,

Bersahabat Hingga Ke Syurga

Setiap daripada kita pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang sahabat, teman atau kawan. Untuk apa kita punya sahabat? Pasti kalian ada jawapannya yang tersendiri.

Definisi sahabat itu sendiri berbeza bagi setiap individu. Bagi jawapan saya pula, kerana syurga Allah itu luas, jadi saya ingin punya sahabat yang ramai untuk saya bawa mereka bersama-sama menuju jalan ke syurga, dengan izin Allah.

“Sahabat karib pada hari kiamat kelak, akan saling bermusuhan kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah Az-zukhruf: 67)

Sahabat yang bertaqwa adalah mereka yang saling mengajak kepada kebaikan dengan melakukan perkara-perkara baik mengikut syariat Islam yang telah Allah tetapkan.

Dengan asbab bersama-sama melakukan kebaikan, maka sudah tentu ganjarannya adalah dengan berpimpin tangan menuju ke syurga Allah.

Dalam memilih sahabat, hendaklah kita menjadi seperti minyak wangi, yang aromanya turut dirasai bagi sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan kita. Yakni mereka turut bertempias melakukan kebaikan.

Seandainya kita punya teman atau sahabat yang kurang ilmu agamanya, kurang patuh syariatnya, jangan sesekali kita terpengaruh atau mengikuti jejak langkah mereka, malah kita seharusnya menunjukkan contoh terbaik supaya sahabat kita yang terkesan dengan kita.

Mari bersama kita menjadi seperti ikan di dalam laut dalam. Yang mana ikan tidak langsung terkesan dengan rasa masinnya air laut, malah isi ikan sedap dimakan dan mempunyai protein untuk kesihatan.

Bersama-samalah kita menyeru kepada kebaikan, dan mengajak sahabat kita melakukan amar makruf nahi mungkar. Walaupun kita tidak punya ramai sahabat, jangan sesekali bersedih, asalkan sahabat yang sedia ada berkualiti dan saling mengingati mana yang perlu dan mana yang salah.

Firman Allah, “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang kepada kejahatan, dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 71)

Islam sangat menggalakkan penganutnya supaya mengenali saudaranya yang lain demi membina persaudaraan yang kukuh dan didasarkan hanya kerana Allah semata.

Dengan mengetepikan perbezaan pangkat, keturunan, taraf hidup, seorang muslim bebas untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka ingin bersahabat agar mereka dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan ikatan ukhuwah islamiah yang dibina.

Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan kisah Abu Hurairah yang mempunyai seorang ibu yang masih kafir. Beliau sentiasa berusaha mengajak ibunya memeluk agama Islam.

Suatu hari sedang Abu Hurairah berdakwah kepada ibunya tentang Islam, si ibu menyebut suatu perkataan yang tidak elok tentang Rasulullah SAW. Abu Hurairah berasa sangat tersinggung lalu keluar bertemu Baginda dalam keadaan menangis.

Nabi SAW mendoakan supaya ibunya mendapat petunjuk daripada Allah. Beliau berasa sangat gembira dengan doa Baginda, lalu pulang ke rumah. Usai pulang ke rumah, dengan takdir Allah, ibunya mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapannya, berkat doa Nabi SAW.

Indah bukan, apabila kita mempunyai sahabat yang soleh. Jika kita mempunyai masalah, akan segera dikembalikan kita kepada ayat-ayat Allah yang tenang dan mendamaikan.

Jika kita ditimpa ujian, sahabat soleh akan men’cool down’ kan kita dengan doa-doa yang baik. Inilah nilai ukuran yang sebenar di sisi Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan wanita, lalu Kami menjadikan kamu juga terdiri daripada kelompok yang banyak. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Dalam memilih kriteria sahabat, bukan sahaja sahabat kala kita senang dan gembira, malah kita sangat perlukan sahabat yang setia di sisi kita kala gembira mahupun sedih.

Sahabat yang berhati mulia akan membawa kita ke jalan Allah. Jadi, jika berteman itu biarlah tercalit wangi akhlaknya dan terlekat pula harum imannya.

Rasulullah bersabda, “Seseorang itu adalah berdasarkan agama sahabatnya, maka perhatikan seseorang itu siapakah sahabatnya.”

Anda sebenarnya tahu dan boleh menilai sendiri melalui cerminan sahabat yang baik atau sebaliknya.

Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat yang kenal akhirat, kerana kita nanti akan turut terpikat. Carilah sahabat yang sanggup bersusah payah, berbakti untuk agama dan beribadah kerana Allah. Persis Abu Bakar dan Nabi SAW yang tercinta.

Bersahabat, berukhuwah, dan bersilaturrahimlah dengan baik. Jauhi daripada sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan nilai persahabatan.

Ikhlas dan mencintai sahabat kita demi ALLAH semata-mata. Jadilah sahabat yang memberi manfaat kepada sahabat yang memerlukan. Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia.

Gembirakanlah sahabat kita semampu yang boleh. Jika engkau tidak mampu untuk menggembirakannya, maka janganlah pula engkau menyedihkan dia.

Bayangkan kita dan sahabat-sahabat yang bersama-sama kita di atas dunia ini, yang sama-sama melakukan kebaikan, yang bersusah payah untuk menolong agama Allah, yang bersama-sama menangis dan bangkit kembali setiap kali ditimpa ujian.

Kini berpimpin tangan menuju ke syurga Allah, bergembira, dan reunion kembali di dalam syurga. Itulah nikmat yang paling terindah, dengan izin Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 37

Upvotes: 20

Upvotes percentage: 54.054054%

Downvotes: 17

Downvotes percentage: 45.945946%