,

Kau Tak Rasa Apa Aku Rasa!

Nukilan ini aku dapat daripada seorang kenalan yang berkongsi di ruang status Whatsapp-nya.

Walaupun coretannya pendek, tetapi setiap bait katanya benar menyentuh hatiku dan ingin sekali aku coretkan di sini untuk dijadikan tatapan buat semua yang membaca.

Aku kreditkan nukilan ini pada penulis asalnya walaupun aku tidak tahu siapa. Semoga ada manfaatnya nukilan ini.

“Setiap orang ada masalah tersendiri. Ujian tersendiri. Setiap orang diuji berbeza oleh Allah mengikut kemampuan masing-masing. Tiada seorang pun yang terkecuali.

Kita menangis, mengeluh dan terjatuh seketika. Apabila rakan kita cuba bantu dan nasihat kita, kita kata,

“Kau tak rasa apa aku rasa. Pergilah kau!”

Tika itu, kita rasa bagai dunia ini gelap gelita tiada jalan keluar.

Hati ini bertanya, “Kenapa Allah beri aku ujian ini?”

Kerana…

Allah nak kita mengadu setelah lama kita lupakan dan jauhkan diri daripada DIA!

Carilah Allah. Kembalilah kepada DIA! DIA tak kejam terhadap hamba-Nya. DIA bagi masalah, DIA juga yang bagi jalan keluar.

Allah… terlalu sayang kepada kita! DIA mahu kita sedar daripada kelalaian kita sendiri. Tidakkah kau sedar itu, duhai teman?

Tapi apa yang kita buat?

Kita malah menyalahkan Allah! Kita buat maksiat untuk hapuskan tekanan (tension) kita! Kita buat apa yang Allah larang!

Sedangkan, Allah sentiasa menanti kita, siang malam untuk meluangkan masa dengan DIA… ”

Lihatlah bait kata-katanya. Allah uji kerana Allah sayang. Allah tidak pernah zalim kepada kita.

Jadi, janganlah kita menzalimi diri kita sendiri. Bangun perlahan-lahan daripada jatuh kita, dan kembalilah kepada-Nya.

Bina kembali keyakinan, kebergantungan dan kepercayaan kita pada Allah.

Biar makan masa hati ini diubati, asalkan kita tidak pernah putus asa dan tidak henti berusaha untuk terus berjalan menuju-Nya.

Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf: 87)

Dan percayalah, setiap yang terjadi dalam hidup kita, semuanya ada cerita tersendiri.

Tiada sesuatu yang diberikan pada kita kosong dan tidak bererti apa-apa.

Semuanya terselit hikmah yang begitu bermakna buat diri. Teruskan berdoa dan teruslah yakin kepada Allah.

Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.” (Surah Mukmin: 60)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%