,

Kini, Aku Tahu Kenapa Allah Tak Makbulkan Doaku

Hari ini sama seperti hari sebelumnya. Alarm telefonku berbunyi menandakan sudah jam 6.00 pagi. Tanganku pantas mematikan bunyi alarm tersebut.

Mataku kupaksa untuk buka, namun jasadku belum mampu kupaksa untuk bangun. Aku termenung di dalam kegelapan. Tiada apa yang kufikirkan hanya dipenuhi perasaan malas.

Berat sungguh jasad ini hendak kupaksa bangun. Ku tahu solat itu satu kewajipan. Mendirikan solat di awal waktu itu suatu tuntutan. Namun, aku masih terbaring dengan enaknya. Dalam hati aku berkata,

kejap lagi la solat, baru masuk waktu ni’.

Masa terus berjalan tanpa menanyakan kepadaku

‘Berapa banyak masa lagikah yang engkau perlukan?’.

Ia berlalu sedetik demi sedetik hingga membawa aku kesiangan. Aku lihat jam di telefonku. Ianya menunjukkan tepat jam 6.50 pagi.

Tatkala ini aku bingkas bangun menenguk segelas air masak dan terus ke bilik air. Aku persiapkan diriku untuk solat.

Alhamdulillah masih sempat sebelum syuruk. Usai solat, aku mengangkat tangan dan berdoa kepada Illahi.

Aku berdoa supaya aku diberi kesihatan yang kamil, kebijaksanaan, kekayaan dan dipermudahkan segala urusan hidup.

Hari ini adalah hari cuti hujung minggu. Kebiasaannya aku akan menghabiskan masa duduk berehat di rumah.

Inilah masanya untuk aku mengemas rumah, membasuh pakaianku, memasak makanan kegemaranku di rumah.

Bagi aku, setelah penat bekerja lima hari seminggu, hujung minggu adalah masa untuk reward diri sendiri.

Selesai mengemas rumah, aku duduk di sofa sambil menonton televisyen. Ku ambil makanan yang telah dimasak dan langsung makan di hadapan televisyen.

Aku rasa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang terbiasa dengan amalan makan di hadapan televisyen. Dalam erti kata yang lain, makan sambil menonton rancangan televisyen.

Sedang aku menikmati rezekiku pada tengah hari ini, terdengar seruan azan yang menandakan masuknya waktu solat fardhu Zuhor.

Dalam hatiku berbisik, ‘tidak apalah, lepas makan aku solat’.

Aku meneruskan untuk menghabiskan makananku. Dalam keasyikan menikmati santapanku pada hari ini, tangan ku dengan pantas mengambil remote control  Astro. Button info aku tekan satu persatu sambal meneliti rancangan yang akan disiarkan pada hari ini.

’wah, ada rancangan kegemaranku, mana boleh terlepas ni’.

Bisik aku di dalam hati setelah melihat info rancangan di kaca televisyen. Mataku melihat duration rancangan tersebut. Rancangan itu akan habis jam 3.00 petang. Dalam hatiku berbisik lagi

‘sekarang dah pukul 1.55 petang, kalau solat sekarang nanti terlepas pula rancangan ini. Solat lepas abis rancangan ini lah. Pukul 3.00 pun masih waktu zuhur. Ah, tengok televisyen dulu lah’.

Aku lalu terbuai dek keasyikan dunia. Usai rancangan televisyen itu, aku bangun mendirikan solat. Seperti biasa, aku memanjatkan doaku kepada Illahi.

Seperti hujung minggu sebelum ini, aktivitiku adalah sama di waktu petang. Iaitu tidur di petang hari. Tidur di waktu petang adalah satu kenikmatan bagiku.

Sebelum tidur, alarm  telefon telah aku setkan. Aku ingin bangun pada jam 5.30 petang. Bagiku kalau tidur sekejap-sekejap tidak berasa kepuasaannya.

Aku lantas tidur dalam kesejukan penghawa dingin. Tepat jam 5.30 petang aku bangkit mendirikan solat.

Apabila senja mula mencelah, aku seperti dipanggil-panggil oleh televisyen. Seolah-olah ada suara dari televisyen itu menyuruh supaya aku membuka televisyen.

