,

Kita Pendosa yang Ingin ke Syurga

Sunyi. Silau. Farouq mengecilkan mata; membantu retinanya fokus dengan lebih tepat apa yang terhampar di hadapannya.

Namun dia kecewa; yang ada hanyalah hamparan padang yang tak berpenghujung. Ada bukit, dan sesekali ada satu, dua batang pokok tanpa daun. Hanya ranting-ranting kering yang masih setia melekap pada si pokok. Aneh.

Mindanya ligat memutar tanya – di mana dia sekarang? Seingatnya tadi dia sedang bergelak-tawa bersama rakan-rakannya dalam perjalanan ke kelab. Ya, dia sepatutnya di dalam kereta mewah milik salah seorang rakannya.

Setiap malam memang itu rutin hariannya. Keluar di kala embun malam baru mula menitis dan pulang setelah ayam berkokok. Semuanya atas alasan persahabatan. Dia takut kehilangan kawan. Brotherhood konon!

Tapi sekarang? Di manakah tempat dia berdiri sekarang? Tiada figura lain selain dia. Pelik!

Dia melangkah ke hadapan biarpun masih keliru. Setapak, dua tapak, dia berhenti. Di hadapannya seekor rama-rama berterbangan dan hinggap di ranting kering sepohon pokok tadi.

Perlahan-lahan dia menghampiri. Hanya rama-rama itu makhluk hidup lain di situ selain dia. Dalam kekeliruan itu, Farouq terus mengomel – di mana tempat ini? Kenapa aku di sini?

“Ini adalah jiwamu,” jawab satu suara.

“Siapa tu?” Farouq terkesima. Saujana matanya melilalu mencari kelibat lain selain dia dan si rerama. Dipusing badannya 360 darjah. Hantukah?

“Aku, si rerama,” Farouq kembali bisu. Masih belum mengerti. Matanya terarah ke arah ranting tadi.  Rama-rama bercakap? Biar betul. Tak logik! Namun dia layankan sahaja suara itu.

“Apa maksudmu ini adalah jiwaku?”

“Cuba kamu lihat di sekelilingmu. Kosong. Tandus. Jiwa kamu kontang. Kamu perlu isi jiwa ini. Baja, sirami dan jaga sehingga jiwa yang gersang ini makin ditumbuhi bunga-bunga iman. Agar membentuk taman yang indah.”

“Aku tak faham,” jawab Farouq. Tekaknya perit. Kering. Dia haus. Mungkin kerana terlalu jauh berjalan tadi. Dia melilau lagi mencari sungai ataupun sumber air. Namun mindanya terus berputar mencari jawapan kepada pernyataan si rerama tadi. Kosong? Siram?

“Jiwamu seharusnya hidup subur dengan bunga-bungaan di taman akidah dan iman. Tapi selama hari ini, ini jasamu. Jiwamu saban hari semakin kering. Semakin kontang. Kamu terlalu leka dengan dunia,” Farouq bisu.

Sejenak dia bermuhasabah. Dia dilahirkan dalam keluarga yang berada, semua yang dia inginkan akan dia dapat. Mungkin kerana itu jugalah dia terus hanyut. Leka dengan nikmat dunia.

“Kamu tentu sedang haus bukan? Mari aku bawa ke suatu tempat.”

Farouq terus mengekori rerama kecil tadi ke suatu kawasan berbukit. Di satu sudut mata Farouq tertancap pada sebuah kolam yang jernih airnya.

“Minumlah dari situ. Mungkin dapat meredakan hausmu.”

“Wahai anak muda, kamu sebenarnya masih punya rasa keinsafan. Masih punya keimanan biarpun setitis di hamparan kontang ini. Manfaatkan peluang yang kamu miliki. Basuhlah dirimu dari belenggu dunia,” Farouq semakin mengerti.

Namun buat masa sekarang, tekaknya perlu dibasahkan terlebih dahulu. Lantas, dia meneguk air di kolam tersebut. Sejuk. Nyaman.

“Aku mahu pulang. Aku tak mahu terus di sini. Ini terlalu asing bagiku. Aku takut,” kata Farouq setelah dirasakan puzzle di mindanya semakin bercantum sedikit demi sedikit.

“Kamu takut dengan dirimu sendiri? Jadi berubahlah. Basuh dosa-dosa yang telah kamu lakukan sebelum ini. Bertaubatlah. Jangan risau, kamu akan pulang. Takkan selamanya kamu di sini.”

“Tolong aku. Apa aku harus lakukan? Dosa-dosaku terlampau banyak. Mana mungkin Allah ampunkan aku,” Farouq menangis.

“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun,” si rerama mulai terbang kembali.

“Sebentar. Aku masih ada banyak persoalan,” Farouq bangun dan mengikuti si rerama. Namun, si rerama terbang semakin tinggi dan jauh. Farouq risau.

“Kenapa aku di sini? Bagaimana aku boleh berada di sini? Bagaimana aku ingin pulang?” Farouq melaung. Sepi.

******

Tiba-tiba matanya terbuka. Namun kepalanya terasa berat. Farouq melilaukan matanya mengenal pasti keadaan sekeliling. Semuanya putih tetapi begitu nyata. Tangannya dapat merasakan dengan jelas tilam tempat dia terbaring.

Tekaknya terasa perit dan kering. Dia cuba untuk menoleh ke kiri dan kanan biarpun pandangannya masih kabur. Dia dapat rasakan pipinya dibasahi air mata.

“Farouq dah sedar? Alhamdulillah,” seseorang memegang wajahnya, menyuluh matanya dengan satu cahaya terang seperti torchlight dan memeriksa nadinya. Sedikit demi sedikit pandangannya semakin jelas. Dia akhirnya dapat meneka – dia di hospital. Tapi kenapa dan bagaimana?

“Farouq ingat tak kemalangan haritu?” seseorang bertanya lagi. Kemalangan? Oh, dia ingat! Kemalangan malam itu! Mana yang lain?

******

Sudah dua minggu berlalu setelah Farouq kembali sedar. Dia kini tidak lagi berfoya-foya. Kakinya banyak diarahkan melangkah ke majlis-majlis ilmu. Sepertiga malamnya dihabiskan dengan berdating dengan kekasihnya – Allah.

Dia teringat pertemuan dia dan sang rerama sewaktu dia koma tempoh hari. Amat bermakna; dan Farouq tak mahu lagi biarkan jiwanya terus kontang. Dia mahu jiwanya subur dengan bebunga keimanan.

Rakan-rakannya yang turut sama terlibat dalam kemalangan malam itu juga turut diberikan kesempatan hidup kali kedua oleh Allah. Farouq tiba-tiba teremosi.

Allah masih berikan peluang untuknya bertaubat meskipun dosanya sebelum ini tidak terkira banyaknya. Betapa kasih sayang Allah itu besar; dan dia titiskan setitik kepada hamba-hambanya.

******

Allah sentiasa berikan peluang untuk kita. Peluang itu hadir dalam bentuk berbeza-beza. Tinggal kita sahaja memilih sama ada ingin kembali kepada Dia ataupun tidak. Seharusnya kita bersyukur kerana dihidupkan dalam Islam. Itu adalah salah satu nikmat yang tidak ternilai yang Dia berikan.

Kita manusia, dan manusia takkan pernah lari daripada melakukan dosa. Namun, Allah itu Maha Pengampun. Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selagi matahari timbul dari arah timur, selagi itulah pintu taubat akan sentiasa terbuka. Kerana apa? Kerana kita pendosa yang juga ingin ke syurga.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih melanjutkan pelajaran dan sedang menjalani latihan industri.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%