,

Harta Dunia Atau Akhirat (Bahagian 1)

“Boleh saya tahu siapa yang akan ketuai trip ke Korea ni nanti?”

Inas melontarkan pertanyaan sambil membelek proposal perjalanan terbaharu yang diterima untuk diluluskannya.

Daud dan Zafran memandang sesama mereka seolah-olah sedang berbincang sesama sendiri.

Inas sabar menanti jawapan sambil meneliti isi proposal itu lagi. Saif yang masih setia di meja perbincangan itu juga turut sama tengah menunggu jawapan mereka berdua.

“Bentang proposal ni pada saya tapi tak decide lagi ketuanya?” Soal Inas kembali. Keningnya terangkat sedikit.

“Eh, bukan begitu Puan Inas. Ketuanya dah ada tapi dia tak dapat nak datang untuk perbincangan ni sekali,” Zafran bersuara.

“Farhan ke?” Saif cuba meneka. Di lembaran hadapan proposal yang ada pada Inas kelihatan tiga nama; Zafran, Daud dan Farhan. Menurut Zafran, seorang daripada mereka tidak hadir, maknanya Farhan lah.

“Trip Syarikat Cahaya Fityah ke Korea dua minggu lagi ini akan diketuai oleh Farhan. Zafran akan ketuai trip ke Perth pada bulan hadapan, dan saya akan ketuai trip ke Jepun pertengahan bulannya pula. Proposal tu merangkumi semua trip hingga hujung tahun. Farhan ada hal sedikit, dia tak dapat hadir. Nanti dia akan arrange satu meeting khas untuk trip yang akan datang ni,” terang Daud satu persatu.

Inas mengangguk beberapa kali tanda mengerti setiap yang disampaikan.

“Ada plan B?” Saif meletakkan semula kertas proposal yang sudah selesai dibaca.

“Jangan risau, kami sedia rotate lokasi trip untuk diketuai. Kecil punya hal!” Zafran menjawab pertanyaan Saif dengan yakin sekali. Dia mengerti soalan yang diajukan itu, dan mujurlah kesemua mereka telah dilatih dan mempunyai pengalaman berada di setiap negara-negara tersebut.

Saif tersenyum lebar. Puas hati mendengar anak buahnya memberi respons. Boleh diharap sungguh mereka ni, tak sia-sia ambil bekerja.

“Alhamdulillah. Baiklah, kalau begitu, saya tunggu untuk perbincangan seterusnya. Tapi saya mahu teliti kesemua dokumen yang berkaitan sebelum Jumaat ini. Minggu depan saya nak tengok kesemuanya sudah 99% ready sepenuhnya,” Inas memberi arahan lantas bangun meninggalkan Daud, Zafran dan Saif di situ.

Zafran dan Daud pantas mengangguk meskipun Inas sudah beredar dari meja itu. Banyak kerja yang perlu disiapkan dan mereka harus rancang jadual kerja dengan baik dan teliti. Kemudian, siapkan beg pakaian dan terbang!

Inas berjalan menuju ke pantri. Lambat lagi nak makan tengah hari, jadi ada baiknya dia bancuh dahulu minuman coklat kegemarannya.

Awal pagi tadi tidak sempat nak minum air ini, hanya air kosong sahaja. Rasa tak lengkap hidupnya tanpa minuman coklat berhantu itu. Kalau sehari tak minum, rasa seperti zombie!

“Baru sampai ke Farhan?”

Inas menegur salah seorang stafnya yang sedang menjamu nasi lemak di pantri. Gelojoh sahaja dalam usahanya nak habiskan nasi lemak tersebut.

“Jemput makan, Puan.”

Inas tersenyum kecil menolak pelawaan Farhan. Serba salah pula bila tegur budak ni makan. Kasihan betul gayanya.

“Maaf Puan Inas sebab tak dapat hadir mesyuarat tadi. Saya ada hal tadi,” ujar Farhan dengan mulutnya penuh dengan nasi.

“Makan kasi habis dalam mulut dahulu, baru bercakap,” Inas menegur lembut.