Aku menonton drama televisyen sehingga jam 8.00 malam. Jam 8.00 malam barulah aku tergesa-gesa mendirikan solat Maghrib.

Aku tidak pernah lupa untuk memanjatkan doa kepada Illahi. Sudah menjadi kemestian pada diri untuk berdoa selepas solat.

Selesai solat Maghrib, aku menyambung aktivitiku untuk menonton televisyen. Selalunya aku pasti tertidur di hadapan televisyen. Kadang-kadang sehingga jam 2.00 pagi. Bagiku, waktu Isyak panjang yang aku boleh dirikan nanti.

Hari ini aku terlena di hadapan televisyen. Terjaganya aku, jam dinding menunjukkan jam 10,30 malam. Aku bingkas bangun dan menunaikan solat Isya’.

Setelah selesai, aku periksa keadaan rumah, kupastikan semua pintu dan tingkap telahku kunci, suiz telahku matikan, baru aku masuk ke bilik untuk tidur.

Beginilah kehidupanku berulang siang ke malam dan malam membawa ke siang kembali.

Sehingga suatu hari aku terfikir. Aku yakin dan percaya dengan janji Allah bahawa setiap apa yang kita minta pasti Allah tunaikan cuma waktu yang membezakan.

Ada doa yang Allah maqbulkan cepat, ada yang lambat.

Aku berfikir, mengapa aku berdoa setiap kali selepas solat tanpa pernah tinggal walau sekali pun, tapi doaku masih tidak dimakbulkan. Adakah aku kurang usaha? Aku muhasabah kembali.

Bagi aku, aku cukup berusaha. Aku kerja siang petang. Adakah aku kurang beribadah? Aku tidak pernah tinggal solat walau terkadang aku lambat mendirikannya.

Tiba-tiba aku seolah disapa satu tepukan dari belakang yang aku sendiri tidak tahu daripada siapa. Sapaan itu seolah berbisik padaku,

‘Inilah jawapannya’.

Baru aku tersedar. Apa yang Allah ingin aku lakukan, aku lewatkan. Adilkah untuk aku mendapatkan apa yang aku hajatkan dengan cepat. Sedang apa yang Tuhanku mahukan aku lenggahkan.

Air mataku tiba-tiba mengalir tanpa aku sedar. Adilkah aku terhadap diri ku sendiri. Adil itu bermaksud, meletakkan sesuatu itu pada haknya.

Solat itu haknya di awal waktu, aku tidak adil akan itu. Adilkah aku apabila apa yang Allah perintah aku lewatkan namun apa yang aku hajatkan aku mahukan segera.

Adilkah aku?

Sekilas aku tersedar, siapa aku di muka bumi ini. Aku hanya seorang hamba. Hamba yang sangat hina martabatnya. Layakkah aku mempertikaikan pemberian Tuhan kepada diriku?

Layakkah aku iri hati dengan pemberian Tuhan pada hamba yang lain? Layakkah aku marah akan apa yang Tuhan beri dan ambil daripadaku, sedang semua milikNya?

Layakkah aku berfikir tentang keadaan diriku yang diuji? Tidak berimanlah aku sekiranya aku tidak beriman walau hanya dengan satu rukun iman. Percaya kepada Qada’ dan qadar.

Ramai yang terlepas pandang akan rukun iman terakhir iaitu beriman kepada qada’ dan qadar.

Pada kita rukun iman keenam ini hanya percaya ketentuan Illahi untuk kita tanpa meletakkan sebenar-benar bahawa Allah adalah perancang segala sesuatu yang terjadi pada hari ini.

Setiap hela nafas kita pada saat ini juga merupakan perancangan Allah untuk kita. Itulah qada’ dan qadar. Beriman dengan sebenar-benar iman.

Alhamdulillah, hari ini aku mula tersedar tentang siapa aku di muka bumi ini.

Adilkah aku sekiranya segala perintah Tuhan aku abaikan. Semoga hari ini merupakan hari yang terbaik bagiku, dan hari esok adalah lebih baik dari ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Nurdiyana binti Nor Mohd Mas Ariff. Berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

79 points
Upvote Downvote

Total votes: 155

Upvotes: 117

Upvotes percentage: 75.483871%

Downvotes: 38

Downvotes percentage: 24.516129%