, ,

Letakkan Dunia Di Tangan Akhirat Di Hati

Doa Abu Bakar r.a: “Jadikanlah kami kaum yang memegang dunia dengan tangan kami, bukan hati kami.”

Dan doa sahabat Umar Al-Khattab: “Ya Allah, tempatkanlah dunia dalam genggaman tangan kami dan jangan kau tempatkan ia di lubuk hati kami.”

Sesusah mana pun seseorang itu menjalani kehidupan di dunia, dia mungkin masih juga memilih untuk terus berada di dunia.

Jika diberikan pilihan dengan kematian saat ini juga, pasti rata-rata akan berfikir dua kali untuk memilih kematian. Kerana apa?

Kerana mereka sudah disajikan dengan nikmat dunia – kebebasan bernafas, makanan yang lazat di dunia; bahkan ada yang dilimpahi kemewahan yang tiada tolok bandingnya dengan orang lain.

Namun, pernahkah kita berhenti sejenak dan berfikir – dunia ini hanyalah sementara. Dunia ini pinjaman daripadaNya.

Segala apa yang kita nikmati hari ini hanyalah secebis jika dibandingkan dengan nikmat syurgaNya kelak.

Apabila tiba saatnya untuk kita meninggalkan dunia ini, segala nikmat dan harta kemewahan yang kita miliki sebelum ini takkan kita bawa bersama. Yang ada hanyalah selembar kain kafan dan amal kita di dunia.

Sesungguhnya dunia ini adalah jalan, akhirat itu matlamat dan tujuan yang sebenar-benarnya. Dunia ini hanyalah persinggahan sementara sebelum kita tiba di perkampungan akhirat.

Tak salah untuk menghargai nikmat dunia selagi mana kita tahu dan tidak meminggirkan akhirat.

Kerana apa? Kerana kita adalah khalifah di bumi Allah, dan kita ada tanggungjawab untuk menghadapi dunia dalam perjalanan menuju akhirat.

Suatu hari Umar Al-Khattab berkunjung ke rumah Rasulullah S.A.W. Beliau mendapati Rasulullah Saw sedang berbaring di atas selembar tikar.

Setelah masuk dan duduk di samping Rasulullah, Umar Al-Khattab tersedar bahawa tidak ada apa-apa yang menjadi alas tidur Rasulullah selain selembar tikar dan sehelai kain. Beliau mampu melihat dengan jelas bekasan tikar pada kulit tubuh Rasulullah.

Umar Al-Khattab terus mengamati keadaan rumah Rasulullah S.A.W. Sangat sederhana. Di satu sudut rumah terdapat sebekas gandum. Di dindingnya tergantung selembar kulit yang sudah disamak. Umar menitiskan air mata melihatkan kesederhanaan manusia yang mulia itu.

“Mengapa Engkau menangis wahai Ibnu Khattab?” Tanya Rasulullah.

“Ya Rasulullah, bagaimana aku tidak menangis melihat bekasan tikar di badanmu dan rumah yang hanya diisi barang-barang itu. Padahal Kisra dan Kaisar hidup dalam gelumang harta kemewahan. Engkau adalah Nabi Allah, manusia pilihan. Seharusnya engkau jauh lebih layak mendapatkan kemewahan yang lebih.”

Lalu jawab Baginda, “Wahai Ibnu Khattab, apakah engkau tidak redha, kita mendapatkan akhirat, sedang mereka hanya mendapatkan dunia?”

*****

Kita hanyalah musafir di dunia fana ini. Segala apa yang kita lakukan di dunia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Hatta sekecil perbuatan membeli jarum sekalipun.

Kita akan disoal dari mana datangnya wang yang kita gunakan untuk membeli jarum itu, dan apa tujuan jarum itu dibeli. Adakah digunakan ke arah kebaikan dan membawa manfaat untuk orang lain atau sebaliknya?

