, ,

Iradat Dan Akal Asas Menuju Kebahagiaan

Manusia dalam setiap tindakan mereka tidak lari daripada satu perkara iaitu mencari bahagia. Dan kebahagiaan itu diperoleh dengan pelbagai cara dan bahagia itu sendiri ada banyak warna dan perisanya.

Seorang yang pertama kali pergi ke kedai makan dan memesan satu makanan akan merasa bahagia bilamana dapat memakannya manakala seorang lagi cuba memesan makanan yang sama tetapi dia dapati makanan itu hanya mendatangkan rasa kecewa dan sengsara.

Ini merupakan satu analogi bahawa manusia itu mempunyai pelbagai ukuran yang berbeza untuk memperoleh bahagia. Cuba kita lihat kehidupan manusia, istilah bahagia itu sendiri berbeza mengikut keadaan dan suasananya.

Orang miskin merasakan bahagia bilamana dia kaya.

Orang sakit merasakan bahagia bilamana dia sihat.

Orang yang hanyut dalam lembah dosa merasakan bahagia bilamana dia berhenti daripada melakukan maksiat dan dosa.

Manakala orang yang merindui dan mencintai seseorang akan merasakan bahagia bilamana dapat hidup bersama.

Sebenarnya bahagia itu ada dalam diri kita sendiri walaupun jalan mencapai bahagia itu amat banyak tetapi kita manusia mencari juga yang lain.

Bahagia itu hakikatnya ada di tangan kita, tetapi kita suka mencari di tangan orang lain kerana di tangan orang itu kelihatan indah lantaran sifat tidak sabar kita. Ini seperti perumpamaan yang dibawa oleh Buya Hamka:

“Ramai manusia yang diperdaya oleh cahaya samar kerana dia dalam gelap. Perasaannya didahulukan daripada pertimbangannya. Dia datang kepada cahaya yang baru itu. Sampai di sana, yang dicarinya tidak ada sama sekali. Akan kembali pulang ke tempat asal, jalan yang telah lebih gelap daripada dahulu, lantaran ia tidak sabar menunggu cahaya yang sejati.”

Apa Itu Bahagia?

Pada zaman kerajaan Islam Abasiyyah, seorang wazir yang masyhur bernama Yahya bin Khalid Al-Barmaky ditanya tentang maksud bahagia dan beliau menjawab, “Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud.”

Manakala seorang ahli syair yang masyhur pada zaman Nabi Muhammad SAW iaitu Zaid bin Tsabit berkata, “Jika petang dan pagi seorang manusia telah beroleh aman sentosa daripada gangguan manusia, itulah dia orang yang bahagia.”

Manakala Imam Al-Ghazali memberi pendapatnya bahawa imam tua dan ikutan daripada segala tabib jiwa berpendapat bahawa, “Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah apabila dapat mengingati Allah.”

Manakala bagi tokoh yang bernama Tolstoy, bahagia itu terbahagi kepada dua iaitu bahagia yang samar-samar (untuk kepentinggan peribadi) dan bahagia yang sejati (bahagia untuk masyarakat).

Beliau berpendapat bahawasanya bahagia itu tidak wujud dengan hanya diri sendiri walaupun individu itu mempunyai hati yang suci batinnya, baik percakapannya tetapi teman-temannya beroleh kepayahan, rendah dan hina. Adakah dia akan bahagia? Sebaliknya beliau menyatakan:

“… ialah bahawa engkau cinta sesama manusia sebagaimana mencintai dirimu sendiri. Dan engkau akan merasa lebih bahagia lagi jika teman-temanmu sesama hidup telah merasa cinta kepada engkau sebagaimana cinta kepada dirinya sendiri pula. Maka amanlah dunia, teraturlah pergaulan hidup, tersebarlah perdamaian dalam segala kalangan, tersingkirlah penumpahan darah. Sebab tiap-tiap orang merasa dirinya buat masyarakat.”

Apa yang diperkatakan oleh Tolstoy bertepatan dengan agama Islam seperti firman Allah:

“Berpegang-teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan jangan berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan, lalu telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.” (Surah Ali-Imran ayat 103)

Kata beliau lagi, “Dengan dasar beginilah tegak bahagia dalam masyarakat. Setelah berdiri bahagia, barulah sempurna bahagia diri sendiri, dan hilanglah wasangka dan huru-hara, hapus ketakutan menghadapi mati, timbul keinginan memberikan jiwa menempuh bahaya kerana berhidmat bagi masyarakat.”

Pengertian Bahagia Daripada Rasulullah SAW

Di dalam kitab Tasawuf Moden karya Buya Hamka dalam bab Pendapat-Pendapat Bahagia, Buya Hamka menerangkan bahagia dari sisi Rasulullah SAW tidak akan lari daripada peranan akal manusia.

Daripada Aishah Radhiallahu’anha, bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, dengan apakah berkelebihan sesetengah manusia daripada yang sesetengahnya?”

Rasulullah SAW menjawab, “Dengan akal!”

Kata Aishah pula, “Dan di akhirat?”

“Dengan akal juga,” kata Baginda.

“Bukankah seorang manusia lebih daripada manusia yang lain daripada hal pahala lantaran amal ibadatnya?” Kata Aishah pula.

