,

Jika Kamu Mampu Untuk Mencintai, Cintailah Allah Terlebih Dahulu

Suasana di kafeteria agak bingit dengan pelajar yang sibuk melakukan urusan jual beli.

Maklumlah, sudah masuk waktu makan tengah hari, masing-masingnya mula sibuk mengisi perut kosong yang sudah berbunyi dengan pelbagai rentak rock mahupun balada.

Aku memerhati keadaan sekeliling, suasana yang lazimnya terlihat di institut pengajian tinggi, suasana berpasang-pasangan ataupun ‘couple’!

Makan, belajar dan semuanya ingin berpasangan.

Hmm… tak tahulah apa yang nak dibahaskan lagi. Mungkin kerana gejolak jiwa remaja yang ingin disayangi dan menyayangi yang menyebabkan mereka mudah terjebak dengan budaya bercouple ni.

Tapi, kalau nak dikatakan kurang kasih sayang, rasanya kasih sayang daripda orang tua dan keluarga pun sudah melimpah ruah.

Belum lagi diceritakan tentang cinta dari kekasih yang selalu dilupai, Allah rabbul Alamin dan nabi Muhammad S.A.W.

Tetapi, tipulah kalau aku tak rasa apa-apa tengok dorang ni. Adalah juga sikit rasa cemburu kat dalam hati ni.

“Aku ni entah bilalah pula nak berdua. Asyik sendiri je. Tapi, bukan couple ek… nak bersuami. Hehehe…” omelku sendiri.

Tut…tut…tut…

Telefonku berbunyi. Aku melihat ada pesanan ringkas yang masuk. Segera aku buka folder inbox dan aku baca isi kandungannya.

“Cemburu, iri hati, sedih mahupun rasa sendiri? Itukah rasa yang menghuni jiwamu kini tatkala melihat insan di sekelilingmu yang sibuk memadu kasih antara mereka, sedangkan kau tidak.

Cinta?Apa benar itu yang mereka sedang rasai tatkala ini duhai saudari. Kadangkala apa yang terlihat indah pada zahirnya, tidak semestinya indah pada hakikatnya.

Jika jalinan yang terikat adalah hasil daripada akad suci yang menghalalkan, ya aku setuju mengatakan ia indah.

Namun jika jalinan ini terbina tanpa ikatan yang menghalalkan hubungan? Aku yakin kau punya jawapannya.

Saudari, cinta tidak pernah menzalimi mahupun membinasakan. Namun jika apa yang dikatakan cinta itu bisa mencampakkan insan ke lembah neraka, apakah layak ia dipanggil cinta?

Bagaimana mungkin kau memiliki cinta tanpa kau cintai si pemiliknya.

Mana mungkin kau cuba memiliki sesuatu tanpa kau kenali Penciptanya. Aku tidak searif mana untuk berbicara tentang cinta.

Namun yang kutahu, cinta itu tiada salahnya, cuma yang kau perlu tahu adalah untuk meletakkan cinta mana yang paling utama.

Allah, pemilik segala cinta dan Pencipta segala rasa. Jika kau tidak meletakkan Dia yang pertama di hati, mana mungkin kau merasai cinta sedangkan rasa itu jua datangnya daripada Dia. Fikirkan…”

Aku terkedu sendiri. Mesej daripada dia lagi, si misteri yang tak kukenali. Kerap pula dia menghantar mesej berunsur nasihat kepadaku sejak kebelakangan ini.

Siapa dia sebenarnya?

Aku lihat sekeliling, masing-masing masih tekun melakukan aktiviti sendiri. Tiada siapa yang mencurigakan.

Namun aku tahu, dia pasti sedang memerhatikan aku. Mesej daripadanya aku baca berkali-kali.

Tut…tut…tut…

Mesej daripada dia lagi. Aku membuka dan membacanya.

…surat cinta dari Illahi…

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W kepada setiap orang yang mengakui cintakan Allah), “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”.” (Surah Ali Imran 3:31)

Aku kelu tanpa kata-kata. Cinta Allah? Sunnah Rasulullah? Dicintai Allah?

Fikiranku menerawang jauh memikirkan kata-kata ini. Suasana yang bingit terdengar sepi, seolah aku sedang sendiri hanya ditemani persoalan yang kian menghantui diri.

“….Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku (Muhammad S.A.W)..”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%