,

Kita Tidak Tahu Apa Yang Mereka Telah Lalui

Nur Inas termenung membawa perasaannya dalam sekali. Tersentuh hatinya dengan kisah perang Uhud ketika dia bertadabbur surah Ali Imran yang mengisahkan tentang perang itu.

Allah berfirman dalam surah itu bahawasanya Allah menjadikan kekalahan dalam perang Uhud asbab untuk menguji kaum muslimin.

Ujian kekalahan itu sebenarnya untuk mengukuhkan iman para sahabat dan meninggikan lagi darjat mereka. Ujian itu juga membersihkan mereka daripada cinta dunia.

Pada zahirnya, mereka tampak kalah. Tapi di sebaliknya, mereka telah menang. Ya, Allah yang menangkan mereka.

Bukan menang dari sudut dapat harta rampasan perang, dapat kuasa, atau dapat kalahkan tentera musyrikin.

Tetapi, menang dari sudut bertambahnya iman, bersih jiwa, dan kefahaman dalam agama. Itulah kemenangan yang lebih berharga.

Nur Inas masih mendiamkan dirinya. Matanya dipejamkan. Nur Inas cuba memaknakan kisah itu dalam kehidupannya. Lama dia berfikir sambil hatinya tidak putus-putus melafazkan zikir.

“Ya Allah, berikanlah aku kemenangan seperti itu dalam aku harungi hidupku ini. Kemenangan dengan memiliki jiwa yang bebas sepenuhnya daripada belenggu yang mengikat diri,” bisiknya sendiri.

Biarlah di mata orang aku kalah. Biarlah mereka nampak aku sentiasa berada di bawah. Baru bekerja sudah diberhentikan. Dapat pangkat dan gaji yang best, lepas tu kena berhenti. Sekarang, bila tidak bekerja dan berjinak-jinak mahu berniaga, mereka sekeliling pandang aku dengan pandangan yang penuh dengan persoalan.”

“Kenapa jadi macam ni? Kenapa tak minta kerja lain? Kenapa nak berniaga buka gerai macam ni? Kenapa sampai sekarang masih tidak bekerluarga lagi? Adakah mereka pernah tahu apa yang telah aku lalui selama ni? Mereka tahu ke aku dah banyak kali usaha minta kerja lain? Mereka ke yang nak tanggung aku kalau aku tak mula berniaga ni? Penat nak hadap semua tu. Penat.”

Air matanya mengalir deras. Mengenangkan kembali betapa sukarnya dia mahu meneruskan hidup setelah ditimpa kecelakaan beberapa tahun yang lepas.

“Walau apa yang terjadi, aku yakin pasti ada hikmah-Nya. Hanya Allah yang tahu segala yang tersurat dan tersirat. Betapa saat ini, aku terpaksa hadap suara-suara yang boleh meruntuhkan semangat, aku tidak pernah lupa aku punyai Tuhan yang sentiasa mendengar rintihan aku. Yang sentiasa ada untuk membantu aku. Yang sentiasa memberikan semangat untuk aku.”

“Saat mereka tidur nyenyak dek lelah penat, aku masih diberikan kudrat untuk terus bekerja, mencari rezeki, dan terus melangkah meskipun langkahku itu kecil. Ya, jika aku fokus luaran diri aku sahaja, aku memang tertekan. Sekeliling aku sangat membunuh semangat aku. Tapi jika aku kembali melihat jiwaku, aku rasa tenang. Huuuu Allah… tenangnya sehingga aku lupa suara-suara tadi. Seolah-olah aku diberikan kekuatan yang luar biasa. Huu Allah…”

Nur Inas menarik nafas dengan tenang sambil hatinya menyebut, “Huuu…” dan kemudian melepaskan nafas sambil melafazkan “Allah…” dalam hatinya. Tenang dirasakan.

“Ya Allah, sentiasa bebaskan jiwaku daripada belenggu suara itu. Besarkan dan menangkan jiwaku ini dengan keyakinan yang terlalu mendalam hanya pada-Mu. Biar apa yang terjadi, aku tetap ada KAU denganku.”

Nur Inas tersenyum dalam bermandikan air mata. Dia pasakkan harapan hanya pada Allah, tidak perlu bergantung pada sekelian suara dan sosok negatif yang hadir.

Dia mahu menjadi seorang hamba yang menang jiwanya. Jiwa yang kental dan sentiasa yakin dengan segala hikmah Allah untuknya.

Kisah kita berbeza, aturannya juga berbeza mengikut acuan kekuatan masing-masing. Oleh itu, jangan pernah sekali samakan rentetan hidup kita dengan hidup mereka yang lain. Kita tidak pernah tahu apa yang telah mereka lalui.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%