,

Itukah Cahaya Keimanan?

Cahaya keimanan. Seringkali ustaz atau ustazah mengatakan bahawa orang yang bersolat akan terpamer cahaya keimanan pada wajahnya manakala sesiapa yang tidak bersolat, maka wajahnya tiada cahaya keimanan.

Sebagai manusia biasa, yang mana ibadah ada turun naiknya, yang banyak lagi kesalahan harus diperbaiki, aku tidak pandai untuk melihat dan mentafsir cahaya keimanan pada orang lain apatah lagi pada diri sendiri.

Mungkin husnuzon aku pada manusia lain di tahap yang tinggi apabila ada muka yang walaupun tidak tenang dipandang, tidak pula aku katakan muka itu tiada cahaya keimanan.

Melalui hari-hari biasa, solat seperti biasa, yang penting 5 waktu. Alhamdulillah tidak pernah tinggal, selalu juga di awal waktu, kurasakan sudah cukup baik buatku. Ditambah solat sunat sikit-sikit, cukuplah.

Namun, aku sedar. Insan yang biasa, melakukan perkara yang biasa, yang dirasakan biasa, memang akan menghasilkan perjalanan hidup yang biasa-biasa sahaja.

Tiada apa yang hebat dalam pelajaran walaupun menggenggam segulung ijazah. Pekerjaan apatah lagi, dengan gaji baru tamat pelajaran, tiada apa yang tinggi melainkan angan-angan. Namun bersyukur itu ada.

Suatu hari di pejabat, seorang pelatih mengatakan pensyarahnya akan datang. Maka bermulalah sesi pertemuan pensyarah pelatih itu dengan pegawai di syarikatku. Tidak melibatkan aku pun.

Sambil-sambil memandang dinding kaca, termenung jauh ke luar, pensyarah pelatih itu berjalan melewati, berbaju kuning cerah. Aku melihat dengan pandangan yang pelik, tenang dan tertarik.

Aku tidak tahu apa yang aku cari tetapi perasaan aku berkecamuk bagai ada banyak soalan apabila memandang pensyarah itu.

Adakah kerana kulitnya cerah? Ataupun cuaca di luar yang cerah? Ataupun baju kuningnya yang cerah? Ataupun kerana ‘chinese look’ itukah? Eh, cina ke melayu ni?

Mengapa aku yang pertama kali melihat dia tetapi macam ada seribu soalan dan perasaan yang aku ingin tahu apabila memandangnya.

Apabila pelatih itu duduk semula di tempatnya, iaitu di sebelahku, aku bertanya menjalankan siasatan. “Tu ke pensyarah kau? Yang lalu tadi baju kuning,” tanyaku. “Haah, dialah,” jawabnya.

Aku diam sebentar. “Dia cina ke melayu?” Tanyaku lagi. Aku tahu dalam fikiran dan hatiku bukan ingin tahu mengenai bangsa.

“Dia cina,” jawabnya lagi. Jawapan itu tidak menjadikan aku menemui jawapanku.

Seolah-olah ada jawapan yang lagi tepat kerana aku rasakan bukan itu yang aku mahu tetapi aku tidak tahu apa yang aku cari semasa aku memandang pensyarah itu.

Tiba-tiba pelatih itu menyambung, “Dia Muslim, masuk Islam setahun lalu.”

Aku terkesima kerana secara automatiknya, kata-kata itu telah memberikan jawapan terhadap semua persoalan yang aku sendiri tidak tahu apa yang perlu ditanya apabila aku melihat pensyarah itu.

Ada kepuasan dalam hatiku kerana apa yang aku nampak cerah, tenang, tertarik tadi apabila aku memandang dia adalah cahaya keimanannya. Bukan kerana kulitnya.

Buat pertama kalinya aku dapat melihat seorang Muslim yang ada nilai Islam terpamer di wajahnya.

Tidak pernah aku melihat seseorang yang tidakku kenali, wujud banyak persoalan seolah-olah mahu mengetahui lebih, tetapi aku sendiri tidak tahu apa yang aku cari dalam dirinya sampailah aku tahu dia seorang Muslim.

Benar, mengetahui dia seorang Muslim telah menoktahkan segala apa yang kurasakan tadi.

Betapa tenang dan cantik rupanya cahaya keimanan, cahaya Islam yang terpancar daripada seorang Muslim. Mungkin cahaya itu tidak ada pada ramai orang walaupun mereka itu Muslim.

Sebagai hamba Allah, aku juga ingin menjadi muslimah yang lebih baik daripada aku yang dulu. Aku juga ingin mempamerkan ketenangan yang sama. Ketenangan yang hanya dapat apabila bergelar Muslim. Ketenangan iman dan Islam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Norsyahida binti Ramli dan merupakan seorang pekerja swasta di Shah Alam, Selangor.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 22

Upvotes: 13

Upvotes percentage: 59.090909%

Downvotes: 9

Downvotes percentage: 40.909091%