“Maaf Puan.”

“Dah ready untuk tugasan dua minggu lagi ni? Saya dah reviu semua proposal dan tentatif perjalanan. Nanti minta Daud dan Zafran brief kamu ya. Oh ya, saya juga ada minta dokumen yang berkaitan untuk trip tu nanti.”

Farhan termangu seketika. Diam dia sambil memandang kosong sarapan paginya itu.

“Laa, termenung pula! Apa-apa pun, nanti kamu update saya. Enjoy your breakfast,” Inas melangkah keluar dari pantri apabila Farhan tidak memberikan apa-apa respons padanya. Apa sahajalah yang dia fikirkan itu ya?

“Inas ni betul ke nak bagi Farhan ketuai trip Korea tu nanti? Cahaya Fityah tu bukan syarikat cikai-cikai tau,” Amani tiba-tiba muncul di muka pintu.

Inas berkerut seribu memikirkan sapaan Amani. Hujan tak ada, ribut pun tak ada, tiba-tiba sahaja keluar kenyataan begitu.

“Inas tak faham. Boleh Amani jelaskan lagi?”

“Budak Farhan tu kan tengah serabut dengan masalah keluarga, boleh ke dia handle tugasan ni? Amani tahulah semua staf kat sini berkebolehan dan boleh diharap, tetapi, Amani risau sekiranya masalah peribadi dibawa ke tempat kerja. Nanti macam-macam pula complaint yang dapat nanti.”

‘Farhan ada masalah keluarga? Itu ke sebabnya dia termenung je pagi semalam?’ Inas berbisik sendiri.

Melihat Amani yang masih setia di kerusi hadapan, Inas kembali bersuara, “Okey, first thing first, Inas tak tahu apa-apa tentang kisah hidup Farhan. Keduanya, bukan Inas yang tentukan siapa ketuai trip yang mana. Ketiganya, lain kali tolong bagi mukadimah yang terperinci sebelum nak shoot sesiapa. Berapa kali nak beritahu perkara ini, Amani?”

Amani tersengih. Memang sikapnya suka melulu dalam semua perkara. Susah sikit nak ubah sikap begini, perlukan masa.

“Maafkan Amani kerana melulu je tadi. Sometimes I can’t control myself. Apa yang terlintas kat kepala ini, itulah yang nak disampaikan terus sahaja.”

“Berbalik pada Farhan tadi, nanti Inas slow talk dengan dia ya. Bukan tak percaya kat dia. Dia memang budak yang hebat tapi risau sahaja, kot dia serabut fikir itu ini, lain pula jadinya trip tu nanti. Tapi kalau dia nak juga, kita monitor sahajalah.”

“Nantilah Inas siasat kes ini. Prihatin juga Amani pada staf semua ya? Ingatkan tahu marah mereka sahaja,” Inas cuba mengusik.

“Mestilah prihatin. Mereka tu aset syarikat tau. Amani marah pun, itu marah manja namanya. Kata sayang, mana boleh marah teruk-teruk. Nanti lari, habis syarikat kita. Lainlah kalau perangai dah tahap hantu, itu lain ceritalah.”

Inas terhambur ketawa sambil menggelengkan kepalanya tika mendengar jawapan Amani itu. Masalah apalah yang besar sangat Farhan alami ya?

“Saya baik-baik sahaja, Puan Inas. Jangan risau. Saya boleh buat kerja ni sebaiknya.”

Inas sudah mati akal mahu selidik lagi. Tidak tahu sama ada Farhan benar-benar maksudkannya ataupun dia sedang menafikannya.

“Betul ni Farhan? Saya bukan tak percayakan kamu, malah saya percayakan setiap staf saya dalam melakukan kerja. Saya yakin kamu semua betul-betul buat kerja. Tapi, sekiranya ada masalah apa-apa, jangan segan silu nak kongsi rasa itu bersama saya, dan rakan-rakan yang lain.”

 

> bersambung Harta Dunia Atau Akhirat (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%