,

Kenapa Manusia Sering Risau Berkaitan Soal Rezeki?

Manusia di dalam hidup mereka akan ada kerisauan tertentu. Dan kerisauan yang paling menghantui mereka adalah berkaitan rezeki.

Apabila kita tersedar dari tidur apa yang kita fikirkan?

Ya rezeki. Apabila kita berbual dengan orang sekeliling kita maka tajuk yang banyak mengambil tempat dalam perbualan tersebut adalah berkaitan rezeki.

“Hang kerja di mana?”

“Tender projek kat sana baik harganye.”

“Tengah hari ni nak makan apa?”

… dan pelbagai lagi tajuk perbualan yang mana ia sebenarnya menunjukkan kerisauan kita terhadap rezeki.

Jika kita menilai kembali dalam hal ini maka kita dapati ia memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan insan.

Malapetaka Yang Menimpa Jiwa-Jiwa Manusia

Daripada seorang ayah yang merancang pelajaran anaknya kepada orang jalanan di tengah bandaraya.

Mereka ini dalam setiap langkah kehidupan mereka, perkara utama yang diambil kira dalam setiap perancangan itu mesti berkaitan dengan maslahat mencari rezeki.

Seorang ayah yang menghantar anaknya ke universiti untuk apa? Supaya anaknya menjadi orang yang berkedudukan tinggi dan memperolehi rezeki yang banyak.

Seorang gelandangan pergi ke seluruh pelusuk bandar untuk mencari apa? Rezeki. Dan kita dapat melihat solat sunat dhuha yang paling popular dalam kalangan kita kerana ia berkaitan dengan rezeki. Bukannya salah tetapi itulah hakikatnya.

Bahkan jika kita melihat masyarakat yang percaya akan tok bomoh, tok pawang, pelaris, tangkal dan lain-lain lagi semuanya berkaitan dengan rezeki.

Hinggakan mereka sanggup melakukan perkara khurafat demi menjamin rezeki mereka.

Hakikatnya, perihal rezeki telah mengubah manusia dalam banyak perkara, perbuatannya, percakapan, malah ia boleh mengubah akidah mereka.

Hatta jika kita melihat pada akhir zaman ketika mana dajjal mendatangi manusia, ketika itu dajjal mengumpan manusia dengan perihal rezeki untuk menyesatkan manusia yang tidak percaya bahawasanya hal rezeki itu adalah urusan Allah SWT.

Daripada Abi Umamah Al-Bahiliy apabila menceritakan khutbah Rasulullah SAW tentang dajjal, antaranya:

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

Dan ini merupakan malapetaka yang besar yang menghantui jiwa-jiwa manusia.

Rezeki itu Di Dalamnya Ada Jaminan Allah SWT

Sesungguhnya penciptaan manusia di dunia ini ada misi dan matlamatnya. Ada perkara yang perlu dilunaskan oleh mereka.

Sesungguhnya misi utama manusia diciptakan di dunia ini adalah sebagai hamba yang tidak lain hanyalah beribadat kepada Allah SWT seperti mana firmanNya dalam Surah Az-Zariyat 56:

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.”

Dan hendaklah kita tahu bahawasanya kita sebagai muslim mempunyai wasiat agung yang perlu dilaksanakan, wasiat yang mana dikongsi bersama semua para Rasul yang diutuskan kepada kita, manusia. Wasiat itu adalah:

“Tegakkanlah agama dan janganlah berpecah belah dalamnya…” (Surah asy-Syura: 13)

Malangnya dek kerana kerisauan mereka terhadap rezeki, mereka mula memalingkan matlamat utama mereka daripada menjadi hamba Allah SWT kepada hamba yang bermatlamat kepada kekayaan dunia yakni berkaitan rezeki.

Walhal mereka lupa bahawasanya rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sebelum mereka diciptakan lagi. Dan Allah SWT menyatakan jikalau hambanya itu bertakwa kepadaNya, maka Allah SWT akan mencukupkan rezekinya.

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya (rezekinya).” (Surah At-Talaq ayat 2-3)

Lihat sejarah khalifah yang agung dalam sejarah umat Islam, Umar Bin Abdul Aziz ketika beliau di penghujung usianya, orang-orang bertanya kepada beliau: Apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?!” 

Umar bin ‘Abdul Aziz pun menjawab:

“Aku meninggalkan untuk mereka ketakwaan kepada Allah… Jika mereka adalah orang-orang yang soleh, maka sesungguhnya Allah adalah wali (pelindung) bagi orang-orang yang soleh… Jika mereka bukan orang yang soleh, maka tidak akan aku tinggalkan sedikitpun yang membantu mereka bermaksiat kepada Allah…”

Apabila kerajaan Umaiyyah jatuh, semua anak Umar Bin Abdul Aziz menjadi kaya raya tetapi sebaliknya yang berlaku kepada anak khalifah Umaiyyah yang lain walhal mereka mewarisi harta kekayaan yang banyak.

