,

Kunci Tiga Pagar

keyakinan dan kebergantungan

kunci

“Sudahlah tu. Lepaskan ikatan aku ni. Tak kesian ke tengok aku macam ni? Aku dah pulangkan pun semua barang tu.”

“Kamu baru lepaskan satu perkara saja. Ada satu lagi. Kalau kamu janji yang itu juga, saya akan lepaskan kamu,” Ejam menjawab dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu terpedaya lagi.

Mariam mengeluh kasar. Jelingan tajam masih dihalakan ke wajah Ejam. Wajah yang membuatkan dia tidak senang duduk seperti ada dendam kesumat tertanam di sudut hati.

“Aku tak boleh janji perkara kedua tu. Kerja aku belum habis lagi. Mana boleh aku pergi. Kau pernah cakap, tak elok buat kerja separuh jalan,” Mariam kembali bersuara.

Ejam tersenyum memandang Mariam yang duduk sandar pada dinding.

“Betul. Tapi kerja yang kamu buat bukan pekerjaan yang baik. Mana-mana pekerjaan yang tidak baik, harus ditinggalkan sekalipun kerja tu sudah dilakukan separuh jalan.”

“Ahhh! Kalau aku tak buat nanti nak makan apa?” Mariam meninggikan suara tiba-tiba.

“Kalau kamu tinggalkan kerja ni, kamu tak perlu risau pun soal makan, minum, serta segala kebajikan kamu. Semuanya dijaga baik oleh Allah,” Ejam cuba memujuk.

“Assalamualaikum.”

Perbualan mereka terhenti. Ejam mengalihkan pandangan ke pintu utama. Hanya Mariam sahaja yang masih menatap wajah Ejam dengan jelingan tajamnya itu.

“Jemput masuk, saudaraku.”

“Maaf saya lambat. Ada urusan sikit di rumah,” Saif yang baru sampai terus memeluk erat tubuh sahabatnya.

“Apa khabar Mariam?” Saif memandang Mariam dan tersenyum ringkas.

“Mariam sihat, Alhamdulillah. Yang tidak sihat dalamannya saja. Kali ni memang degil sedikit. Saya buntu.” Ejam menambah rasa.

Mariam diam. Hanya matanya mencerlang ke arah Saif, seperti mahu ditelannya manusia itu hidup-hidup.

“Pak cik, boleh sediakan saya segelas air kosong?” pinta Saif kepada ayah Mariam yang setia duduk di belakang.

“Dia hanya janji nak pulangkan barang sahaja. Dia tidak mahu keluar dan tinggalkan tempat ni,” Ejam menjelaskan lagi.

“Tidak mengapa. Kita beri Mariam minum dahulu. Kasihan dia dahaga tu.”

“Wahai makhluk Allah, saya Saif. Kamu tak mahu keluar, ya? Kasihanlah pada budak ni. Dia sakit ni,” ujar Saif. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman.

“Aku yang sakit! Bukan budak ni! Ni ikatan ni dah tak reti nak buka?” Nada Mariam semakin tinggi.

“Sini bukan tempat kamu. Ayuh, saya bantu kamu. Segala sakit kamu dan segala yang meresahkan kamu, insya-Allah, saya cuba hilangkan.”

“Ada sesuatu yang buatkan dia tidak boleh keluar. Ilmu saya terbatas. Buntu dah memikirkannya,” Ejam mencelah. Wajahnya masih tenang. Bicaranya sangat lembut.

“Kita hanya hamba-Nya. Ilmu kita memang banyak batasnya. Disebabkan itu, kita perlu meminta pada pemilik ilmu,” Saif menjawab.

“Kalau aku keluar pun, tuan aku akan hantar jin yang lain! Tuan aku nak budak ni mati!” Mariam kembali bersuara.

“Ajal maut bukan di tangan kita, semuanya berada dalam pengetahuan Allah. Tidak mengapa. Jika tuan kamu hantar yang lain, kami akan ikhtiar sembuhkannya. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar. Dan sesungguhnya mereka yang teraniaya tidak ada hijab buat doa yang dipohon,” Saif bicara sambil terus tersenyum.

Ejam memandang ke sisi. Berfikir-fikir sambil menatap wajah Saif yang sungguh meredupkan hati.

“Apa yang menyebabkan dia tidak boleh keluar? Ikatan sudah dia leraikan. Perjanjian dengan tuannya juga sudah terhapus. Barang-barang sihir semuanya telah tiada. Ya Allah, apa lagi yang tertinggal ni?”

“Jika aku ada dalam badannya, tuan aku tak akan apa-apakan dia sebab tuan aku tahu yang aku buat kerja. Tapi sebenarnya aku tak buat apa pun. Budak ni baik orangnya. Aku pun tak sampai hati nak hancurkan dia,” suara Mariam semakin perlahan, diselangi sendu.

“Saya tahu kamu makhluk yang baik. Tapi, badan budak tu bukan tempat kamu. Kamu telah menganggu kitaran hidup serta setiap pergerakannya. Kamu juga sakit tiap kali budak tu beribadah pada Allah. Ayuh, saya hantar kamu balik ke tempat kamu,” Saif melemparkan bicara dengan petah dan jelas.

