,

Kisah Di Sebalik Karya Agung Tafsir Al-Azhar (bahagian 2-akhir)

Memang kemarahan saya itulah rupanya yang segaja di bangkitkannya. Kalau saya melompati dia dan menerkamnya, tentu sebutir peluru saja sudah dalam merobek dada saya. Dan besoknya tentu sudah dapat disiarkan berita di surat-surat khabar, “Hamka lari dari tahanan, lalu dikerja, tertembak mati!”

Syukur Alhamdulillah kemarahan itu dapat saya redakan, dan insaf dengan siapa saya berhadapan. Saya yang tadinya sudah mulai hendak berdiri tertunduk kembali dan meloncatlah tangis saya sambil meratap, “Janganlah saya diseksa seperti itu. Bikinlah sajalah satu pengakuan bagaimana baiknya, akan saya tandatangani. Tetapi kata-kata demikian janganlah saudara ulang lagi.”

“Memang saudara pengkhianat!” Katanya lagi dan dia pun pergi sambil menghampaskan pintu. Remuk rasanya hati saya.

Mengertilah saya sejak itu mengapa maka segala barang tajam wajib dijauhkan dari tahanan yang sedang diperiksa. Di saat seperti itu, setelah saya tinggal seorang diri, datanglah tetamu yang tidak diundang, dan yang memang selalu datang kepada manusia di saat seperti demikian.

Yang datang itu ialah SYAITAN! Dia membisikkan ke dalam hati saya, supaya saya ingat bahawa di dalam simpanan saya masih ada pisau-silet. Kalau pisau kecil itu dipotongkan saja kepada urat nadi, sebentar kita sudah mati. Biar orang tahu bahawa kita mati kerana tidak tahan menderita.

Hampir satu jam lamanya terjadi perang hebat dalam batin saya, di antara perdayaan iblis dengan iman yang telah dipupuk berpuluh tahun ini. Sampai-sampailah saya telah membuat surat wasiat yang akan disampaikan kepada anak-anak di rumah.

Tetapi Alhamdulillah. Iman saya menang.

Saya berkata kepada diriku, “Kalau engkau mati membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan batin ini, mereka yang menganiaya itu nescaya akan menyusun pula berita indah mengenai kematianmu. Engkau kedapatan membunuh diri dalam kamar (penjara) oleh kerana merasa malu setelah polis mengeluarkan beberapa bukti atas pengkhianatan. Maka hancurlah nama yang telah engkau modali dengan segala penderitaan, keringat dan air mata sejak berpuluh tahun.”

Hikmah Ilahi

Allah rupanya menghendaki agar masa terpisah dari anak isteri selama dua tahun dan terpisah dari masyarakat, dapat saya pergunakan untuk menyelesaikan pekerjaan berat ini, iaitu mentafsirkan Al-Quranul Karim. Kerana, kalau saya masih di luar, pekerjaan saya ini tidak akan selesai sampai saya mati.

Masa terpencil dua tahun telah saya pergunakan sebaik-baiknya. Maka, dengan petunjuk dan hidayah Allah Yang Maha Kuasa, beberapa hari sebelum saya dipindahkan ke dalam tahanan rumah, pentafsiran Al-Quran 30 juzuk telah selesai. Dan, semasa dalam tahanan rumah dua bulan lebih, saya pergunakan pula untuk menyisipkan mana yang masih kekurangan.

Saya bersyukur dan bersujud kepada Allah.

Sebab selama dalam tahanan itu, selain dari mengerjakan Tafsir ini di waktu siang, di malam hari mendapat kesempatan sangat luas buat beribadat kepada Tuhan. Saya mendapat kesempatan sangat luas untuk mengerjakan tilawatul-Quran, sampai khatam lebih dari seratus kali. Saya mendapat kesempatan untuk mengerjakan solat tahajjud dan munajat hampir setiap malam.

Buku-buku penting dalam hal tasawuf, tauhid, filsafat agama, hadith-hadith Rasulullah, tarikh pejuang-pejuang Islam dan kehidupan ahli-ahli tasawuf dan ulama, jalan akhirat dapat saya baca dan dapat saya resapkan ke dalam jiwa. Sungguh, kalau penahanan ini tidak terjadi, tidaklah saya mendapat kesempatan seluas itu.

Terus terang saya katakan di sini bahawa sekali-sekala atau kerap kali timbul juga kesedihan hati kerana kemerdekaan dirampas. Apatah lagi kerana berbulan-bulan lamanya “gelap” sahaja keadaan, tidak tentu lagi bila akan pulang sehingga kerap juga ditimpa rasa murung.

Mengarang tafsir di waktu pagi, membaca buku-buku di petang hari, tilawatin-Quran di antara Magrib dan Isyak, dan tahajjud serta munajat lepas tengah malam, adalah obat yang paling mujarab pengobat muram dan kesepian. Di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang.

Dari usia masih muda remaja sampai tua menjunjung uban, tidaklah mendatar sahaja jalan yang harus saya tempuh. Kerana, tahanan lebih dua tahun ini adalah menjadi salah satu mata rantai kalung keemasan yang ditatahkan pada leher sejarah hidup saya. Ia menjadi lebih indah kerana kezaliman dan fitnah ini baru menimpa saya setelah tanah air saya merdeka!

Moga-moga Tafsir Al-Azhar ini, sebagai oleh-oleh saya dari tahanan, hendaknya dapat berguna dan berfaedah bagi kaum dan bangsa saya yang haus akan penerangan agama. Selanjutnya, moga-moga ia pun menjadi satu alat untuk saya mendapat syafaat dari Allah di akhirat. Amin!

Sekian daripada Buya Hamka.

Nama Yang Sentiasa Hidup

Ketika mana saya membaca tafsir ini dan cuba mendalami dengan perasaan halus perkataan demi perkataan yang ditulis.

Terlintas dalam perasaan hati bahawasanya tafsir yang saya baca ini ditulis ketikamana Buya dalam tahanan dan ia adalah tafsir bukti perjuangan Buya dalam lapangan hidup yang ingin melihat umat ini keluar daripada kerangka kegelapan kepada cahaya Islam.

Ia merupakan hadiah termahal yang Buya hadiahkan kepada kami dan di sisinya juga banyak pengajaran yang boleh diambil di sebalik Tafsir Al-Azhar ini sendiri.

Bukan kandungan tafsir ini sahaja bermanfaat tetapi kisah di sebalik jerit payah perjuangan dalam menulisnya akan menjadi pedoman hidup.

Walaupun Buya sudah meninggalkan dunia tetapi nama Buya akan sentiasa hidup dalam lembaran sejarah yang gemilang sebagai insan yang setiap hirupan nafas kehidupannya sentiasa berfikir tentang umat.

Tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan sebagai penghargaan kepada Buya di atas jerit perjuangan Buya lakukan kepada Kami. Hanya satu ungkapan yang kami ingin katakan.

TERIMA KASIH BUYA!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Merupakan pelajar tahun akhir Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%