,

Mana Lagi Nikmat Tuhanmu Yang Ingin Kau Dustakan? (bahagian 2-akhir)

Apabila hati kita dilimpahi dengan rasa syukur, maka jiwa kita akan dapat menerima apa sahaja keadaan. Kita juga akan berasa cukup dengan apa yang telah kita perolehi.

Berasa cukup bukanlah bermaksud kita berhenti terus daripada melakukan sesuatu pekerjaan dan terus berpuas hati, tetapi kita berasa cukup untuk apa yang telah kita perolehi dan berazam untuk berusaha mendapatkan apa yang belum kita perolehi.

Walaupun Qanaah membawa maksud yang luas, sekurang-kurangnya Qanaah mendidik seseorang itu menjadi seorang yang penyabar untuk menerima ketentuan Ilahi dengan penuh ikhlas.

Dalam masa yang sama, apabila seseorang diberi oleh Allah SWT kesenangan yang lebih, sekurang-kurangnya Qanaah dapat mendidik seseorang itu menjadi manusia yang pandai bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT pinjamkan.

Mereka yang memiliki sifat Qannah ini akan menyedari bahawa nikmat yang telah dipinjamkan oleh Allah SWT itu, boleh sahaja ditarik daripadanya kembali pada bila-bila masa sahaja.

Seseorang yang tidak memiliki sifat Qanaah boleh kita kenali melalui sikapnya yang mudah berputus asa dan cepat menyalahkan takdir. Hidupnya sentiasa diselubungi dengan ketakutan dan kebencian.

Akhirnya membawa seseorang itu kepada buruk sangka kepada Allah SWT. Nauzubillah…

Lebih baik seseorang itu memerdekakan fikirannya dan meneguhkan hatinya seterusnya bertawakal lalu berdoa kepada Allah SWT dengan mengharapkan pertolongan yang berterusan daripada Allah.

Tidak mungkin dan mustahil bagi Allah SWT bersifat zalim dan kejam terhadap makhluknya sedangkan makhluknya itu meletakkan Dia (Allah SWT) sebagai tempat bergantung semata-mata.

Pernah seorang pelajar mengeluh dengan nasibnya sendiri, kenapa Allah SWT tidak menjadikannya sebagai seorang cemerlang dalam pelajaran…?

Rupa-rupanya ada nikmat lain yang ingin Allah SWT berikan kepadanya iaitu kesembuhan daripada penyakit barah otak yang selama ini dia alami tanpa dia sedari.

Manakah yang lebih baik antara tidak memiliki pengiktirafan sebagai pelajar yang cemerlang dengan seorang yang mengalami derita barah otak sepanjang hayat?

Apabila kita berusaha untuk menggapai kejayaan, jangan sekali-kali lupa untuk kita mengucapkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dan berilah penghargaan ke atas usaha yang telah kita lakukan.

Walaupun hanya kejayaan yang kecil, namun disebabkan kita sudah terbiasa mensyukuri dengan nikmat yang kecil ini, tidak susah untuk kita mensyukuri dengan nikmat besar yang Allah bakal kurniakan kepada kita.

Tetapi, jika kita merasakan bahawa kejayaan kecil itu tiada apa-apa nilai bagi kita, tidak mustahil kita akan merasakan kita gagal selama-lamanya.

Di sini, sukalah untuk saya kongsikan bersama pembaca sekalian ‘resepi’ agar ‘cukup rasa’ dengan nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.

Pertama, pujuk hati agar sentiasa mensyukuri akan nikmat Allah. Adakalanya hati kita keras… Ada kalanya hati kita mati. Perkara inilah yang menghalang untuk kita berasa syukur dengan nikmat Allah. Hati sedemikian perlu di’rebus’ agar menjadi ’empuk’.

Oleh itu, hati yang sedemikian perlu ‘dihangatkan’ dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, bersahabat dengan orang yang soleh serta rajin menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu.

Kedua, setelah hati tersebut cukup ’empuk’, ‘taburkan’ sebanyak-banyaknya lafaz zikir dan istighfar (memohon ampun) dengan menggunakan lidah yang telah diberikan secara percuma oleh Allah SWT.

Berzikirlah dalam apa jua keadaan. Mungkin sambil mengikat tali kasut, menunggu lampu isyarat daripada merah berubah ke hijau atau sebaiknya setiap kali selepas mengerjakan solat.

Dan yang ketiga, gaul ‘hidangan’ tersebut dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT serta elakkan daripada ‘tercampur’ dengan amalan-amalan yang dilarang oleh Allah SWT.

Akhir sekali, setelah semuanya ‘sebati’, hiasilah ‘hidangan’ tersebut dengan melakukan seberapa banyak kebaikan.

Antaranya adalah dengan menyalurkan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke arah kebaikan dan mampu membawa manfaat kepada masyarakat. Setidak-tidaknya kalau bukan dalam bentuk harta, mungkin dalam bentuk tubuh badan yang sihat. Siap…

Mudah, bukan? InsyaAllah, walaupun nampak ringkas, namun ‘kelazatannya’ amat mengagumkan!

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya manusia itu diberi dua lembah yang berisi dengan harta, nescaya dia menginginkan lembah yang ketiga. Sedangkan yang memenuhi perut manusia kelak hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi sesiapa yang mahu bertaubat.” (Hadith riwayat Bukhari)  

Akhir kata, sesungguhnya rasa cukup mampu untuk menjadikan seseorang yang miskin menjadi kaya dan rasa tidak cukup mampu menjadikan seseorang yang kaya menjadi miskin…

WaAllahua’lam…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Dzulhilman bin Roslan. Berasal dari Kuala Lumpur dan menetap di Terengganu. Berkelulusan ijazah sarjana muda Kewangan & Perbankan Islam, UUM Sintok. Berpengalaman menjadi penulis dan juga editor syariah di Ana Muslim. Kini, bekerja sebagai Timbalan Penguasa Penjara.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%