,

Hanya Dengan Izin Tuhan

“Siapakah gerangan Tuan Hamba?”

“Patik hanyalah seorang hamba…”

Belum sempat lelaki tua itu menyempurnakan bicara, Putera Arjuna segera memotong.

“Memanglah hamba, tidak mungkin kerabat diraja seperti beta!” Putera Arjuna ketawa berdekah-dekah. Sangkanya dia sudah berjaya melakukan jenaka terlucu seantero dunia. Tanpa dia sedar, kata-katanya itu kedengaran angkuh.

Lelaki tua itu hanya tersenyum. Tidak sedikit pun tersinggung dengan bicara Putera Arjuna.

“Tuanku mahu ke mana?” Soal lelaki tua lembut.

Putera Arjuna tersenyum lebar. “Entahlah. Yang pasti, beta mahu mencari cara untuk menghapuskan sifat suka ria beta ini.”

Lelaki tua menggeleng. “Bukan menghapuskan, tetapi mengawal.”

Putera Arjuna tertawa.

“Ketawa itu perlu. Gembira itu harus ada. Hanya jangan berlebihan, kerana segala sesuatu yang melampaui batas, akan memberi kemudaratan,” sambung lelaki tua itu dengan segaris senyuman.

Bahu Putera Arjuna ditepuk, “Patik tahu bagaimana caranya. Sudikah tuanku mendengarkannya?”

Putera Arjuna membuntangkan mata. Mulutnya ternganga luas. Dia mengangguk kepala laju-laju. Sekali pandang, perilakunya itu tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang mendapat lolipop percuma.

Teruja.

******

Putera Arjuna menutup mulut. Tidak mahu kehadirannya disedari haiwan comel yang dipanggil kelinci itu.

Namun, melihat gelagat kelinci yang berlari-lari itu cukup membuatkan Putera Arjuna hendak meledakkan ketawanya.

Kata lelaki tua, “Tuanku harus ke sebuah padang pasir di daerah Germala. Di sana, ada seekor kelinci berwarna putih, bermata hijau di sebelah kiri, bermata biru di sebelah kanan. Tangkaplah kelinci tersebut kemudian ambil beberapa helai bulunya. Setelah itu, bacalah dengan nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih lalu sapulah seluruh tubuh tuanku menggunakan bulu tersebut.”

“Hanya itu?” Tanya Putera Arjuna.

Lelaki tua itu mengangguk. “Kedengaran mudah, tetapi tidak sesenang itu tuanku kerana ada mereka yang berjaya mengambil bulunya tetapi tidak memberi hasil.”

“Mengapa?”

“Ada yang lupa menyebut dengan nama Tuhan. Ada yang di hatinya meyakini bahawa bulu itulah yang akan menyembuhkan dirinya.”

“Bukankah sememangnya bulu kelinci itu yang menjadi penawar?

Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Hanya dengan izin Tuhan.”

Putera Arjuna melepaskan kelinci putih itu setelah hampir lima jam dia bertungkus-lumus mendapatkan haiwan gebu tersebut.

Di tangannya kini terdapat beberapa helai bulu kelinci.

Putera Arjuna menarik nafas. Pesanan lelaki tua itu diturut satu-persatu.

Sebelum menyapu tubuhnya dengan bulu kelinci, Putera Arjuna merafak doa, “Wahai Tuhan, tidaklah bulu ini yang menyembuhkanku tetapi Engkaulah yang memberi kesembuhan. Maka aku memohon kepada-Mu supaya…”

Putera Arjuna mengetap bibir.  Dia tidak mahu ketawa saat berdoa seperti ini. Dia tidak mahu dilihat sedang bermain-main di hadapan Tuhan.

Putera Arjuna menundukkan wajah. Doanya disambung di dalam hati. Kata lelaki tua, “Jika tidak mampu berdoa dengan lisan, pintalah dengan hati. Sungguh, Tuhan itu Maha Mendengar.”

Putera Arjuna memejamkan mata. Berusaha merendahkan diri di hadapan Tuhan. Meminta dengan sepenuh jiwa.

Tanpa disedari, air matanya mengalir.

Putera Arjuna terkesima. Mulutnya tidak lagi meletuskan tawa. Dadanya kini diselebungi sebak dan terharu. Buat pertama kalinya dia mampu menangis!

“Syukur, tuanku,” ujar lelaki tua yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

Putera Arjuna memandang lelaki tua itu dengan tangisan yang masih tersisa. Matanya dialih pula kepada bulu kelinci yang berada di dalam genggaman tangannya.

“Beta belum sempat menyapu bulu kelinci ini ke seluruh tubuh…”

“Tetapi Tuhan telah mengabulkan hajat tuanku,” sambung lelaki tua itu.

Putera Arjuna  merebahkan jasad ke tanah. Bersujud pada Tuhan Yang Maha Kuasa. Tiada lagi tawa yang kedengaran, sebaliknya tangisan kesyukuran yang bergema.

Lelaki tua itu tersenyum nipis. Dia beransur perlahan-perlahan meninggalkan Putera Arjuna yang sedang memanifestasikan ucapan terima kasih kepada Tuhan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syuhada Hanafee yang merupakan graduan Diploma Pengajian Media Islam KUIPSAS.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%