,

Kegagalanku Itu Pasti Mengundang HikmahNya

Sebagai seorang pelajar, kegagalan itu biasa. Dugaan belajar memang tidak habis-habis.

Usaha memang kena teruskan walaupun ada kalanya kita akan menghadapi ‘breakdown’. Doa pun semakin panjang, solat pun semakin banyak.

Itulah lumrah pelajar, sanggup menghadapi semua ini demi ilmu.

Tetapi pada tahun 2015, kegagalan itu perkara yang terlalu biasa bagiku. Walau sebanyak mana pun usahaku, aku akan tetap kecewa, aku akan tetap gagal.

Bila aku tahu rakan-rakanku yang tidak belajar atau tidak berusaha sebanyak diriku, mereka mampu menjawab ujian dengan baik, hanya Allah saja tahu betapa sedihnya diri ini.

Bukan sekali, tapi setiap kali juga aku terasa diri ini lembap dan bodoh. Bila diri merasa begitu, aku akan menangis dan cuba untuk meyakinkan bahawa semua ini ada hikmahnya.

Jika mereka yang tidak berusaha itu berjaya, maka itu rezeki mereka. Aku hanya dapat mencuba untuk husnuzhon bahawa semua ini belum lagi rezekiku dan aku akan terus berusaha. Perasaan ini berlangsung selama 2 tahun.

2 tahun berlalu begitu susah untuk mengawal emosi ini, kadangkala aku harus mengelakkan diriku daripada rakan-rakanku agar mereka tidak bertanyakan keputusan ujianku atau kefahamanku dalam subjek itu.

Mereka fikir aku terlalu berahsia tapi aku biarkan saja. Fasa ‘depression’ ini bukanlah senang. Bila aku meluahkan perasaan ini kepada rakan-rakanku, mereka tidak faham.

Benar, rezeki masing-masing itu berbeza; tapi bila kita cuba sedaya upaya, bersusah payah, berdoa tidak putus-putus tetapi masih tidak dapat; hakikat ‘rezeki masing-masing itu berbeza’ bukanlah senang untuk diterima.

Sehinggalah 2 tahun kemudian, bila aku menerima keputusan peperiksaanku, keputusan yang akan
menentukan masa depanku… Ternyata aku gagal, semua universiti yang aku pohon ditolak.

Aku sedih tidak terkata, semua usahaku selama dua tahun hanyalah sia-sia. Apakah yang Allah cuba tunjukkan?

Aku sudah mencuba yang terbaik, aku tidak putus berdoa kepadaNya, mengapa semua ini berlaku?

Semua ini ada hikmahnya. Semua ini ada hikmahnya. Aku hanya meyakinkan diriku akan hakikat itu. Aku cuba untuk melupakan peristiwa itu dan teruskan dengan apa yang ada.

Aku tidak mahu mengingati kegagalan itu, hanya menyakitkan hati saja.

Oleh kerana ditolak oleh universiti, aku mempunyai banyak masa. Dengan masa itu, aku meluangkan masa dengan hobiku melukis.

Aku mula melukis benda yang aku tidak pernah melukis, dan belajar menggunakan peralatan yang baru. Di situ aku mula melupakan kesedihanku dengan seni.

Pada masa itu juga aku mula mendapat tawaran kerja untuk melukis di sebuah kedai. Walaupun aku tidak ada latar belakang dalam jurusan seni dari mana-mana institusi, aku ditawar juga kerana mereka yakin kebolehanku.

Sungguh peluang itu tidakku sangkakan, Alhamdulillah. Walaupun aku bekerja 10 jam sehari, aku suka akan pekerjaanku itu, 10 jam itu berlalu dengan cepat kerana aku menyukai pekerjaan itu, klien-klien yang aku uruskan semua aku mampu buat dengan baik.

Di situlah permulaanku mengubah bidangku daripada sains ke seni.

Aku mula memohon kepada beberapa universiti untuk mengambil jurusan seni. Aku sebenarnya
meragui peluang diterima itu kerana aku tiada latar belakang seni, aku hanya belajar seni pada masa lapang, itu pun sebagai hobi saja.

Namun perancangan Allah itu lebih baik, aku diterima oleh semua universiti yang kupohonkan.

Sekarang aku melanjutkan pembelajaranku dalam bidang ini dengan cemerlang. Ternyata, kegagalanku selama ini ada hikmahnya.

Sekiranya aku tidak gagal, aku tidak akan mendapat peluang untuk bekerja dan mengubah bidangku kepada bidang yang lebih bersesuaian untukku.

Oleh kerana kegagalan itu, aku memperolehi masa depan yang lebih baik dan aku sangat bersyukur kepada apa yang berlaku.

Semua yang berlaku ada hikmahnya dan jika ada di antara pembaca artikel ini menghadapi kesusahan, yakinlah ada hikmah sebalik semua ini. Berbaik sangkalah dengan rancangan Allah.

Dan Mereka Merancang, Allah juga merancang, Dan ALLAH sebaik-baik Perancang.” (Surah Ali-Imran:54)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Hamba Allah. Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%