“Kau kena jaga dia baik-baik. Kalau boleh suruh dia keluar dari tempat kerjanya. Tidak selamat di sana. Jangan bagi tuan aku nampak dia lagi.”

“Kamu jangan risau. Allah akan jaga budak ni kerana sesungguhnya Dia jua sebaik-baik penjaga. Kita jalan-jalan nak? Saya bawa kamu balik.”

Tambah Saif. Senyumannya semakin manis.

Mariam mula menangis. Tidak membalas, dia hanya menganggukkan kepala tanpa henti.

“Alhamdulillah. Tapi sebelum tu, syahadah bersama dengan saya. Kita ikrar ikatan pemutus antara kamu, tuan kamu, dan Mariam juga. Mahu?” Saif bersuara lagi.

Mariam terus-menerus mengangguk tanda setuju.

“Alhamdulillah,” Ejam pula bersuara.

“Tapi aku tak boleh nak keluar ni,” Mariam makin teresak-esak menangis.

Dahi Ejam berkerut. Dia menoleh ke sisi, mencari Saif yang lebih tahu dan lebih halus pemerhatiannya itu.

“Apa yang halang dia untuk keluar?” Ejam menyoal ingin tahu.

“Ejam, setiap kali kita buntu, minta petunjuk daripada Allah. Insya-Allah, jika niat kamu itu benar pada tempatnya, Allah akan tunjuk. Jika kita letakkan sesuatu permasalahan itu pada diri kita sendiri, memang kita tidak akan jumpa jawapannya. Yang kita jumpa hanya kecewa,” Saif memejamkan mata sambil memegang bahu sahabatnya itu.

Ejam tersentak. Dia tersentuh. Benar, kata mulutnya saja Allah akan bantu tetapi hatinya tidak yakin pada Allah. Hatinya banyak berdalih untuk meletakkan sepenuhnya pengharapan pada Tuhan Semesta Alam.

“Ada dua pagar yang dipasang pada makhluk ini, Ejam. Kunci pagar ini ada di jantung Mariam dan ditutupkan pandangan daripada sesiapa yang ingin mencarinya. Dengan lafaz Bismillah dan bacaan surah Al-Fatihah, ambil kunci tersebut dan bukalah pagar yang mengurungnya. Ejam, letakkan keyakinanmu hanya pada Allah,” Saif menyambung lagi.

Ejam tertunduk. Matanya dipejamkan. Memfokuskan pendengaran pada bicara Saif dan mencari pagar yang dikatakan menerusi ilmu makrifatnya. Yakin dan pinta hanya pada Allah.

“Alhamdulillah,” setelah lima minit berlalu, Saif tersenyum melafazkan syukur.

“Pak cik, bawalah Mariam ni masuk bilik berehat. Sedarnya dia nanti, bawa dia berwudhuk dan banyakkan zikir untuk kuatkan jiwa. Maafkan si penyihir dan buang segala sifat dendam serta marah,” Saif menyampaikan pesan kepada ayah Mariam yang masih setia di situ.

“Saudaraku….”

Ejam mematikan langkah Saif yang sudah siap sedia mahu menghidupkan enjin kereta.

“Pagar itu…,” Ejam menghentikan bicara. Tidak tahu bagaimana mahu teruskan.

“Kamu nak tahu kenapa ada tiga pagar dan bukannya dua?” Saif tersenyum manis. Dia tahu apa yang bermain di minda sahabatnya itu.

Ejam mengangguk pantas. “Ada satu pagar lagi tadi yang saya tak pasti.”

“Sekarang dah pasti?” Saif menyoal pula.

Ejam menggeleng perlahan.

“Ejam, setiap diri kita ada pagar sendiri. Samada kita sedar atau tidak. Tiap kali kita buntu dengan dunia ni, pecahkan pagar tersebut supaya kita tiada halangan untuk sentiasa yakin dengan Pencipta kita. Kuncinya adalah keyakinan dan kebergantungan sepenuhnya hanya pada Allah. Barangkali ada sahaja antara kita yang memang tiada pagar sebabnya mereka telah letakkan jiwa raga mereka sepenuhnya pada Allah. Tahniah kerana kamu telah pecahkan pagar yang membelenggu diri kamu,” Saif terus tersenyum.

Kuncinya adalah keyakinan dan kebergantungan sepenuhnya hanya pada Allah.

Mata Ejam mulai bergenang. Tersentuh dengan hikmah kata-kata Saif.

“Ejam, jangan lupa solat hajat buat Mariam. Ada serangan yang akan menyusul. Semoga Allah izinkan serangan itu dipatahkan.”

Ejam hanya berdiri tegak memandang Saif yang semakin jauh meninggalkannya. Air matanya mengalir laju, seakan tidak mahu berhenti.

 

Maklumat Penulis

Perkongsian ini ditulis oleh Nur Amirah Binti Ishak (Cahayanurish). Minat Travel, membaca, menulis cerpen dan fotografi. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.

What do you think?

12 points
Upvote Downvote

Total votes: 14

Upvotes: 13

Upvotes percentage: 92.857143%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 7.142857%