,

Hijrahmu Kerana Apa?

Beberapa hari lalu saya ada menonton sebuah rancangan yang mana ustaz undangannya ialah Ustaz Ebit Lew.

Tajuk kuliah pada episod tersebut ialah “HIJRAHMU KERANA APA?”

Intipatinya membuatkan saya memuhasabah diri semula. Sejauh mana saya ikhlas dan kuat untuk menjadi manusia yang lebih baik dari hari ke hari.

Berikut antara nasihat dan pesanan ustaz yang sempat saya titipkan, serta boleh menjadi panduan untuk kita bersama.

Perkara yang ustaz tekankan adalah, sejauh mana pun kita tersasar, kita baliklah semula kepada Allah. Taubat.

Dengan balik kepada Allah, hati akan tenang dan bahagia. Lagi cepat betulkan niat, lagi cepat kita bahagia.

Jangan terlalu fikir Allah terima ke tidak diri kita ini, tapi persoalannya kita mahu atau tidak kembali kepada Allah.

Ketahuilah dengan mendekatkan diri kepada Allah, Allah bukan saja beri keampunan, namun rezeki seseorang itu juga akan dipermudahkan. Insya-Allah.

Namun bagaimana pula kita boleh terus istiqamah untuk menjadi baik?

Ustaz telah kongsikan tips, antaranya adalah:

1. Kena sentiasa bertaubat (setiap kali buat salah, cepat-cepat bertaubat). Minta ampun.

2. Jangan tinggalkan dakwah. Jangan takut untuk berkongsi kebaikan.

3. Apa amal dapat buat; syukur. Apa amal tak dapat buat, kita istighfar.

Siapa kata mereka yang tersasar sahaja perlu berhijrah? Orang Islam, orang beriman perlu juga berhijrah. Jadi lebih baik.

Orang beriman misalnya, cepat-cepat ganti solat jika tertinggal. Cepat-cepat minta maaf jika salah dengan manusia.

Kenapa dalam berhijrah kadangkala kita kecewa?

Sebab kita buat untuk orang. Yang beri kebaikan, pahala untuk kita adalah Allah. Buatlah untuk Allah sayang kita. Bukan untuk makhluk.

Kemuncak sedih dalam hidup kita apabila kita sangka buruk pada sekeliling kita. Kita rasa semua nak bergaduh dengan kita.

Kemuncak bahagia apabila kita sangka baik dengan orang dan perkara di sekeliling. Sangka baik dengan Allah; itu paling nikmat, dapat mengenal Allah.

Sangka baik, insya-Allah dapat perkara baik-baik.

Syarat doa diterima

Doalah dengan rasa rendah hati. Minta dalam keadaan kita rasa kita tak ada apa-apa. Sebab memang kita tak ada apa-apa.

Jaga solat, solat di awal waktu. Kita solat bukan sebab kita baik, tapi sebab kita ini hamba Allah.

Jaga akhlak

Akhlak adalah perkara yang sangat besar. Nak berhijrah, tinggalkan perkataan yang kasar dan menyakitkan hati orang.

Jadi lebih baik untuk Allah sayang. Berusaha untuk perbaiki diri. Buat baik dengan mak ayah dan berdoalah untuk kita semua selalu dekat dengan Allah.

Akhir kata, Ustaz Ebit Lew bukan sahaja berpesan kepada kita supaya pulihkan kembali dan perbetulkan semula hati kita ke jalan yang lurus, jalan yang diredai Allah, namun juga ini adalah nasihat untuk dirinya sendiri.

Moga kita semua dijauhkan daripada syirik dan kita dapat meninggal dunia dalam keadaan Allah reda dengan kita semua. Insya-Allah. Ameen.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%