,

Iman Yang ‘Simple’, Diuji Terus ‘Down’

Hiduplah Dengan Ujian

Hidup tidak pernah lari daripada ujian. Ia datang silih berganti tanpa diduga. Nak tengok sekuat mana iman kita dalam hati, lihatlah ketika ujian datang menimpa.

Bagaimana sikap dan tindakan kita ketika menghadapi dugaan? Adakah terus tersungkur buntu ataupun terus berjalan mencari solusinya?

Firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2: “…untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya…”

Itulah asas yang sebenar Allah datangkan ujian hanya untuk menguji hamba-hambaNya yang paling baik amalan. Hanya dengan ujian, kita dapat tahu tahap iman seseorang dalam hati.

Lihatlah kisah yang Allah rakamkan dalam surah at-Taha dalam ayat 95-96. Diceritakan bahawa Nabi Musa berhadapan dengan Samiri yang dulunya seorang pengikut setia ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa.

Samiri telah membuat sesuatu kemungkaran dengan kelebihan yang ada dalam dirinya. Dia telah menyesatkan ramai pengikut Nabi Musa ketika itu.

Kisah ini jelas menceritakan, segala kelebihan yang ada dalam diri seseorang juga boleh menjadi musibah yang membinasakan apabila digunakan ke jalan yang salah.

Walaupun Samiri seorang yang beriman dengan ajaran yang benar, tetapi tahap imannya tidak dapat melindungi dirinya daripada kemungkaran. Dia tersungkur dalam kesesatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri.

Alangkah ruginya iman dalam hati jika tidak mampu untuk menarik kita ke arah kebaikan malah terjerumus dalam kebinasaan. Semuanya bergantung kepada ‘kesihatan’ iman. Yang kuat tetap bertahan, tetapi yang lemah terus rebah dan hanyut dalam kejahilan.

Jalan Kebahagiaan

“Sesiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Kalam hikmah daripada seorang ustaz, “Allah memasukkan iman seseorang melalui liang ujian.”

Ujian datang bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi datang untuk memberi kebaikan. Namun, kebaikan itu terselindung kerana kita mentafsirkan masalah itu masalah dan tidak mengaitkan masalah itu dengan Allah.

Itulah kehidupan yang sementara. Apabila diuji sedikit ujian terus rasa tidak berdaya. Malah, tidak yakin bahawa ia datangnya daripada Allah.

Ketika mendapat nikmat yang menyenangkan, kita mengakui ketentuan Allah, tetapi apabila datangnya ‘kesenangan’ yang dibaluti dengan kesusahan kita terus hilang keyakinan kepada Allah. Tidak percaya apa yang berlaku daripada Allah. Segala rungutan hidup terungkap dengan kata-kata dan perlakuan.

Renung kembali firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Allah uji tanda sayang. Jadi dugaan setiap orang berbeza. Kita selalu membandingkan ujian menimpa diri dengan orang lain, sehingga kita mempersoalkan ‘kerja Allah’ terhadap diri kita.

Tetapi ujian yang menimpa memang sesuai dengan takdir hidup diri kita. Salah satu jalan bahagia ialah dengan ujian. Berdamailah dengan ujian yang tersembunyi hikmahnya.

Zon Selesa Orang Muslim

Sekiranya kita masih dalam keadaan yang selesa dan tidak mahu susah-susah dulu dalam kehidupan, maka hiduplah dalam kehidupan biasa-biasa.

Ibadat yang biasa-biasa ketika umur muda sehingga tua, tiada perbezaan. Cara pemikiran yang jumud, tiada perkembangan. Tiada cabaran dalam kehidupan, jadi tiada peningkatan dalam hidup.

Sebab mahu berada dalam ‘zon selesa’, jadilah dia seorang yang biasa dalam kalangan orang yang ‘luar biasa’.

Kehidupan seorang muslim bukan dipasak dengan iman biasa-biasa sahaja. Malah, dibina dengan kekuatan iman yang sentiasa naik melalui ibadah.

Solat di awal waktu, solat sunat dijaga, membaca al-Quran, mencari ilmu, berhimpun bersama para alim, rapatkan hubungan silaturrahim sebagai kunci utama mencapai ‘zon selesa’ dalam hidup orang mukmin. Keselesaan bukan di dunia, malah di akhirat yang dinanti.

Oleh itu, ketika ujian datang menjengah, jiwa orang beriman tidak ada lagi rasa ragu-ragu dengan musibah daripada Allah. Hadapinya dengan tenang walaupun kadangkala ia berkocak juga tetapi hanya untuk sementara.

Mereka tahu kepada siapa mahu diadukan. Mereka tahu, masalah ini sangat kecil daripada nikmat pemberian Allah yang besar.

Al-Junaid al-Baghdadi berkata untuk menenangkan dirinya, “Aku tidak bimbang apa-apa musibah yang terkena padaku kerana aku telah membina satu kaedah bahawa dunia sebagai tempat sedih, ujian, dan kejahatan. Antara hukumnya ialah aku perlu berdepan dengan apa-apa yang aku benci. Kalaulah datang kesenangan, ia merupakan kurniaan Allah SWT tetapi asalnya adalah yang pertama.”

Didikan daripada Allah

Orang beriman memilih ujian sebagai janji Allah dan membenarkan ujian tersebut. Mereka sentiasa melihat ujian itu sebagai satu langkah mendekatkan diri kepada Allah.

Orang yang diuji juga Allah akan meningkatkan darjat kehidupannya yang lebih baik. Yakin dan percaya bahawa ujian itu datang dengan izinNya.

Rasulullah dan para sahabat dididik oleh Allah melalui ujian. Mereka tetap teguh dengan ujian yang Allah berikan walaupun adakalanya rebah juga.

Ketika penyebaran Islam semakin utuh, Rasulullah SAW diuji dengan beberapa perkara yang amat menyedihkan Baginda iaitu penentangan hebat kaum Taif untuk menolak ajaran Islam, pemergian insan kesayangan Baginda iaitu Abu Talib dan Siti Khadijah yang banyak memberi pertolongan dan kata-kata semangat untuk terus berjuang.

Setelah itu, Baginda dihiburkan oleh Allah dengan peristwa Israk Mikraj. Begitulah Allah mendidik hambaNya bahawa setiap ujian yang datang ada nikmat dan hikmah yang terselindung.

Hidup dengan iman, mesti dipasakkan dengan kuat dalam hati. Supaya tidak mudah goyah dengan ‘racun’ ujian yang datang. Dalam kita beriman, perlukan mujahadah. Bukan semua orang dapat mujahadah kerana ia datang dengan hidayah Allah.

Iman yang simple akan cepat down apabila tiada charge mujahadah. Orang beriman tidak takut pada ujian kerana ujian itu seperti makanan spiritual untuk kuatkan ‘nadi iman’ dalam hati orang mukmin.

Al-Hafiz Abu Abdillah al-Husain bin Hassan al-Halimi (w.403H) telah berkata, “Meyakini akhirat akan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT, mengurangkan rasa cinta kepada dunia, menganggap ringan segala kesedihan dan kesusahan duniawi, sabar dalam menghadapi musibah dan menahan nafsu kerana yakin dan percaya dengan pahala dan balasan yang telah Allah SWT sediakan.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Khodijah binti Che Mee. Berasal dari Gurun, Kedah. Merupakan graduan dari Universiti Putra Malaysia.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%