, ,

Keberanian Ummu Aiman & Ummu Sulaim

Ramai sebenarnya pejuang wanita yang hebat pada zaman Nabi, namun untuk kali ini saya ingin kongsikan tentang dua orang ini; Ummu Aiman dan Ummu Sulaim.

Sayang sekali jika pencinta Nabi tidak mengenali mereka. Mereka antara orang yang terdekat dengan Nabi selain tergolong daripada 22 orang sahabiah yang dijamin syurga Allah.

Persamaan mereka adalah kedua-duanya merupakan srikandi dalam peperangan Uhud.

Siapa Ummu Aiman?

Beliau ibu susu Nabi dan isteri kepada Usamah bin Zaid. Nama sebenarnya Barakah binti Tha’labah al-Habsyi.

Beliau bekas hamba kepada Nabi, namun sebelum itu merupakan hamba kepada ayah Nabi, kemudian ibu Nabi, dan kemudian diarahkan datuk Nabi untuk menjadi pengasuh Nabi.

Sejak hari pertama Nabi dilahirkan beliau sudah ada di sisi Nabi; dalam setiap peringkat umur sehinggalah Nabi meninggal dunia.

Beliau jugalah yang memandikan jenazah Sayidatina Khadijah dan anak perempuan Nabi.

Dijamin Syurga

Diriwayatkan Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang hendak berkahwin dengan salah seorang wanita syurga, maka kahwinilah Ummu Aiman.” (Tabaqat Ibn Saad)

Ummu Aiman antara perempuan terawal yang masuk Islam di Makkah. Demi Islam, beliau rela diceraikan kerana suami pertamanya, Ubaid bin Zaid enggan mengikut jejak langkahnya.

Ummi Aiman juga seorang mujahidah. Terlibat dengan beberapa siri peperangan. Malahan ahli keluarganya juga merupakan pejuang.

Suami keduanya, Zaid bin Harithah syahid dalam peperangan Muktah. Selepas itu anak sulungnya pula; Aiman syahid dalam peperangan Hunain.

Manakala anak keduanya, Usamah bin Zaid menjadi panglima tentera termuda dan terakhir dilantik Nabi.

Rujukan: Majalah Solusi Isu 107

Peperangan Uhud

Diriwayatkan semasa peperangan Uhud, tentera Islam berpecah sehingga ada yang lari pulang ke Madinah setelah mendengar khabar angin bahawa Rasulullah SAW dibunuh, Ummu Aiman lantas mengadang mereka.

Beliau melemparkan pasir ke muka mereka sambil meneriak supaya mereka berpatah balik dan berperang (Maghazi al-Waqidi).

Selepas itu beliau sendiri mara ke medan perang dan memberi minum askar tercedera sehingga beliau juga dipanah musuh (Hibban) sehingga terdedah auratnya. Hibban ketawa.

Rasulullah SAW yang melihat kejadian itu sangat terasa, sehingga mengarahkan Saad bin Abi Waqqas membalas panahan sehingga terkena leher Hibban lalu aurat Hibban pula terdedah. (Tarikh Dimasyq, Ibn Asakir).

Rujukan: Majalah Solusi Isu 103

Orang menggelar Ummu Aiman “pengasuh Nabi”, namun lebih sekadar itu. Kerana dalam satu riwayat, Nabi ada menyebut, “Ummu Aiman ialah ibuku selepas ibuku.”

Selepas lima bulan kewafatan Nabi, beliau pun menyusul pergi.

Siapa Ummu Sulaim?

Nama sebenar Ummu Sulaim ialah Rumaisa’ binti Milhan (atau juga disebut Ghumaisa’).

Disifatkan sebagai wanita Ansar yang paling dekat dan mesra dengan Nabi.

Beliau ialah ibu kepada Anas bin Malik, pembantu peribadi cilik Nabi.

Ummu Sulaim berasal dari bani Najjar di Madinah. Bani Najjar ialah keluarga moyang perempuan Nabi.

Moyang Nabi, Hasyim berkahwin dengan orang daripada bani Najjar lalu melahirkan Abdul Muttalib.

Mas kahwin (Mahar) Ummu Sulaim

Ketika tersebar Ummu Sulaim menjadi janda, banyak lelaki ingin berkahwin dengannya. Salah seorangnya adalah Zayd bin Sahl an-Najjari atau lebih dikenali sebagai Abu Talhah.

Seorang yang terhormat dan kaya. Namun lamarannya ditolak kerana beliau kafir (ketika itu).

Lantas Ummu Sulaim memohon maharnya adalah Abu Talhah perlu memasuki Islam jika mahu mengahwininya, Abu Talhah bersetuju.

Sejak saat itu, Abu Talhah menjadi orang yang sangat taat dan hidupnya diserahkan sepenuhnya untuk islam.

Kecerdikan Ummu Sulaim

Selain seorang yang suka bersedekah dan memberi makan, Ummu Sulaim juga seorang yang sangat bijak. Lihat bagaimana dia bermula dengan menghadirkan ikon untuk anaknya.

Beliau telah menempatkan anaknya, Anas sebagai pembantu Rasulullah SAW. Maka membesarlah Anas bin Malik dengan didikan Rasulullah SAW.

Kisah Ummu Sulaim dan anaknya

Kisah ini sangat popular. Bagaimana santun dan sabarnya Ummu Sulaim menerima takdir pemergian anaknya; Umair yang sakit, lantas membaringkan anaknya di tempat tidur.

Ketika itu suaminya telah keluar rumah. Namun setibanya Abu Talhah pulang, Ummu Sulaim menyambutnya dengan gembira.

Abu Talhah bertanya khabar anaknya, Ummu Sulaim tenang saja menjawab, “Dia lebih tenang daripada keadaan sebelumnya.” Senang Abu Talhah mendengarnya.

Lantas mereka pun makan malam, dan Ummu Sulaim berhias cantik.

Pasangan suami isteri itu “bersama” dan setelai selesai baru Ummu Sulaim memberitahu tentang keadaan Umair yang telah meninggal dunia kepada suaminya.

Abu Talhah sedih dan telah timbul kemarahan dalam hatinya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah SAW tentang apa yang Ummu Sulaim telah lakukan.

Rasulullah SAW yang mendengar tentang berita tersebut terus mendoakan keberkatan keluarga mereka, dan kemudian pasangan itu dikurniakan anak soleh yang diberi nama Abdullah.

Pergi berperang

Suaminya Abu Talhah seorang sahabat pakar pemanah. Beliau pelindung Nabi semasa peperangan Uhud. Ibn Siri berkata: “Ummu Sulaim bersama Nabi dengan membawa sebilah khanjar (pisau).” (Syiar A’lam).

Nabi menceritakan: “Aku masuk ke dalam syurga, tiba-tiba aku terdengar bunyi geseran orang berjalan kaki. Aku bertanya gerangannya. Lalu diberitahu: “Inilah Ghumaisa’ binti Milhan.” (Hadith riwayat Muslim)

Masya-Allah tabarakallah. Moga kita dapat mencontohi sikap berani dua orang srikandi ini di samping menyelusuri kehidupan mereka yang dekat dengan Baginda Nabi SAW.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 83.333333%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 16.666667%