, ,

Jalan Kita Tidak Pernah Mudah

Bismillahirrahmanirrahim.

“Jalan kita tidak pernah mudah…”

Ayat ini yang selalu terngiang-ngiang di kepala dan selalu kami ucapkan saat diuji dengan ujian yang hanya ALLAH yang mampu untuk memahaminya.

Dada seakan sempit… menahan sebak yang bertandang. Air mata yang bergenang sedaya upaya kami tahan.

Cukup sekadar berbalas senyuman untuk melegakan hati yang sesak kerana kami tahu hanya ALLAH yang mampu mengerti perasaan kami.

Setiap mata yang memandang tidak akan dapat memahami perasaan kami. Setiap kata yang diucapkan tidak mampu untuk melegakan kami.

Kerana hanya pujukan daripada ALLAH yang kami dambakan yang mampu melegakan kami ibarat air dingin menyejukkan hati dan fikiran.

“Dan mohonlah pertolongan kepada ALLAH dengan sabar dan solat…” (Surah Al-Baqarah 2:45)

Maka kepada ALLAH jua kami sujud dan tunduk, mengadu dan memohon supaya diberikan kekuatan dan pertolongan.

Ayat ALLAH jua yang mampu memujuk hati kami yang resah. Janji ALLAH yang kami pegang biarpun harapan kian tipis dan jalan seakan kabur, namun kami tahu Dia Maha Mengetahui segalanya.

Tarbiyah Daripada Allah

Hidup kita ibarat roda yang sentiasa berpusing… ada ketikanya kita berada di atas dan ada ketikanya kita berada di bawah.

Ketika roda berpusing di atas, segala-galanya terasa senang kerana kami dapat apa yang kami mahu.

ALLAH memberikan segala ni’matnya terkadang tanpa kami minta. Kadangkala terasa betapa kami tidak layak untuk mendapatnya. Betapa baiknya ALLAH.

Namun siapa sangka, ALLAH ingin menguji kami untuk merasai pengalaman berada di bawah…segala-galanya terasa sulit dan sukar.

ALLAH menguji kami dengan titik kelemahan kami. Satu demi satu ujian kami lalui dan kadangkala terdetik di hati:

“Kenapa kami yang diuji dengan ujian itu?”

“Kenapa hidup kami tidak lancar seperti orang lain?”

Kami pernah jatuh tersungkur sehingga kekuatan untuk bangkit kembali hanya ALLAH yang Maha Mengetahui kerana hanya Dia yang ada di sisi kami.

Kami pernah menangis bersama-sama apabila terasa tidak mampu untuk meluahkan melalui kata-kata.

Kami pernah membuat keputusan paling berat melepaskan amanah berharga kerana perasaan tidak mampu untuk menanggungnya.

Namun, ALLAH tahu kekuatan dan kemampuan setiap hamba-hambaNya dan hanya yang layak sahaja yang mampu untuk menghadapi ujian yang pelbagai dalam hidup.

ALLAH mahu kami menjadi kuat emosi dan rohani. ALLAH mahu kami menjadi matang dan berpengalaman dalam dunia yang mencabar ini. Ujian adalah tarbiyah daripada ALLAH. Bersyukurlah dengan ujian tersebut.

Tidak akan ada orang yang tahu erti kesakitan selagi mereka tidak merasai sakit.

Tidak akan ada orang yang tahu erti kegagalan selagi mereka tidak merasai kegagalan.

Tidak akan ada orang yang boleh berpura-pura susah selagi mereka tidak ditimpa kesusahan.

Tidak akan ada orang yang dapat merasai kejayaan sehingga dia berjaya.

Percayalah setelah ujian itu berakhir…

“Aku seakan-akan tidak percaya, aku mampu hadapi ujian itu!”

Kelak kita akan mampu untuk tersenyum bahagia kerana walau sesulit mana pun keadaan kita, yakinlah ALLAH ada untuk membantu kita melepasinya.

ALLAH pasti akan bantu kita selagi mana kita tetap yakin dan bergantung kepadaNya kerana ALLAH mengikut persangkaan hamba-hambaNya.

Kami dahulu yang banyak mengalami kesulitan dan masalah mampu untuk memberi tunjuk ajar kepada orang lain yang mempunyai kesulitan yang sama kerana kami pernah berada di dalam situasi tersebut.

Ujian yang ALLAH berikan ada hikmahNya.

Orang yang beriman itu percaya biarpun begitu mustahil mimpi dan impian, namun mereka tetap yakin bahawa ALLAH akan mewujudkan mimpi dan impian itu kerana tiada yang mustahil dengan kasih sayang ALLAH.

“Jalan kita tidak pernah mudah” tetapi ada ALLAH yang akan kuatkan kita di setiap langkah kita menuju ke destinasi yang kekal abadi iaitu SYURGA. InshaaALLAH…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%