, ,

Lukisan Jiwa

lukisan jiwa

Dalam satu kem motivasi, setiap pelajar dibekalkan dengan sehelai kertas lukisan. Mereka dikehendaki melukis wajah orang kesayangan. Masa yang diberi adalah 10 minit.

“Siapa yang ingin berkongsi lukisan dia?” tanya Motivator.

Bingkas bangun seorang pelajar lelaki. Segak bergaya orangnya. Dia bercerita tentang ayah. Dia kagum dan menjadikan ayahnya sebagai sumber inspirasi.

Kemudian bangkit seorang pelajar perempuan berkisah tentang ibunya. Wanita yang menyinari hidupnya siang dan malam. Siapa yang tidak sayang ibu?

“Ada sesiapa lagi yang ingin bercerita?” Motivator kembali mengambil mikrofon.

Dewan sunyi.

“Hmm…awak di hujung sana…ingin berkongsi?”. Motivator menunjukkan tangan ke hujung dewan. Pelajar itu nampak sedikit malu. Dia berdiri perlahan. Wajahnya masih tunduk ke bawah. Dia mengangkat lukisannya untuk ditunjukkan kepada hadirin.

Lukisannya kosong.

Hadirin mula bergelak sakan. Ada yang mentertawakan pelajar ini. Ada yang mengeji kononnya dia tidak pandai melukis.

Pelajar ini diam sahaja. Motivator mendekati pelajar ini. Dia melihat mata pelajar ini berkaca. Hanya menanti saat untuk ianya pecah dah mengalir.

“Boleh beritahu Cikgu kenapa kamu tidak melukis?” pujuk Motivator.

Pelajar ini mengangkat kepalanya. Dia melihat ke dalam mata sang Motivator. Dia sedang mengumpul kekuatan untuk menzahirkan apa yang terpendam.

“Saya…saya…”. Suaranya terhenti. Sukar sekali untuk dia meneruskan bicara.

Motivator mendiamkan diri sambil terus mengukir senyuman. Dia ingin memberi semangat kepada pelajar ini.

“Saya mahu melukis wajah ibu dan ayah. Saya sangat sayangkan mereka. Tapi saya TIDAK pernah berjumpa mereka. Mereka sudah tiada sejak saya dari kecil”.

Tiba-tiba seluruh dewan sunyi sepi. Semua terkesima. Ada yang mula rasa bersalah kerana mentertawakan pelajar ini tadi.

Motivator memeluk erat pelajar itu. Lukisan itu bukan kosong. Lukisan itu lukisan jiwa.

“Demikianlah wahai anak muridku..jangan sesekali kita memandang rendah seseorang. Dan jangan juga kita terlalu asyik mempedulikan orang di sekeliling..”

Sang Guru menutup bicara petang itu. Kami semua mengesat air mata. Cerita ini dalam sungguh maknanya.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%