Daripada Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah,

“Ambillah dari dunia ini apa yang halal untukmu, jangan kau lupakan bahagianmu dari dunia. Namun jadikanlah dunia itu berada di tanganmu saja, jangan kau jadikan berada di dalam hatimu. Ini yang terpenting.” (Syarh Riyadhus Shalihin)

Pernah dengar kisah mengenai Mush’ab bin Umair? Seorang pemuda di zaman Rasulullah S.A.W. Beliau merupakan pemuda yang paling tampan dan kaya raya di kota Mekah. Namun, ketika Islam datang, beliau meninggalkan kemewahan dunianya demi kebahagiaan akhirat.

Ibu dan ayah Mush’ab bertindak mengurung Mush’ab selama beberapa hari dengan harapan bahawa Mush’ab akan meninggalkan Islam.

Namun usaha itu tidak sedikitpun melemahkan keyakinan Mush’ab terhadap Islam. Setelah beberapa hari hukuman itu tidak membuahkan hasil, akhirnya Mush’ab dibebaskan buat sementara waktu.

Suatu hari Mush’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi, lalu beliau bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala untuk tidak makan dan minum sehingga Mush’ab meninggalkan Islam.

Lalu jawab Mush’ab, “Wahai ibuku, andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa itu keluar satu persatu, nescaya aku tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.”

Lemah si ibu mendengarkan kata-kata anaknya. Dengan jawapan tersebut juga, Mush’ab dihalau keluar dari rumah ibunya. Maka Mush’ab pun tinggal bersama Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabat yang serba daif ketika itu.

Zubair bin al-Awwam mengatakan, “Suatu ketika Rasulullah S.A.W sedang duduk dengan para sahabatnya di Masjid Quba, lalu muncullah Mush’ab bin Umair dengan kain burdah (sejenis kain yang kasar) yang tidak menutupi tubuhnya secara penuh.

Mereka pun menunduk. Mush’ab mendekat dan mengucapkan salam. Mereka menjawab salamnya. Lalu Nabi S.A.W memuji dan mengatakan hal yang baik-baik tentangnya. Dan beliau bersabda,

“Sungguh aku melihat Mush’ab tatkala bersama kedua orang tuanya di Mekah, mereka memuliakannya dan memberinya pelbagai kesenangan dan kenikmatan.

Tidak ada pemuda Quraisy yang sama dengan dirinya. Dan dia meninggalkan kenikmatan itu demi cintanya kepada Allah dan RasulNya”.” (Hadith Riwayat Hakim)

Tak salah untuk kita menikmati kemewahan dan nikmat dunia. Kerana itu semua adalah rezeki daripada Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang berusaha.

Namun, seimbangkan dan berkatkan rezeki yang diperolehi itu ke jalan Allah. Seimbangkan antara nikmat dunia dan persiapan kita dalam menghadapi alam akhirat.

Ada orang, mereka tidak mahu hidup dalam kemewahan yang melampau, kerana bimbang mereka akan lupa diri.

Ada orang, mereka mahu Allah berikan nikmat kemewahan, supaya mereka mampu mengecapinya dengan nikmat memberi.

Kita? Bergantung kepada diri kita sendiri, yang mana mahu kita pilih, selagi kita berada betul di landasan redhaNya.

Imam Ali pernah berkata, “Kuasai dunia dan pimpinlah dia. Letakkan dia di tanganmu tapi jangan menyimpannya di hatimu.”

Mereka yang meletakkan dunia di hati akan mudah merasa kehilangan. Jika hartanya diuji dengan berkurang sedikit, mereka akan mula merasa kerugian.

Mereka akan menjadi orang-orang yang sayangkan harta kebendaan dan sukar untuk berkongsi sesama manusia meskipun hal itu membawa kerberkatan padanya.

Mereka akan merasa tidak tenang kerana takut harta mereka hilang atau berkurang. Seterusnya, mereka akan sentiasa dihimpit rasa takut untuk menghadapi kematian.

Belajar untuk meletakkan dunia di tangan dan bukannya di hati. Kerana sampai satu saat, kita akan terpaksa melepaskan apa yang tergenggam di tangan.

Sematkan akhirat di hati, kerana walau sebesar dan senikmat mana pun dunia ini, kita tetap takkan mampu mengetepikan hakikat akhirat.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%