,

Jangan Terus Hanyut Dalam Kekecewaan

Iman itu yazid wa yanqus sifatnya,
ada masa tinggi perkasa,
ada masa tersungkur jua.

Lantas jiwa pasti meronta,
“Mengapa begini?” Kita tertanya-tanya
seolah merasa segala kebaikan lalu tidak bermakna,
“Emm, buat baik nanti tersungkur juga.”

Akhirnya kita memilih meninggalkan kebaikan.
Seolah-olah tiada lagi harapan,
sedangkan tanpa kita perasan
ada hikmah di sebalik penurunan iman.

Bukankah Allah telah berfirman,
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah 2:286)

Ketahuilah teman,
orang beriman itu tetap tidak sempurna
kerana kita bukan nabi yang maksum daripada dosa.

Renungi kisah Abu Dzar seorang sahabat yang mulia,
terlanjur memanggil Bilal dengan gelaran yang buruk dan hina
hingga ditegur Rasulullah,
“Wahai Abu Dzar… pada dirimu masih ada jahiliyyah.”

Abu Dzar lantas meletakkan wajahnya ke tanah
meminta Bilal memijaknya dengan rasa rendah
Dan kerana terlalu bimbang dengan imannya yang menurun lemah.
Lantas perbaiki dirinya tanpa mengalah,
lihat Abu Dzar tetap sahabat mulia di sisi Rasulullah.

Begitu juga Kaab Bin Malik yang mulia,
meninggalkan perang Tabuk kerana leka,
lantas merelakan Baginda Rasulullah menghukumnya.

Beliau tidak pernah berputus asa
menjadikan diri lebih baik daripada sebelumnya,
hingga Allah menurunkan ayat Al-Quran mengampunkan dosanya,
“… Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah At-Taubah: 118) 

Ketahuilah… kesilapan itu ujian.
Ada hikmah besar daripada Ar-rahman,
hanya si buta mengetahui nikmatnya penglihatan
hanya si mati mengetahui nikmatnya kehidupan.

Begitu juga hikmah penurunan iman.
Buat manusia yang tersasar dari landasan
mereka akan merasa kosong dan kekurangan
lantas bangkit lebih tinggi daripada sebelum kejatuhan.

Allah mencipta kitaran iman sedemikian,
agar manusia melakukan yang terbaik dalam kehidupan
kerana itu bumi tidak diberi kepada malaikat untuk mentadbirnya.

Tetapi, Allah berikan pada manusia yang akan melakukan dosa
kerana manusia yang jatuh ini
mengetahui betapa pentingnya berada di tempat yang tinggi.

Di sini Allah menguji
siapakah hambanya yang berjaya menempuh ujian ini?
Hanya orang yang benar beriman
pasti bangkit bergerak ke hadapan
memperbaiki diri
agar meningkat lebih lagi

Namun, hanya orang yang palsu imannya
terduduk dan berputus asa,
jatuh lebih bawah daripada sebelumnya.

Lihat kalam Allah dalam al-Quran,
sebanyak dua kali Allah mengulang,
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah: 5-6)

Justeru duhai insan
apabila tersungkurnya kalian,
bila ada yang melakukan kesilapan,
jangan terus hanyut dalam kekecewaan.

Kerana kita masih punya harapan,
begitulah janji rabb tercinta
dalam kalamnya penuh bermakna.
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal(nya).” (Surah an-Nazi’at: 40-41)

Kejatuhan itu untuk mengajar diri,
mendidik iman agar lebih berkualiti
lebih mengharap redha Ilahi.

Ayuh, jangan banyak bicara,
jangan berduka terlalu lama,
bangkitlah lebih tinggi daripada sebelumnya…

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Farhah yang merupakan seorang pelajar di UTM KL dalam bidang Pengajian Islam separuh masa. Bekerja di Jabatan Agama Islam Negeri sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%