, ,

Kita Hidup Untuk Bahagia… Bahagia Itu Bila Allah Sayang

Bahagia sebenar adalah bila hati kita kaya. Kalau hati kaya, kita akan bahagia.

Lihatlah betapa ramai yang bergaji besar, namun hati perasaannya tetap miskin?

Betapa ramai yang memiliki pangkat besar, gaji besar, namun masih terjebak dengan riba?

Mereka yang amal riba, hidup mereka tidak akan bahagia. Hati mereka tidak akan tenang. Sebab Allah tidak suka mereka. Jika diberikan harta dan kuasa sekalipun, ianya hanya akan membinasakan kita.

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (Surah Al-Baqarah 2:276)

Bahagia sebenar itu apabila kita mencintai Allah. Bahagia itu bila kita kembali pada Allah. Kita kembali pada Allah, rahmat Allah memenuhi kehidupan kita.

Apabila Allah sayang kita, mudahlah segala-galanya. Apabila Allah kasih kita, hidup kita akan bahagia. Kita taat perintah Allah, hidup kita akan bahagia. Kita memperbaiki amalan hidup kita, kita akan bahagia.

“…Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (surah Al-A’raaf 7:56)

Kita kena ada sifat tawaduk. Orang yang tawaduk, akan rasa rendah diri. Orang tawaduk, dahi kita akan selalu sujud pada Allah.

Orang bahagia, akan sibukkan diri dengan solat. Beri masa kepada solat, Allah S.W.T akan sayang kita. Jarang sujud pada Allah, hati tidak akan bahagia.

Zikir kepada Allah, kita akan tenang. Zikir kepada Allah, kita akan bahagia. Sesungguhnya, apabila secebis zikir terbit di bibir insan, itu sapaan TuhanNya agar kembali ke jalan pangkuanNya.

Allah S.W.T sangat gembira apabila hambaNya ingin kembali ke pangkuan cinta Ilahi. Orang yang beriman dan beramal soleh, InsyaAllah akan mengecapi hidup yang bahagia.

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah Ar-Ra`d:29)

Orang beriman tidak akan sia-siakan hayat perjalanan hidupnya. Jika kita solat tiada rasa, bila kita doa tiada rasa, itu petanda hidup kita tidak bahagia.

Jaga solat awal waktu, insyaAllah hidup akan bahagia. Tidak jaga solat, kehidupan kita tidak akan bahagia. Tidak jaga solat, nur dicabut dari wajah kita.

Solat sunat 2 rakaat, hidup kita akan bahagia. Solat sunat 2 rakaat, semua masalah dunia akan selesai.

Alangkah bahagianya jika buku catatan amal diberikan sebelah tangan kanan. Alangkah malangnya tatkala buku catatan amal diberikan pada tangan kiri kita.

“Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku.” (Surah Al-Haaqqah 69:25)

Orang yang bahagia sentiasa bersyukur dengan apa yang dia ada.

Kita bahagia bila kita menghargai anak-anak kita. Kita bahagia bila kita kasih isteri kita. Kita bahagia bila kita hormat dengan ibu bapa kita. Kita bahagia bila kita maafkan kesalahan orang lain.

Orang berdendam tak akan bahagia. Memutuskan silaturrahim, hidup kita tak akan bahagia. Kita sayang anak-anak, isteri dan ibu bapa kita, Allah sayang kita.

Kita belajar hargai nikmat dalam hidup kita. Belajar terima kasih pada Allah (bersyukur) dan manusia, kita akan bahagia.

“Allahumma, nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhlukMu adalah dariMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.” (Al-Mathurat)

Bahagia paling kemuncak apabila kita dapat melihat Allah di syurga kelak. Inilah nikmat paling agung dan kebahagiaan hakiki dalam penghidupan kita ini.

Hadis di bawah ini dicatatkan di dalam kitab yang terkenal iaitu Riyadhus Shalihin. Alangkah bahagianya, jika kita dapat memandang Allah S.W.T.

Perbaikilah iman, perbanyakkan amal soleh, berdakwah dengan benar dan sabar. InsyaAllah hidup kita akan bahagia.

Daripada Suhaib, Rasulullah menerangkan, “Apabila ahli syurga sudah masuk ke dalam syurga, Allah bertanya , “Adakah kamu mahu aku tambahkan apa-apa?” Mereka menjawab, “Bukankah Engkau memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke dalam syurga dan melepaskan kami daripada ahli neraka?” Kemudian Allah membuka tabir hijab antara Dia dengan hamba-Nya. Tidak ada sesuatu yang lebih mereka sukai selain daripada memandang Tuhan mereka.” (Hadith riwayat Muslim – hadith terakhir di dalam kitab Riyadhus Shalihin)

******

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.” (Hadis Riwayat Ahmad 1/391)

Doa di atas merupakan doa yang menjadi penawar kepada kesedihan.

InsyaAllah, dengan mengamalkan doa ini dengan penuh perasaan, jiwa kita akan menjadi tenang semula. InsyaAllah hidup kita akan bahagia.

Penulis teringat kata-kata berharga daripada Ustaz Ebit Lew, “Biar orang nak kata apa. Yang penting kita hidup untuk Allah sayang.”

 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan Bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.

Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%