,

Suka Membesarkan Keburukan Sehingga Terlupa Segala Kebaikannya

Tersebutlah kisah, terdapat satu tembok dinding yang berwarna putih suci berseri.

Dinding itu tersangatlah putih hingga membuatkan orang-orang yang melihatnya jatuh cinta.

“Wah, cantiknya dinding ni! Putih jeee…”

“Uishh… dinding baru cat ke ni? Putih betul! Sejuk mata memandang.”

Dan banyak lagi pujian-pujian yang dilontarkan kepada dinding tersebut.

Pada suatu hari, ada seekor cicak ‘melepaskan hajat’nya di dinding tersebut. Terpalitlah dinding itu dengan setompok tahi cicak.

Tetapi tompok itu tersangatlah kecil jika ingin dibandingkan dengan keluasan keseluruhan dinding putih itu.

Hanya kerana tompok kecil itu, sesiapa sahaja yang dahulunya memuji dinding tersebut, kini berasa tidak suka memandangnya.

“Hish… tompok apa ni? Kotorlah dinding ni!”

“Ya Allah… kenapalah dinding ni kotor sangat? Tiada orang cuci ke? Jijik pulak aku tengok!”

“Dah tak cantik dah dinding ni. Kotor betul!”

Begitulah juga pantulannya dalam hidup ini.

Kita selalu berhadapan dengan situasi sebegini. Hanya kerana satu kesalahan, terus dilupakan segala kebaikan yang telah dilakukan.

Dan manusia cenderung untuk membesar-besarkan kesalahan atau sisi buruk seseorang, hingga terlupa sisi kebaikan yang masih banyak yang ada padanya.

Umpama dinding putih itu. Kekotoran cuma setompok kecil.

Tetapi dek kerana terlalu fokus pada tompok kecil itu, manusia jadi terlupa bahawa ada banyak lagi kawasan dinding itu yang masih cantik dan mendamaikan mata.

Tiada yang sempurna melainkan Allah. Manusia dan keadaan mempunyai terlalu banyak kekurangan.

Tetapi terpulang kepada kita, sama ada mahu mengembangkan sisi kelebihan atau terus membesar-besarkan sisi kelemahan.

Jika fokus kepada kebaikan, maka keburukan-keburukan yang ada takkan menggoyahkan kita.

Tetapi jika fokus kepada keburukan, maka kita takkan mampu untuk bersyukur walau banyak mana pun nikmat yang Allah beri.

Begitu juga apabila kita melihat manusia lain.

Apabila kita disakiti oleh manusia, kenanglah jasa-jasa baik yang pernah dilakukannya kepada kita. Fokus pada sisi kebaikannya.

Bak kata pepatah, dua perkara yang mesti kita ingat; kebaikan orang lain kepada kita dan keburukan kita kepada orang lain.

Dan dua perkara yang harus kita lupakan; kebaikan kita kepada orang lain dan keburukan orang lain kepada kita.

Maka dengan itu, kau takkan mudah kecewa dan membenci.

Berlapang dadalah dengan ketidaksempurnaan. Dan kembalikan semuanya kepada Yang Maha Sempurna.

Jika terdapat banyak perkara yang boleh menyedihkan kita, maka yakinlah bahawa terdapat banyak juga perkara yang boleh membahagiakan.

Pilihan di tangan kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%