,

Mahligai Ketakwaan (nasyid)

Setiap manusia meniti jalan juang masing-masing. Ada mahasiswa yang bergelut dalam lautan ilmu, ketua keluarga yang mencari nafkah, dan cendiakawan penegak kebenaran.

Tak lupa juga yang bergelar ahli-ahli teori dan praktikal yang berjuang dalam bidang ekonomi – mengumpul harta negara, bidang politik – mentadbir rakyat, dan bidang sosial – membangun bangsa daripada segi pendidikan, kesihatan, pertahanan serta banyak lagi.

Namun begitu, apakah yang menjadi kayu ukur yang dapat digunakan dalam meniti arus perjuangan tersebut?

Satu mekanisma yang wujud dalam hati sanubari agar pekerjaan yang terlaksana adalah ikhlas dan diterima oleh Allah SWT.

Jawapannya adalah apabila insan itu menjadi seorang bertakwa.

Takwa menurut Syeikh Abdul Samad Al-Falimbangi adalah melakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauh segala yang larang.

Firman Allah yang bermaksud :

“Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Imran: 76)

“…dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 194)

“Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.”(Surah Al-Araf: 127)

Bayangkan jika seorang penuntut ilmu tiada sifat takwa? Pasti dia bermalas-malasan dan berniat mencari ilmu hanyalah untuk keuntungan duniawiah sahaja.

Begitu juga dengan pemimpin yang hilang akhlak takwa, pasti hawa nafsu, tamak haloba, menyeleweng dan sebagainya menjadi makanan ruji.

Sifat takwa adalah limpahan Allah yang khusus kepada hamba-hamba-Nya, tetapi dengan syarat orang itu wajib mujadahah (berjuang dengan bersungguh-sungguh) dan istiqamah (berterusan).

Laluan mujahadah itu sangat pahid yang menyeksakan. Dihalang pagar-pagar berduri, dihunjam tombak-tombak tajam, bersimpang haluan dan penuh jerat tipu daya.

Bayangkan seorang penuntut ilmu yang diuji dengan jadual kuliah yang padat, dipandang enteng oleh masyarakat, tersalah adab dan sebagainya. Cukup mencabar.

Tetapi yang menyelamatkan kita adalah istiqamah. Istiqamah dalam melaksanakan ibadah yang wajib dan perbanyakkan amalan yang sunat.

Tambahan, istiqamah juga digelar sebagai al-karamah al-maknawiyah atau kurniaan Allah secara hakikatnya.

Syeikh Salamah al-‘Uzami ada menyebutkan dalam kitab Tanwirul Qulub halaman 49:

“Kekeramatan itu ialah istiqamah atas syariat Nabi Muhammad pada batin dan zahir sepanjang masa dan dalam hal keadaan apa sekali pun.”

Bererti hamba Allah itu tetaplah sentiasa istiqamah dalam bertakwa pada zahir dan batin sehingga terbuka hijab (halangan) hati sehingga dia dapat menguasai diri dan menentang kehendak hawa nafsu dan dapat pula mengukuhkan keimanan.

Dapat disimpulkan di sini, takwa menjadikan kita lebih berakhlak dalam apa berfikir dan bertindak.

Sekaligus kejayaan yang dicita-citakan untuk membangun kembali peradaban Islam dapat dilaksana sekali gus membawa pulangan yang besar di Hari Perhintungan kelak.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 7

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 85.714286%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 14.285714%