, ,

Hati Adalah Sebahagian Daripada Rahmat Allah

Ya Salam Ya Allah.

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Artikel ini ditulis adalah berkesinambungan dengan artikel yang lepas berjudul “Rahsia rahmat Allah. Mengapa harus memburu rahmat Allah”.

Alhamdulillah, selepas kita tahu apakah rahsia di sebalik rahmat Allah, kita berusaha untuk meraih rahmat Allah ini. Bagaimana caranya?

Ketahuilah hati adalah sebahagian daripada rahmat Allah. Segala isi di dunia ini belum tentu memenuhi keinginan kita, tetapi dengan hati yang redha dan qanaah, kita boleh rasa bahagia dengan bersyukur bersungguh-sungguh pada Allah yang sudi memilih kita merasai nikmat hati.

Sudahkah kita bersyukur?

Allah berfirman: “Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya Roh (Ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.” (Surah As-Sajdah: Ayat 9)

Hati ini benar-benar dahsyat kerana hatilah yang menentukan nilai manusia serta menemukan makna hidup. Jadilah hati yang ingin berlari mendekati Allah serta ingin mengenali Allah.

“Ketahuilah bahawasanya di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya, dan apabila ia rosak maka rosak pula seluruh jasadnya, ketahuilah dia adalah hati.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Sucikanlah hati kerana dengan hati yang suci kita mampu menerima kehadiran-Nya dalam diri yang paling dalam. Jadilah hati yang menyerah diri bersandarkan sepenuhnya hanya kepada Allah Yang Maha Rahmat.

Allah berfirman: “Kecuali orang yang mengadap Allah dengan hati yang bersih. Dan syurga didekatkan kepada orang yang bertakwa.” (Surah Al-Syu’ara: ayat 89 – 90)

Hati yang suci sering mengajak kita merenung kejadian diri dan alam dalam mencari kebenaran kenapa manusia dan alam ini diciptakan. Siapakah kita? Di manakah kita? Akan ke mana akhirnya kita?

Tahukah saudara, itulah juga persoalan yang timbul hasil daripada kajian sains tentang penemuan fungsi otak pada tahun 1980 oleh Dr VS Ramachandra. Hebatnya penemuan otak ini sehingga mereka namakan sebagai “The marco polo of neuroscience”.

Fungsi otak ini menggemparkan dunia kerana fungsi otak ini mencari jawapan siapa sebenarnya diri saya? Saya ini di mana? Dan saya ini mahu ke mana?

“Dan di bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang yakin; dan di dalam dirimu sendiri, maka apakah kamu tidak melihat ?” (Surah Al-Dhariyat: ayat 20-21)

Oleh yang demikian sucikanlah hati kita dengan istighfar dan taubat. Kerana hati yang suci akan diberikan hikmah.

Iaitu mampu memahami makna di sebalik hidup ini diciptakan, di sebalik yang terlihat ada yang tersembunyi, di sebalik kejadian diri dan alam ini ada rahsia, tujuan dan maksud.

Izinkan saya memetik kata-kata Alexis Carrel: “Manusia sudah berpergian jauh sekali hingga ke planet, tetapi justeru tidak mampu berpergian ke tempat yang paling dekat, yakni ke dalam dirinya sendiri.”

Ketahuilah di balik hati ada rahmat cinta. Cinta adalah sebahagian rahmat Allah yang terindah dalam hidup. Betapa bosannya hidup ini jika tidak ada cinta.

Betapa menakutkannya perjuangan hidup ini jika tidak ada cinta. Betapa penatnya pekerjaan kita jika tidak ada cinta.

Apalah ertinya duit jika tidak ada cinta. Cinta melahirkan kelembutan dan rasa hormat. Bayangkan saudara ingin mencari pasangan hidup, sudah tentu kita ingin mengenali pasangan kita, kerana bila kita kenal budi pekertinya maka terwujudlah rasa cinta dan mengenalinya lebih dekat.

Bagaimana pula dengan Allah yang menciptakan kita? Adakah pernah terdetik hati kita untuk mengenaliNya?

Hanya hati yang benar-benar mencari akan menemukan jawapan. Carilah Allah. Niatlah dalam hati, bahawa kita ingin mengenali-Nya.

“Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf: ayat 16)

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, Aku ingin dikenali. Lalu Aku ciptakan makhluk dan alam. Dengan La ilaha illAllah, engkau akan mengenal Aku.”

Sebagaimana firman Allah dalam surah Muhamad ayat 19: “Carilah pelajarilah ketahuilah bahawa La ilaha illAllah…”

Moga kita berpaut dengan ikatan silaturrahim walaupun melalui alam maya ini. Moga sahabat yang membaca sudi doakan kebaikan buat saya.

Saya doakan kepada sahabat yang sudi berkongsi artikel ini, moga Allah titipkan hadiah dan kurniaan yang terbaik di sisiNya buat sahabat-sahabat pembaca. Walaupun kita belum pernah bersua muka, moga kesudian menyebarkan tulisan ini menjadi asbab kebaikan.

InsyaAllah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Era Adlina yang merupakan seorang penulis buku, motivator dan Profesional Learning Facilitator. Buku sulong berjudul Bersama Kesusahan Ada Kesenangan. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Era Adlina dan Blog www.eraadlina.com.

Pernah menjalankan seminar Mudahnya Menjemput Rezeki, Berani Bangkit. Terlibat sebagai Trainer untuk program Jom Syahadah untuk bantu masyarakat membangkitkan nilai-nilai positif, meraih ketenangan dan kebahagian.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 12

Upvotes: 9

Upvotes percentage: 75.000000%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 25.000000%