, ,

Kurangkan Mengeluh, Tingkatkan Zikrullah!

“Saya menghidap kanser. Limfoma,” kata Encik Ismail (bukan nama sebenar).

Tidak begitu terkejut. Rekod rawatan kedatangan yang lepas telahku baca. Jadi, aku sudah bersedia mendengar aduan pesakit yang datang berjumpa untuk dapatkan rawatan.

Waima kedatangannya hari ini hanya rasa nak demam. Seingat aku, ini kali kedua aku dan dia bertemu. Sebagai perawat dan pesakit.

Lalu aku mulakan pertanyaan. “Encik Ismail, rasa nak demam sudah berapa hari? Untuk kanser limfoma ada buat rawatan susulan?”

“Baru hari ini rasa tak sedap badan. Mungkin penat bekerja. Jadi, rehat tak cukup. Sakit saya ni, saya dah lama tak pergi temujanji. Tak silap akhir sekali pergi, 2 tahun lepas.” Bicara jujur seorang pesakit.

Terkejut. Laju aku menyoal kembali, “Kenapa encik tak pergi?” Mengawal nada suara di balik topeng muka.

Saat ini, sungguh. Rasa geram itu ada. Geram sekiranya tanggapan aku betul. Rata-rata pesakit yang ada darah tinggi, kencing manis tidak ambil peduli akan pengambilan ubatan malah mengambil inisiatif sendiri tanpa berunding terlebih dahulu.

Sehingga ada segelintir pesakit membuat keputusan sendiri untuk berhenti dapatkan rawatan.

Jadi, tidak mustahil itu berlaku pada Encik Ismail ini, fikirku sambil menanti bicara-bual seterusnya.

Namun, tanggapanku meleset sama sekali. Aku telah bersangka buruk. Allahu. Mendengar butir-butir bicara tenang seorang ayah meruntun jiwa.

“Dengan kerja saya sebagai pemandu lori, dapat duit apabila bekerja. Bila saya sakit, saya tak bekerja. Saya risau. Terfikir nak bayar dua anak yang bersekolah lagi. Ini pula anak kecil saya ada masalah jantung. Saya berulang-alik untuk rawatan anak kecil saya je. Saya ada mohon bantuan kewangan, tapi cik tahulah kan. Nilai bantuan tak seberapa nak menampung kos rawatan. Jadi, bukan saya tak nak pergi tapi saya utamakan anak saya dulu.”

Pengorbanan seorang insan bergelar ayah. Keringatnya, mungkin ada yang tidak pernah tanya ke mana ditumpahkan. Jauh sekali untuk menghitung bebanan yang ayah tanggung.

Ayah, lelaki yang sukar bicara meluahkan rasa. Ayah, insan yang penuh rasa cinta dengan tindakan.

Allahu. Engkau kuatkanlah ayah ini untuk mengharungi ujian hidup ini. Moga pengorbanannya dibayar berganda kelak, dunia dan akhirat. Allahumma amiin.

Apabila kita rasa susah, usah sama sekali putus asa dengan rahmat Tuhan.

Apabila kita rasa gembira, usah leka dan alpa dengan nikmat Tuhan kerana segala rasa itu datang daripada ALLAH SWT. Maka, dengan izinNya juga rasa itu kembali pergi.

Dunia. Lapangan untuk diuji. Kesenangan atau kesusahan. Sihat atau sakit. Gembira atau berduka. Hakikatnya, kita diuji. Untuk teruskan hidup memilih bahagia atau sengsara di sana.

Tatkala kita rasa diri kita sudah cukup susah, ada lagi insan yang dipilih lagi susah.

Namun, dia memilih untuk bertabah mengharungi simpang-siur denai kehidupan. Adakah kita ingin mengambil jalan mudah dengan mengeluh dan mengalah?

Sekian, wassalam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Harwani binti Omar. Berasal dari Kuantan, Pahang.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 11

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 90.909091%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 9.090909%