,

Kerinduan Abadi Pada Ilahi

Saat coretan ini ditulis, hembusan nafas lega aku hirup dengan syukur. Linangan air mata yang membasahi pipi membuat aku cinta dalam menaip kisah hidup ini.

Coretan ini bukan untuk menagih simpati. Bahkan, coretan ini juga tidak mahu ditunjuknya bangga diri.

Namun, tulisan ini dicoret pada papan komputer riba untuk dikongsi pada semua yang belum kenal diri sendiri. Yang belum kenal juga akan manisnya hidup yang bererti.

Aku bukanlah sesiapa dalam dunia yang bersifat sementara ini. Aku hanya insan biasa. Kepuasan hidup aku sebenarnya berfoya-foya. Haram itu aku kenal dan telan buat jiwa. Tidak terdetik sekalipun di minda, aku sebenarnya kosong dan tidak tahu apa-apa.

Hidup aku penuh dengan harta. Aku punya keluarga yang kaya-raya. Namun, aku tidak pernah rasa gembira hakikatnya.

Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, namun kesunyian sentiasa membelenggu diri. Bukan tidak diajar dengan agama, namun tidak ingin akan mengenalnya.

Aku tidak punya kawan mahupun teman yang boleh bawa aku. Lebih-lebih lagi, keegoan dalam diri sememangnya tinggi hingga tidak terkata. Hati sering berbicara bahawa aku tahu siapa diri ini dan aku tahu apa yang aku buat.

Tiada siapa yang berani untuk mengawal aku. Seperti menipu diri jugalah jika aku tidak pernah ingin untuk kenal makna Islam itu, namun aku sering terkandas di tengah jalan.

Aku asyik gagal kerana kudrat ini sendiri yang penat usaha. Aku pun berkata pada diri, ‘Sekali aku gagal, gagal itu biarlah aku hadam.’

Makanya, aku perlu hitamkan lagi hati yang kosong. Aku tahu manusia itu tidak pernah akan sempurna. Jadi, mengapa aku perlu membuang masa untuk kejar kesempurnaan?

Kesempurnaan tidak pernah aku capai sebenarnya. Sepatutnya, aku perlu cari makna kesempurnaan dalam kehidupan. Sempurna itulah dengki, haloba, mati, gelap, membangkang, menolak pendapat orang dan sebagainya.

Bahkan juga, aku tahu bahawa tidak mampu dan tidak puas dengan kekenyangan rohani.

Perkara-perkara seperti dara wanita, nafsu, duit berjuta itulah yang membuat aku kenyang. Benci dan mulut puaka itu makanan aku. Arak yang mengalir dalam badan aku buat aku punya kuasa untuk menepis dan menangkis segala  yang lemah depanku.

Janji aku pasti untuk menghancurkan segala-galanya yang ada depan mataku.

Aku tidak bingung mahupun risau akan semua cerita hidup begini. Aku tidak perlu hirau akan gelaran seperti hina pada pandangan sesiapa.

Namun suatu hari, sesuatu perkara yang tidak pernah aku duga berlaku pada kehidupan keluargaku. Insan yang paling banyak bersabar dan mendidik aku iaitu abah berada dalam keadaan yang tenat.

Semuanya berpunca daripada sifat yang dengki seorang kawan sehingga sanggup membuat perbuatan yang terkutuk.

Namun, aku syukur kerana abah yang aku sayang kini pulih dan masih berada di depan mataku. Ketika itu, sebenarnya, aku buntu hingga meroyan dan menyalahkan pada situasi yang berlaku.

Mujurlah, teman setempat aku mencari ilmu sebagai warga pendidik memberikan aku sokongan dan kekuatan. Bait-bait bicaranya seperti ini, “Sejak aku kenal engkau sebagai sahabat, aku tahu bahawa engkau bukan jahat. Aku tahu engkau bukan seorang insan yang perlukan perkara untuk merosakkan diri sendiri sebenarnya. Sehalus zarah dalam jiwa ini aku tahu bahawa engkau inginkan masa depan yang baik.”

“Sahabat, selagi engkau terdaya, engkau mesti terus melangkah ke depan. Ini bukan rintihan namun inilah sebuah pengorbanan. Perkara yang berlaku dalam hidupmu bukanlah untuk menghancurkan dirimu, namun semuanya yang berlaku itu untuk diri engkau kenal akan Allah yang satu. Percayalah bahawa pintu taubat itu masih ada buatmu.” 

