,

Lakukan Apa Yang Kau Kata!

“Jom bersedekah… untuk bekalan akhirat kita, kerana orang yang bersedekah ikhlas kerana Allah akan dilipat gandakan pahalanya.”

Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah ayat 245)

Yes, dah selesai dah,’ senyum aku sendirian.

Selesai sudah status muka buku di update. Aku pernah mendengar bahawa kita akan diberi ganjaran oleh Allah sekiranya kita berpesan kepada kebaikan.

Tapi yang pentingnya niat ikhlas kerana Allah, bukan cuma mengharap ganjaran Allah dan pujian manusia semata.

Timbul riak bahaya namanya.

“Assalamualaikum…” tiba-tiba ada suatu suara menyapaku.

Aku menoleh untuk melihat siapakah gerangannya. Rupa-rupanya si ‘muslimah solehah’ sahabat dunia akhiratku, insyaAllah.

Tenang hatiku melihat wajahnya yang putih bersih, tenang melemparkan senyuman manisnya buatku.

Ayu sungguh kulihat dirinya, berbaju serba ungu hari ini. Lantas aku membalas senyumannya.

“Waalaikumsalam.” Ucapan salamnya aku sambut.

“Amboi, dari tadi aku tengok kau. Senyum sahaja memanjang. Ada apa-apa ke?” Soalnya.

“Mana ada apa-apa. Baru lepas update status kat Facebook je,” jawabku pula.

“Oh, status tentang sedekah tu ke? Alhamdulillah, bagus juga awak menulis sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain.”

Aku tersenyum bangga.

Astaghfirullah! Segera aku beristighfar tatkala merasakan diri sudah mulai riak.

Kami berdua meneruskan perbualan berdua. Pelbagai topik perbincangan dibualkan.

Yang pastinya bukan sesi mengumpat!

Kecelakaanlah bagi golongan pengumpat lagi pencela.” (Surah Al-Humazah ayat 1)

Sedang kami rancak berbual, datang seorang muslimah menegur kami berdua.

Oh, rupa-rupanya ingin mengutip derma bagi anak-anak yatim.

Aku sudah tidak keruan, aduhai dah la duit tinggal sikit aje. Aku terus sahaja meminta diri ingin ke tandas.

Aku mengintai dari balik dinding, aku melihat sahabatku menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada muslimah itu.

Setelah aku lihat dia beredar, aku kembali ke tempat dudukku.

“Aku dah sedekahkan bagi pihak kau. Tengok kau pergi tergesa-gesa tadi, mesti emergency kan. Aku tak nak kau terlepas peluang untuk meraih pahala yang berlipat ganda bagi golongan yang bersedekah. Macam yang kau cakap dekat Facebook tu. Tapi kena betulkan niat ikhlas kerana Allah kan…” bicaranya sambil tersenyum, kemudian dia meminta diri untuk pergi.

Aku sudah tidak tahu ingin membalas apa. Malu!

Kerana aku beredar tadi bukan kerana emergency atau apa tapi untuk mengelak diri.

Tut…Tut…Tut…

Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.

‘Eh, nombor ini lagi. Nombor yang sama menghantar mesej padaku ketika aku berada di tasik dulu. Aku segera membuka mesej tersebut.’

Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?” (Surah Al-Baqarah ayat 44)

Aku terpempan sendirian. Status Facebook aku, dan peristiwa tadi kini mula bermain-main difikiranku.

Ahh!! Aku malu!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%