, , ,

Keajaiban Manfaat Solat Kepada Ibu Hamil

Otak manusia menggunakan dua puluh lima peratus daripada oksigen yang terdapat dalam badan. Adakalanya sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang mencukupi kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekaligus melawan tekanan graviti.

Ketika sujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dan dalam keadaan begini, jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala. Ia memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan graviti.

Peter Russell dalam bukunya, ‘The Brain Book’ berpendapat, “Otak manusia beroperasi tujuh peratus lebih cepat dan empat belas peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka ke bawah atau inverted.

Merujuk artikel ‘Chronic Pain: Exercise can bring relief’ di laman web mayoclinic.com, pakar-pakar berhujah bahawa senaman secara berterusan adalah penting untuk kesihatan sendi.

Senaman juga mampu mengurangkan sakit dan merangsang pengeluaran hormon endorfin yang berfungsi mengurangkan rasa sakit.

Solat sememangnya bermanfaat kerana ia menggerakkan sendi-sendi badan termasuk tangan dan kaki secara sederhana.

Pada tahun 1967, Professor Dr. Herbert Benson daripada Fakulti Perubatan Harvard membuat kajian ke atas tiga puluh enam orang yang bermeditasi.

Dapatan kajian menunjukkan mereka menggunakan oksigen tujuh belas peratus lebih rendah daripada biasa, jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih perlahan daripada kelaziman dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelas.

Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena.

Kajian yang melibatkan sembilan puluh orang pesakit kanser yang telah melakukan meditasi selama tujuh minggu ini, menemukan para pesakit didapati kurang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan.

Mereka lebih bertenaga, sakit jantung menurun serta masalah pada sistem penghadaman berkurangan. Kajian ini telah diterbitkan dalam majalah Psychosomatic Medicine pada tahun 2000.

Solat serta zikir yang kusyuk boleh diibaratkan seperti bermeditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya di sini tampak unsur-unsur meditasi cuma di dalam Islam ia dilakukan sebagai satu ibadah.

Bagaimana pula halnya kaitan manfaat solat pada ibu hamil?

Pakar ‘Fetal Positioning’ & Bidan Profesional mengiktiraf kedudukan Forward Leaning Inversion (FLI) iaitu bersujud adalah bagus diamalkan ibu mengandung. Antara sebabnya:

  • Objektif kekerapan FLI setiap hari untuk membebaskan urat tersimpul, ketat dan memaksimumkan kapasiti janin di dalam rahim. Ia turut memberi ruang untuk bayi memasukkan kepalanya dalam rongga saluran pelahiran bila sudah tiba masanya bayi dilahirkan.
  • Teknik solusi untuk bayi songsang, lebih efektif dilakukan awal sebelum bayi melebihi tiga puluh enam minggu ke atas. Namun, jangan putus asa, masih ada ruang dan peluang kedudukan janin songsang berubah.
  • Kedudukan ini juga telah memperlihatkan kesan dramatik untuk janin berkedudukan melintang dalam rahim berubah.

Jadi, kenapa tidak memperbanyakkan sahaja solat dan sujud lebih lama dengan bacaan sunat dan doa meminta pada Yang Maha Mengetahui?

Posisi rukuk pada sudut sembilan puluh darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan boleh digunakan sebagai terapi untuk menurunkan dan memulihkan sakit pinggang. Bukankah ibu-ibu hamil mudah dapat sakit pinggang? Jadi ini antara cara merawat sakit pinggang tersebut.

Pelupa sinonim dengan ibu hamil gara-gara peningkatan hormon progesteron. Menurut beberapa kajian, otak didapati mengeluarkan gelombang alpha yang agak jelas ketika sujud dan jalur frekuensi gelombang gamma selepas solat adalah lebih tinggi berbanding sebelum solat.

Fenomena ini bermaksud penumpuan dan daya ingatan meningkat ke atas mereka yang bersolat dengan penuh kusyuk.

Gementar untuk mengharungi proses bersalin adalah isu lazim bagi mana-mana ibu yang bakal melahirkan. Antara saranan ialah mengaktifkan hormon gembira endorfin bagi menurunkan aras cemas dan gelisah ini.

Telah dinyatakan senaman ringan yang terbit daripada pergerakan kaki dan tangan semasa ibadah solat mampu merembeskan hormon yang membantu ibu menjelang pelahiran.

Kekhusyukan dalam solat yang sinonim dengan unsur meditasi telah terbukti mampu memperbaiki emosi yang kurang stabil. Ibu-ibu yang hamil akan melalui fasa emosi tidak menentu dek penangan hormon-hormon yang bekerja keras. Bersolatlah bagi meredakan perasaan yang membelenggu.

 

SUMBER:
  1. Quran Saintifik – Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains (Dr Danial Zainal Abidin)
  2. http://spinningbabies.com/learn-more/techniques/the-fantastic-four/forward-leaning-inversion/)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Puan Hanz Jamaludin, merupakan Jurulatih Bertauliah yang diiktiraf oleh HRDF (PSMB) dan Kaunselor Laktasi Bertauliah dari Pusat Laktasi Kebangsaan (NLC). Beliau juga merupakan Pendidik Kelahiran yang diiktiraf oleh HypnoBirthing Institute.

Karya sulung beliau bertajuk, ‘Formula Bersalin Tenang: Tip-tip Mudah Cara Kelahiran Untuk Si Ibu’ telah mendapat tempat di hati ramai para ibu. Terbitan buku kedua berjudul, ‘Syoknya Bersalin Tenang: Himpunan Kisah Kelahiran Indah’ turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Beliau boleh dihubungi di FB Page: BersalinTenang atau di laman web, www.bersalintenang.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%