,

Istighfarlah… Ianya Pelita Cahaya Kepada Kesempitan

“Aduh! Banyak sungguh hutang bulan ini. Habislah aku… Habislah aku….?”

“Alahai. Bila nak dapat anak ni?…. Sedihlah… Ramai dah bertanya ni.”

“Aduhai. Musim kemarau pula. Habis kebun aku!”

Kita seringkali menyimbah resah terhadap ujian-ujian seperti disebut di atas. Insan adalah insan. Lemah tatkala ditimpa ujian. Sering merungut tanpa arah. Sering mengeluh dengan penuh emosi.

Sedang ujian datang menimpa, perasaan dukacita dan rasa tewas mencalar jantung hati. Ayuh, kenanglah hayat perjalanan kisah kita, berapa banyak maksiat dan dosa telah dilakukan.

Tahukah antara penghalang rahmat Allah dengan kita adalah dosa kita? Cuba soal diri kita sendiri.

“Bolehkah kita tidak berbuat dosa?”

Jawapannya sudah tentu tidak boleh. Kita bukannya maksum. Kita memerlukan penawar kepada penyakit hati ini.

Kita memerlukan pelita cahaya dalam kembara penuh luka ini. Pelita cahaya dan penawar paling berkesan adalah istighfar (memohon ampun) pada Allah.

Kenapa perlu Istighfar? Barangkali kita akan berasa pelik. Istighfar hanyalah lafaz zikir yang mudah diungkap. Sebenarnya Allah menjanjikan jalan keluar daripada kegelapan dengan istighfar.

Hal ini pernah dijelaskan oleh al-Imam Hassan al-Basri.

Seseorang telah mengadu tentang kemarau yang menimpanya. Jawapan al-Imam, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Datang lagi mengadu dirinya dihimpit kemiskinan. Jawapan al-Imam, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Datang lagi pengadu meminta doa supaya Allah memberikannya anak. Jawapan al-Imam, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Datang lagi pengadu tentang kebunnya kekeringan. Jawapan al-Imam, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Ada yang bertanya kepadanya, “Beberapa orang mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua Istighfar?”

Al-Imam Hasan al-Basri menjelaskan, “Ini bukan pendapatku. Inilah yang Nabi Nuh a.s sebut.

Lalu al-imam Hassan al-Basri membaca firman Allah S.W.T atas lisan Nabi Nuh a.s ini:

“Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 71:10-12)

Inilah janji Allah S.W.T dengan Istighfar. Allah janjikan rezeki yang melimpah-limpah. Allah menjanjikan anak. Allah menjanjikan harta kekayaan. Ajaib sungguh Istighfar.

Lazimilah istighfar. Sedang Nabi Muhammad yang maksum melafazkan Istigfar sebanyak 100 kali sehari!

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadith Riwayat Muslim)

Jika insan si pendosa timbul keinginan perasaan untuk melafazkan istighfar, itu tandanya Allah sayang dia. Allah membuka jalan menuju kepada cinta Illahi.

Jika diberikan ilham untuk istighfar, rebutlah peluang ini. Alangkah beruntungnya kita, wahai sahabat. Kita diberi nikmat Islam. Selepas Islam, kita diberikan cahaya bernama istighfar. Alangkah beruntungnya kita.

Allah sayangkan kita. Tidak mengapa jika ungkapan ini masih belum melekat di jantung hati sepenuhnya. InsyaAllah, suatu hari nanti, lafaz akan mengubah peribadi kita menjadi yang lebih baik. Jalan ke pangkuan Allah terlalu luas. Seluas-luas pintu di dalam Islam adalah pintu taubat.

Teringat penulis kata-kata indah daripada Tuan Guru Sheikh Zainul Asri, “… Sebab itu wali Allah jika keluar dari rumah, terbit dari bibir mereka Allah… Allah… Allah… Sebab mereka mahu kata-kata terakhir daripada bibir mereka adalah Allah.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan Bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.

Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 7

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%