayam di samping tumbuhan-tumbuhan bunga yang memikat hati.

Bersih dan dijaga rapi. Banyak pondok dan buaian disediakan. Suasana yang menenteramkan. Sebaik melangkahkan kaki, kami disambut dengan selawat ke atas Nabi SAW.

Semuanya perempuan berbaju ungu dan bertudung. Melihat fizikal mereka, hatiku terdetik suatu pertanyaan namun kuhiraukan. Memaniskan wajah itu sebaiknya.

Al-Fatihah dibaca sebagai pembuka majlis. Pengusaha asrama tersebut memberi taklimat diikuti sesi taaruf antara kami dan penghuni.

Setelah itu, kami diminta untuk menyampaikan sedikit tazkirah spontan sekitar tiga minit. Aku orang yang kelima. Dalam hati terfikir maudhu’ yang sesuai. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Bismillah. Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah beri kepada kita. Allah sentiasa memberi peluang kepada kita selagi kita masih hidup. Tapi, kita manusia sering lalai dan alpa atas nikmat yang Allah beri pada kita. Dalam surah ar-Rahman kalau kita tadabbur maknanya, sebanyak 31 kali ALLAH ulang فَبِأَيِّ آَلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَان yang bermaksud Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan.”

“Sedangkan Imam As Suyuthi dalam Al-Itqan fi Ulumil Qur`an menjelaskan bahawa pengulangan kalimah ini untuk memantapkan pemahaman dan menekankan betapa pentingnya bersyukur atas nikmat-nikmat itu setelah menyedarinya bahawa ia datang daripada Allah Azza wa Jalla. Macam mana tanda kita bersyukur pada Allah? Dengan solat, zikrullah dan jaga setiap perkara yang Allah kurniakan kepada kita.”

Setelah itu, laungan azan Asar berkumandang. Kami bergegas mengambil wudhuk untuk solat berjemaah.

Kemudian, kami membaca ma’thurat waktu petang beramai-ramai yang diketuai oleh aku sepatutnya, tetapi mereka minta secara baik untuk mengetuai bacaan tersebut. Kami membaca secara berjemaah.

Program diteruskan dengan aktiviti yang menghiburkan. Sedang asyik bermain, kedengaran suara tangisan bayi di suatu sudut. Kelihatan seorang wanita yang masih dalam pantang terduduk tidak menghiraukan tangisan bayi itu.

Benar, ibunya tidak mahu menyusukan anaknya itu. Pengusaha asrama mendekatinya memujuk si ibu agar menyusukan anaknya yang masih dalam hari. Aku sekadar memerhati. Menginsafi diri.

Pelbagai permainan dijalankan. Aku turut serta dalam sebuah kumpulan. Sambil itu, aku turut mengambil kesempatan untuk lebih mesra dengan mereka. Asalnya, aku takut untuk mendekati. Mentaliti. Namun, kucuba gagahkan diri menghampiri.

“Sofea (bukan nama sebenar) umur berapa?” Aku mula meramahkan diri.

“18 tahun. Ni kak Sakinah kan?” Sofea cuba meneka.

“Yup. Pandailah. Terharu ada yang ingat nama saya.”

“Umur kak Sakinah berapa? Nampak muda dari yang lain.”

“Akak tua dah. Badan je kecil tapi umur dah angka besar. Lepas SPM buat apa?” Aku cuba mengubah topik perbualan.

“Kerja kilang je. Mak yang suruh. Mulanya nak kerja tadika. Mak tak bagi. Tu yang jadi macam ni.” Dia menunjukkan perutnya yang semakin membesar.

“Sofea, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Manusia tu tak sempurna Sofea.”

“Tapi kak Sakinah, saya sedih sangat. Saya benci lelaki. Saya dah tak suci lagi.” Sofea memperlahankan suara dalam nada yang penuh tegas.

“Sofea bertaubatlah kepada Allah. Masih ingat lagi tazkirah yang akak sampaikan tadi? Berubah kepada yang lebih solehah bahkan jauh lebih baik daripada akak. Akak pasti dan pasti, setiap pendosa ingin masuk ke syurga.” Air mataku jatuh berguguran.

Sejujurnya, aku tidak pasti sama ada aku kuat sepertinya atau sebaliknya. Aku hanya mampu berkata-kata, tapi, golongan sebeginilah yang menanggung deritanya. Walaupun usiaku hampir sebaya dengannya. Dia terpaksa harungi onak di luar sana ketika masih muda.

Tepat jam 7 petang, kami bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Semasa menunggu giliran, aku mendekati wanita yang masih berpantang itu. Sedikit sebanyak aku dapat mengenali dirinya.

Umurnya 24 tahun dan nama bayinya Umar Rayyan dan Uqashah Risya. Ramai juga sahabatku yang mendekati ibu yang bertuah itu. Ibu itu barangkali tersentuh apabila kami mengerumuni anaknya yang comel itu.

Kembar sepasang yang sangat disenangi ramai. Ibunya dengan perlahan mengambil bayi lelaki itu lalu menyusukannya dengan penuh kasih.

Aku terus bergegas mengambil wudhuk memandangkan azan Maghrib sudah hampir masuk. Aku duduk bersimpuh dalam satu bulatan. Pada masa yang sama, beberapa biji kurma dan buah tembikai telah disediakan untuk berbuka puasa.

Selesai solat Maghrib berjemaah, kami makan nasi bersama-sama dalam satu dulang di luar rumah. Pelbagai juadah disediakan. Penuh perut kami malam itu.

Tambahan pula, suasana yang berangin pada sepuluh malam terakhir Ramadhan menggamit ketenangan di bawah khemah yang disediakan. Kami bercerita dan bergelak ketawa menghiasi suasana.

Masa itu emas. Memang kami manfaatkan sebaiknya untuk mengeratkan silaturrahim. Nombor telefon turut diberi untuk saling berhubung kembali.

Azan Isyak sudah bergema. Kami mempersiapkan diri sebaiknya. Solat Isyak dan Terawikh secara berjemaah yang diimamkan oleh pihak kami sendiri iaitu Ustaz Dzaki.

Selesai solat Terawikh 8 rakaat ditambah Witir 3 rakaat, kami dijemput untuk minum malam. Bubur jagung kegemaranku. Sempat juga mereka memberi bungkusan bubur jagung sebagai buah tangan daripada mereka.

Alhamdulillah atas nikmat yang Allah kurniakan. Sebelum mengundurkan diri, aku memeluk mereka seorang demi seorang dan menyampaikan pesanan kepada mereka iaitu jaga solat 5 waktu dan ingat Allah sentiasa.

Tangisan pemergian turut mengalir laju di pipiku. Walaupun sementara, tapi penuh dengan makna. Semoga mereka kuat menghadapi masyarakat di luar sana. Amin.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda : “Ajarilah wanita dengan cara yang sebaiknya kerana sesungguhnya perempuan itu daripada tulang rusuk lelaki. Jika engkau meluruskannya secara paksa, nescaya ia akan patah dan jika engkau membiarkannya, ia akan bengkok. Oleh itu, nasihatilah perempuan dengan cara yang sebaiknya.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sakinah. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%