, ,

Jika Cinta Baginda (Rasulullah SAW)

#1 Jika cinta Baginda,

Hadamlah sirahnya. Kata orang, tak kenal, maka tak cinta.

Maka, kenalilah Baginda melalui sirah perjalanan hayatnya.

Bukan sekadar baca untuk jawab periksa. Tidak juga semata lulus temuduga kerjaya. Habis periksa, semua lupa. Selesai temu duga, otak kosong belaka.

Fahami, biar sampai mendarah daging. Hayati biar meresap sampai ke urat nadi.

#2 Jika cinta Baginda,

Jangan biarkan sehari berlalu tanpa membaca Al-Quran.

24 jam itu terlalu lama untuk dibiarkan terbazir tanpa sepatah kalimah pun daripada firman Tuhan.

Menjadi Al-Quran berjalan seperti Baginda Rasulullah itu mungkin terlalu mustahil bagi kita. Berakhlak Al-Quran seperti Rasulullah SAW itu mungkin terlalu berat bagi kita.

Namun, amat mustahil lembaran mushaf Al-Karim itu terlalu berat untuk disentuh dan dibelek.

Ringankanlah sepasang tanganmu untuk mencapai mushaf yang terbiar di rak.

Sempatkanlah lisanmu membaca, bukakanlah mata hatimu untuk mentadabbur walau sehelai dalam sela-sela ruang masa yang terbatas dengan kesibukan rutin harian.

#3 Jika cinta Baginda,

Berselawatlah. Sedangkan Allah SWT, Pemilik Sekalian Alam dan para malaikat yang suci turut berselawat ke atas Baginda.

Alangkah malunya kita sebagai hamba yang tak punya apa-apa, tapi masih kedekut berselawat, dalam masa yang sama mengharap pula syafaat Baginda di hari kiamat.

Berselawatlah, selain dalam doa dan solat.

Berselawatlah, setiap hari, bukan hanya pada Maulidur Rasul sahaja. Jika Maulidur Rasul ini pemulanya, maka jadikanlah hari-hari selepasnya terisi dengan selawat ke atas Baginda SAW.

Jika rasa berat untuk berselawat, kenanglah Rasulullah yang setiap saat ingat dan sayang umat.

Apa sangatlah beratnya selawat, jika dibandingkan berat lagi getir jihad yang dipikul seorang Nabi Muhammad SAW.

Jika rasa culas untuk berselawat, kenanglah pula betapa pemurahnya Allah SWT.

Sekali kita berselawat ke atas junjungan Rasulullah SAW, 10 kali Allah hadiahkan selawat buat kita.

Ibarat beli 1, percuma 10. Siapa nak hadiahkan kalau bukan Allah dan kalau bukan dengan selawat ke atas Kekasih Allah?

Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam ke atasnya.” (Surah Al-Ahzab 33:56)

#4 Jika cinta Baginda,

Janganlah berdusta atas nama Baginda. Menyebarkan ilmu, apatah lagi hadis-hadis Rasulullah SAW memang satu usaha yang sangat murni.

Terkadang mungkin kita teruja untuk menyebar hadis-hadis nubuwwah tapi terlupa menyelidik kesahihannya terlebih dahulu.

Mungkin juga kerana terkesan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Sampaikanlah dariku walau satu ayat.”

Tetapi, hadis itu tak terhenti setakat itu, malah ia datang bersama amaran.

Ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa rasa takut. Barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja, maka bersiaplah dia menempah tempat duduknya di neraka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perhatikan, ini bukan gurauan apa lagi cubaan. Ini amaran keras buat sesiapa pun – tak kira seorang ustaz, atau seorang profesor, hatta seorang pemimpin ternama sekalipun.

Mengadakan pembohongan atas nama Rasulullah dengan SENGAJA, yakni menyebar tularkan hadis yang tiada bukti thabit daripada Rasulullah SAW – secara automatiknya satu hot seat ditempah di neraka.

Amarannya keras, kerana implikasinya sangat dahsyat. Menyebar hadis palsu bukan sahaja satu pengkhianatan ke atas ilmu, bahkan berdusta atas nama Rasulullah, tidak sama seperti berbohong ke atas manusia biasa.

Maka kita wajib berwaspada sebelum menularkan sesebuah hadis, serahkan kepada ahlinya jika musykil.

Andainya kita pernah menyebarkan tanpa sengaja, maka taubat jalan sebaiknya. Tarik balik apa yang telah disampaikan.

Moga menjadi pengajaran, jika benar mencintai Baginda – bantulah untuk sebarkan kebenaran, bukan kepalsuan yang mengelirukan.

#5 Jika Cinta Baginda,

Teruskan usaha dakwah Rasulullah. Berdakwah dengan kesenian, bukan kebencian.

Seni itu sesuatu yang indah dan kreatif. Dakwah pula perlukan kekreatifan dalam penyampaian.

Dakwah ada banyak kaedah, untuk pelbagai situasi dan golongan sasaran yang berbeza. Biar dalam dakwah, masyarakat awam melihat keindahan dalam Islam.

Jika salah cara penyampaian atau tidak menepati keadaan, mesej dakwah dikhuatiri tidak sampai ke sasaran.

Jika disampaikan dengan keras dan penuh paksaan, Islam bakal dipandang penuh kebencian.

Paling penting, utamakan akhlak sebelum berdakwah. Belajar melangit tinggi pun tiada erti, jika peribadi menjengkelkan hati.

Akhlak yang terjaga menjadikan diri mudah didekati dan disenangi, justeru dakwah lebih mudah terkesan di hati.

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik.” (Surah An-Nahl 16:125)

#6 Jika cinta Baginda,

Peliharalah keaslian sunnahnya. Daripada sekecil-kecil rutin harian hingga sebesar-besar urusan pentadbiran negara.

Daripada bab akhlak sehingga bab siasah. Daripada bab menjaga keharmonian hubungan kekeluargaan sehingga hubungan diplomatik.

Ikutlah Baginda, kerana pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan tersendiri.

Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” (Surah Ali Imran 3:31)

Jika cinta Baginda,
Jangan hanya tahu berkata,
Apa guna ilmu penuh di dada,
Andai tiada sumbangan buat agama tercinta.

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%