Lihat bagaimana Allah SWT memelihara rezeki orang yang soleh.

Rezeki Merupakan Hak Mutlak Allah SWT

Lihat usluk al-Quran yang menyatakan bahawasanya rezeki itu bukanlah daripada bumi tetapi ia daripada langit. Ini bagi menunjukkan bahawasanya urusan rezeki ini adalah hak mutlak Allah SWT.

FirmanNya dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 22:

“Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”

Jika kita mengetahui hakikat ini maka kita akan lebih tenang dalam hal rezeki kerana mereka tahu Allah SWT itu Al-Rahman dan Ar-Rahim terhadap hambaNya.

Tetapi jika mereka tidak mempercayai urusan rezeki itu adalah daripada Allah SWT maka kita melihat berapa ramai yang sanggup menjadikan dirinya hamba kepada orang lain dek kerana hal rezeki.

Kerana dia meyakini rezekinya itu terikat dengan orang-orang tertentu walhal dia lupa bahawasanya rezeki yang orang-orang yang dia harapkan itu juga hadir daripada Allah SWT.

Bahawasanya hal rezeki ini telah menjadikan manusia itu sempit jiwanya kerana takut kepada manusia yang lain.

Lihatlah antara doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW selepas solat supaya kita tahu segala pemberian di dalam kehidupan kita ini adalah hak mutlak Allah SWT:

“Ya Allah tidak ada siapa yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau halang dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripada Mu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat tercela Dalam Diri Manusia

Manusia di dalam diri mereka itu sifat sentiasa menginginkan lebih sama ada dalam hal kebaikan dan keburukan.

Tetapi manusia itu ada kecendungan mereka. Allah SWT menyatakan manusia itu sifatnya zalim dan jahil terhadap diri mereka.

Walaupun mereka tahu sifat-sifat itu akan membinasakan mereka kelak tetapi untuk membebaskan jiwa mereka daripada sifat-sifat itu memerlukan peperangan jiwa yang panjang dan satu tribulasi yang memenatkan.

Antara sifat tersebut adalah sifat tamak dalam bab rezeki. Rasullulah SAW bersabda:

“Andai kata anak Adam itu telah mempunyai harta benda sebanyak dua lembah emas, mereka masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi perutnya sampai penuh melainkan hanya tanah (maut).” (Hadis riwayat Muslim)

Lihat bagaimana tamaknya kita, walaupun kita mempunyai rezeki yang orang kata, “Tak habis 7 keturunan” tetapi sifat qanaah dengan rezeki Allah SWT masih tiada.

Mereka itu sentiasa inginkan lebih dan lebih walhal di sisi mereka itu dikurniakan kelapangan rezeki. Golongan seperti ini kaya zahirnya tetapi miskin jiwanya.

Lihatlah Burung

Allah SWT menciptakan alam ini tentunya jika kita merenung dan memerhati ciptaanNya, nescaya kita memperolehi manfaat daripadanya.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya melihat dan mengambil manfaat daripada alam ciptaan Allah SWT termasuk haiwan yang bernama burung.

Ini kerana ia merupakan suatu kemuliaan bagaimana makluk Allah SWT itu tenang dengan rezekinya. Daripada Umar bin Khattab RA., ia berkata, Rasulullah SAW. bersabda:

“Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, niscaya kalian diberi rezeki, sebagaimana burung mendapatkan rezeki, ia pergi di pagi hari dengan perut kosong dan pulang di petang hari dengan perut yang kenyang.” (Hadith riwayat Tirmizi)

Burung pada sisinya itu tiada kerisauan berkenaan rezeki, kerana ia mempunyai sifat kebergantungan yang penuh kepada Allah SWT.

Walaupun ada hari yang mana ribut melanda, hujan yang berpanjangan, dan kemarau yang teruk, hakikatnya Allah SWT menjamin rezeki seekor burung. Kita seharusnya mempunyai hati seperti burung. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

“Akan masuk syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung.” (Hadith riwayat Muslim)

Sebahagian ulama menyatakan barangsiapa yang tidak percaya akan rezeki pemberian itu daripada Allah SWT, sebenarnya dia tidak percaya akan kewujudan Tuhan.

Oleh itu, letaklah kebergantungan yang sepenuhnya kepada Allah SWT dalam hal rezeki nescaya kita akan dapati diri kita akan bebas dalam banyak perkara dan ia akan membentuk diri kita insan yang kaya dengan jiwa yang besar.

Dan itulah rezeki yang agung. Benarlah apa yang nukilkan oleh Abu Hurairah, disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Bukanlah kekayaan itu lantaran banyaknya harta, kekayaan itu adalah kekayaan jiwa.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Merupakan pelajar tahun akhir Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%