,

Mana Lagi Nikmat Tuhanmu Yang Ingin Kau Dustakan? (bahagian 1)

Siapa yang tidak berasa cemburu melihat sahabat kita sendiri yang sekuliah dengan kita sewaktu belajar dahulu, tetapi hari ini menjadi pegawai yang bergaji lebih besar daripada kita?

Siapa yang tidak cemburu melihat orang lain mempunyai kelebihan dan kebolehan yang lebih daripada kita?

Pastinya akan ada rasa sekelumit cemburu dengan kejayaan dan kebahagiaan yang mereka kecapi apabila dibandingkan dengan diri kita sendiri.

Namun, sayangnya… Kita jarang menilai dan bermuhasabah terhadap diri kita sendiri. Kita sentiasa akan berasa tidak cukup dengan apa yang telah kita miliki.

Setiap kali kita melihat ada insan-insan lain yang memiliki lebih daripada kita, kita akan cepat berasa cemburu dan berburuk sangka…

Yang menyedihkan lagi, terbawa-bawa kepada hasad dengki dan dendam. Nauzubillah… Semoga kita terhindar daripada terus-menerus tergolong bersama golongan yang sedemikian.

Selama ini, pernahkah kita terfikir bahawa ada juga sahabat kita yang kurang bernasib baik daripada kita, juga berasa cemburu atas pencapaian dan kelebihan yang kita miliki pula?

Perkara sebeginilah yang perlu kita renungi, sejauh mana Qanaah kita terhadap nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita sepanjang hidup kita.

Tidak dinafikan, ramai manusia yang memiliki harta yang melimpah ruah namun tidak dikuriakan oleh Allah SWT sifat yang mulia.

Ramai juga manusia yang memiliki pangkat dan darjat yang tinggi-tinggi, namun tidak diangkat oleh Allah SWT dengan keperibadian seorang yang benar-benar berpakaian dengan ‘pakaian’ muslim yang sejati.

Pernah saya berjumpa dengan seorang jutawan yang memiliki kekayaan yang melimpah ruah.

Apabila bercerita tentang harta kekayaannya, dia sering mengatakan, “Ini bukan saya punya, Allah yang punya…” Mungkin inilah yang menjadi salah satu faktor rezeki yang dimiliknya semakin melimpah ruah.

Sehinggalah suatu hari, dia telah diuji oleh Allah SWT, negara kita mengalami krisis ekonomi yang amat kritikal sehingga menjejaskan perniagaannya.

Namun, sedikit pun dia tidak mengeluh, bahkan mampu terus untuk mengukirkan senyuman. Bibirnya tidak pernah lekang mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

Semakin kritikal masalah kewangan yang dia alami, semkin banyak dia korbankan hartanya untuk disedekah dan disumbangkan kepada orang yang susah. Terutamanya kepada pekerja-pekerja di bawah tanggungannya.

MasyaAllah… Inilah ciri-ciri yang dianjurkan dalam Islam. Menganggap segala apa yang dimilki adalah milik mutlak Allah SWT, kita hanya meminjam sahaja.

Hebatnya lagi adalah, masih mampu mengucapkan syukur dan reda apabila harta yang dimiliki semakin berkurangan atau diambil orang.

Untuk menjadi seorang muslim yang sejati, kita seharusnya memiliki sifat Qanaah. Tidak kiralah sama ada kita terdiri daripada golongan yang sederhana mahupun elit ataupun golongan bawahan mahaupun atasan. Kita harus memiliki sifat Qanaah.

Apa itu Qanaah? Qanaah bermaksud puas dan berasa cukup dengan apa yang telah kita miliki. Qanaah juga membuatkan seseorang itu berlapang dada dengan rezeki yang telah Allah SWT kurniakan kepadanya tanpa rasa tamak dan cemburu dengan rezeki yang telah orang lain terima.

Walaubagaimanapun, mereka yang memiliki sifat Qanaah ini, tidak lupa untuk terus berusaha sedaya upaya bagi memperbaiki dan mempertingkatkan taraf kehidupannya dengan cara yang luhur, murni dan bersederhana.

Apabila seseorang itu tidak memahami erti sebenar apa yang dimaksudkan dengan Qanaah, mereka akan beranggapan bahawa agama Islam mendidik agar umatnya menjadi manusia yang malas berusaha dan berserah bulat-bulat dengan nasib semata-mata.

Ditegaskan di sini bahawa tanggapan sedemikan adalah satu tanggapan yang jelas meleset dan salah.

Menjadi suatu kesalahan apabila seseorang bertanggapan bahawa Qanaah ialah menerima sahaja apa yang ada dan tidak lagi perlu untuk melakukan sebarang ikhtiar.

Menjadi suatu kesalahan apabila seseorang itu bertanggapan bahawa Qanaah hanya mementingkan akhirat semata-mata dan langsung tidak mempedulikan dunia.

Ketahuilah bahawa Qanaah yang hakiki terletak pada hati. Islam tidak melarang umatnya untuk menjadi kaya dan hidup dalam kemewahan selagi sumber yang diperolehi daripada sumber yang halal dan baik.

Dalam masa yang sama, tidak lupa untuk menyalurkan sebahagian daripadanya kepada mereka yang berhak dengan cara bersedekah, berzakat dan sebagainya. Itulah yang diamalkan oleh para sahabat di zaman Rasulullah SAW.

 

> bersambung Mana Lagi Nikmat Tuhanmu Yang Ingin Kau Dustakan? (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Dzulhilman bin Roslan. Berasal dari Kuala Lumpur dan menetap di Terengganu. Berkelulusan ijazah sarjana muda Kewangan & Perbankan Islam, UUM Sintok. Berpengalaman menjadi penulis dan juga editor syariah di Ana Muslim. Kini, bekerja sebagai Timbalan Penguasa Penjara.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

-1 points
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 100.000000%