Sampai sekarang kata-kata itu masih terngiang di halwa telinga aku. Ketika itu, hati aku berkata-kata. Aku sedar yang aku perlu menilai. Bukan untuk diri orang lain namun untuk diri sendiri.

Aku bertanya pada diri iaitu siapa aku ini sebenarnya? Siapa aku ini pada pandangan Allah? Cukupkah segalanya untuk aku bergelar seorang hamba? Layakkah aku digelar seorang mukmin sejati?

Salah itu pasti. Aku bukanlah hamba yang sempurna. Hidayah itu aku perlukan dalam hati yang kosong ini.

Hidayah itulah kebenaran untuk kepuasan. Kepuasan itulah membuatkan aku tenang dan damai hakikatnya.

Pintu taubat masih terbuka untukku. Aku tetap yakin. Aku tahu bahawa ujian Allah itu untuk umatnya yang mampu. Aku diuji sebab aku kuat. Aku mampu patah balik ke pangkal jalan dengan kudrat yang Allah bagi.

Tasbih, al-Quran, hadis, dan alunan zikir. Itulah kekenyangan realitinya iaitu makanan rohani yang kekal sampai bila-bila dalam diri aku. Air wuduk yang membasahi diri buat aku tenang dan rasa segar akan kehidupan.

Maka, aku perlu sujud padaNya. Di sana aku tahu akan kualiti ibadahku. Kualiti ibadah aku pada khusyuk dan pada hati aku yang perlu dibawa menghadap Ilahi.

Aku tahu jika hati aku tidak ikhlas, mana mungkin bersungguh-sungguh menjauhi dosa. Namun itulah, yang aku sedar akan mujahadah. Kesungguhan yang sebenarnya.

Dalam peritnya mujahadah, di situlah letaknya kemanisan beribadah. Istiqamah aku perlukan kerana Allah memandang akan mereka yang sentiasa berusaha dalam memperbaiki diri.

Lepas kejadian itulah, aku sebenarnya rindu untuk sujud pada Ilahi dengan memohon ampun pada yang Maha Esa. Keikhlasan dan kejujuran aku tanam untuk kenal Allah.

Aku juga sedar bahawa masa tidak akan berhenti dan detiknya akan tetap berpusing. Allah tidak akan menutup pintu taubat selagi ada hati yang tetap ingin kenal padaNya sehinggalah datangnya kiamat.

Sebelum ajal datang menjemput, sebelum roh dan jasad bercerai, taubatku belum berakhir. Kejadian ini juga memberikan keinsafan hingga membuat aku terkedu dalam ungkapan yang syahdu itu.

Ungkapan itulah yang terus membuat aku terkenang akan dosa yang terdahulu iaitu pada hati yang sungguh beku.

Inilah kisah hidup aku sekarang, iman menjadi kepuasan hidup. Di sini jugalah aku ingin memberitahu kepada pembaca tentang kisah insan yang tidak sempurna.

Percayalah bahawa Allah sentiasa menitipkan kelebihan pada kekurangan kita. Allah juga sentiasa memberikan kekuatan dalam setiap kelemahan.

Allah juga sentiasa menimbulkan keriangan dalam kedukaan dan Allah juga akan mengalirkan harapan dalam pada setiap keraguan.

Semuanya kerana apa?

Semuanya disebabkan Allah sentiasa memberikan peluang kepada umatnya untuk bertaubat dan Allah berjanji bahawa setiap umat yang berserah padaNya akan dijanjikan keindahan tepat pada waktunya.

Moga kita terus berada dalam keredhaanNya. Pada coretan ini juga, terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan kepada mereka yang banyak membawa aku kenal akan Islam terutamanya abang Haswad yang sentiasa dalam ingatan.

Aku percaya Allah akan tahu keikhlasan hati mereka dan dijanjikan dengan syurga di akhirat kelak.

Akhir sekali, pesan buat diri ini. “Jika Allah menghadirkan seseorang yang menghadiahkan air mata, itu bererti Allah mendidik kita untuk sabar. Jika kita tidak pernah mengusik kehidupan seseorang tapi dia melukai kita, saat itu Allah mendidik kita untuk kuat. Jika Allah mempertemukan kita dengan seseorang yang membuat kita tersenyum, saat itu Allah mengajarkan kepada kita rasa syukur. Jika tanpa sebab seseorang hadir menghina kita, saat itu Allah mendidik kita untuk redha dan memacu diri menjadi lebik baik”.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wahyu Putra bin Suharmi. Nama penanya ialah Kenyalang Borneo.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 10

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%