Rasulullah menjawab, “Hai Aishah, bukankah amal ibadat mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.”

Sabda Rasulullah pula: “Allah telah membahagikan akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga-tiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebahagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal.”

Orang bertanya, “Ya Rasulullah, manakah yang tiga macam itu?”

Kata Baginda, “Pertama, baik ma’rifatnya dengan Allah, kedua, baik taatnya bagi Allah, ketiga, baik pula sabarnya atas ketentuan Allah.”

Kata Buya Hamka bilamana beliau menafsirkan hadis di atas:

“Daripada sabda Nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat bahagia manusia itu menurut darjat akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dan buruk, akal yang dapat mengagak-agihkan segala pekerjaan, akal yang menyelidiki hakikat dan kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah pulalah tinggi darjat bahagia yang kita capai, sebab itu menurut kehendak hadis tadi, kepada kesempurnaan akallah kesempurnaan bahagia.”

Peranan Akal Menuju Bahagia

Bilamana kita membaca dan menelaah penulisan berkenaan bahagia, maka kita akan dapati ia tidak akan lari daripada menyebut tentang akal.

Kerana bertambah luasnya akal akan bertambah luaslah hidup dan dengan itu datanglah bahagia.

Bertambah sempitnya akal akan menyebabkan sempitnya pula hidup dan itu menandakan datangnya celaka.

Sebagaimana Rasulullah SAW menyatakan bahagia itu puncaknya mengenali jalan Tuhan, baik ma’rifat kepadaNya, baik taat kepadaNya dan sabar atas musibahNya. Dan ketiga-tiga itu akan diperolehi oleh orang yang berakal sahaja.

Orang berakal itu hanya diperoleh bilamana ia berilmu dan manakala untuk menjadi orang berilmu itu mesti mempunyai iradat iaitu kemahuan untuk belajar.

Tetapi manusia cenderung berusaha mencari bahagia dengan penilaian penglihatan sahaja sedangkan akal itu perlu diasah untuk memperoleh bahagia. Kata Buya Hamka:

“Di sinilah timbul kehairanan kita melihat orang setiap hari menyisir rambutnya, tetapi tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya, tetapi tidak membusungkan hatinya. Digosokan sepatunya tetapi tidak digosokkan akalnya, sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya mendengar daripada orang ke orang, daripada mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang bahagia, tetapi dia jauh daripada bahagia. Ada lurah yang dalam membatasi mereka, padahal mereka berdekat duduk.”

“Hairan kita dengan manusia, ia takut rugi dengan hartanya, tetapi ia tidak mudah beroleh (merasai) kerugian yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya. Ia ubati dengan sepenuh tenaga anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan, tetapi tidak dicarikan ubat jika anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal!”

Iradat, Yakni Kemahuan Untuk Bahagia

Akal semata-mata tidak akan menjadikan manusia itu bahagia kerana akal itu adalah jalannya sahaja tetapi ia bukan perantaraan. Adapun yang menjadi perantaraan untuk menuju kebahagiaan adalah iradat, iaitu kemahuan.

Walaupun seorang itu mempunyai akal yang baik tetapi tidak mempunyai kemahuan mencapai bahagia, maka kita akan dapati akal yang baik itu menjadi sia-sia dan bahagia itu tidak akan diperoleh.

Iradat merupakan sifat yang wujud dalam diri kita, yang tidak terpisah dengan sifat hajat. Jika hajatnya kuat maka akan lahirnya sifat iradat yang kuat juga sehingga dapat mengalahkan apa-apa halangan yang menghalang cita-cita tersebut.

Jika iradatnya itu lemah maka sukarlah untuk mencapai bahagia.

Seperti seorang doktor yang merawat pesakitnya yang mengalami penyakit yang teruk tetapi ia memberitahu bahawa penyakitnya itu tidak berbahaya, maka dia akan lekas sembuh.

Jika iradatnya rendah seperti pesakit yang hanya mengalami demam biasa tetapi tabib yang merawatnya menyatakan beliau menghadapi penyakit berbahaya, maka demamnya semakin teruk dan menarik penyakit yang lain. Akhirnya hidup dihiasi dengan dukacita dan sengsara.

Jika kita menyatakan emas itu mahal kerana ia boleh membeli kehendak diri, maka iradat itu adalah lebih mahal kerana ia untuk mencapai kebahagiaan yang sejati.

Tetapi manusia itu lebih risaukan jasad yang akan mati tetapi melupakan peranan jasmani yang akan hidup abadi.

Padahal kehidupan yang bererti dalam dunia ini ialah bahagia yang timbul daripada akal disulami dengan iradat, kemahuan. Maka hidupkanlah kemahuan itu jika mahu bahagia!

Dengan itu benarlah kata-kata Schopenhauer, seorang ahli falsafah Jerman menyatakan, “Alam itu ialah kemahuan.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq Bin Salim. Sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Pengurusan Pembinaan di falkulti Kejuruteraan Awam, UTM Skudai. Tujuan menulis adalah untuk memberi manfaat kepada diri sendiri supaya ‘sedar diri’ dan sebagai usaha yang kerdil bagi memberi kebaikan kepada insan lain.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%