, ,

Gembira Juga Perlu Diuruskan

“Tahniah, kamu mendapat 10A di dalam SPM.”

“Selamat memulakan kerjaya di syarikat kami.”

“Dapat anak sulung! Alhamdulillah!”

Berikut adalah rentetan ucapan-ucapan yang mencetuskan kegembiraan di dalam kehidupan kita.

Dalam menelusuri kehidupan yang penuh dengan warna-warni ini, pastinya kita semua pernah bersua dengan situasi kehidupan yang menceriakan sebegini.

Saat dan ketika apabila segala pengorbanan, jerih payah kita berbalas dengan ganjaran yang disebutkan sebagai kemenangan, kejayaan, keberhasilan atau yang seumpama dengannya.

Namun sebagai seorang Muslim, yang mana kehidupan kita perlu sentiasa berada di atas peraturan Allah SWT, sudah pasti ada kaedah yang telah disediakan bagaimana untuk diuruskan rasa gembira agar tidak terbabas jauh melangkaui batas sempadan dosa pahala yang diletakkan oleh Allah SWT.

Perlu kepada perhatian di dalam perkara ini, memandangkan ramai dalam kalangan manusia yang tumpas apabila berdepan dengan ujian nikmat kegembiraan.

Melihat kepada sirah Rasulullah SAW, antara peristiwa yang boleh disebut mencetuskan rasa gembira kepada Rasulullah SAW dan para sahabat r.a, ialah peristiwa pembukaan Kota Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan, tahun ke-8 Hijrah.

Gembira kerana Islam bertapak secara total di bumi Makkah, gembira kerana akar jahiliah yang kuat menentang selama ini, berjaya dihapuskan dan gembira buat sahabat-sahabat Muhajirin yang dapat kembali menjejakkan kaki semula ke kampung halaman mereka.

Daripada peristiwa ini, ada satu perkara yang ditarbiyah oleh Allah SWT iaitu bagaimana cara hendak menguruskan perasaan gembira ini.

Lihat firman Allah SWT yang bermaksud: Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat. (Surah al-Nasr: 3)

Daripada ayat ini dapat dicungkilkan kaedah Ilahi untuk menguruskan rasa gembira ialah bertasbih dengan memuji Allah SWT dan mohon keampunan kepada Allah SWT.

Persoalannya, kenapa perlu bertasbih dan kenapa sehingga perlu memohon keampunan kepada Allah SWT?

Prof. Dr. Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar (rujuk tafsir surah an-Nasr ayat 3) menukilkan erti bertasbih ialah mengakui akan kebesaran dan kesucian Allah SWT, dan bahawa semuanya itu tidak akan terjadi jika bukan dengan kurniaan daripada Allah SWT.

Tidaklah semua itu berhasil hanya kerana tenaga manusia atau tenaga sesiapa pun di alam ini, melainkan semata-mata kurniaan daripada Allah SWT jua.

Oleh sebab itu, hendaklah diiringi ucapan tasbih itu dengan puji-pujian yang berterusan terhadap Allah SWT.

Berkenaan tentang kalimah ‘mohonlah keampunan kepada-Nya’, dilihat kepada susur-galur perjalanan untuk mencapai kejayaan itu, pasti akan bergelumang dengan kesukaran, halangan dan pelbagai sisi ujian yang hadir sehingga memungkinkan terdetik di dalam hati timbulnya rasa kecewa, muncul rasa putus asa, hilang keyakinan malah ada yang terbabas sehingga tercetusnya rasa putus harap dengan Allah SWT.

Maka di sini, Prof. Dr. Hamka menyatakan mohon ampunlah kepada Allah SWT di atas perasaan-perasaan yang sedemikian, agar rasa hati kembali bersih, dan kasih dengan Allah SWT bertaut lebih mesra daripada yang dahulu.

Bertaubat daripada kegoncangan fikiran dan keraguan yang hadir di dalam hati dengan menyempurnakan kepercayaan kepada Allah SWT.

Rasa gembira juga adalah sebahagian daripada antara begitu banyak nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.

Maka, di dalam menanggapi nikmat ini, ada satu lagi tindakan yang perlu dizahirkan sebagai melengkapkan formula menguruskan rasa gembira iaitu bersyukur kepada Allah SWT.

Bersyukur tidak memadai dengan lidah lancar mengucapkan kalimah ‘alhamdulillah’ semata-mata, akan tetapi ada tuntutan yang perlu dijelmakan di dalam bentuk ketaatan kepada perintah Allah SWT sebagai manifestasi yang jelas hakikat rasa syukur yang dipersembahkan.

Malah yang lebih utamanya ialah bersyukur ini adalah perintah daripada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Ingatlah kepada-Ku, Aku juga akan ingat kepada kamu. Dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu kufur. (Surah al-Baqarah:152)

Atas segala nikmat kurniaan Allah SWT, maka Allah SWT memerintahkan kita, ‘dan bersyukurlah kepada-Ku’.

Jika tindakan kita bertentangan dengan perintah berkenaan, maka kita diingatkan, ‘dan janganlah kamu kufur’.

Kufur yang memberi makna tindakan yang mengingkari nikmat, menentangnya (atau tidak puas hati dengan kurniaan yang diperolehi) dan tidak digunakan ke arah kebaikan.

Dengan menzahirkan rasa syukur juga menarik ganjaran seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT, melalui firman-Nya yang bermaksud:

Dan (ingatlah), tatkala Tuhan-mu memperingatkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. (Surah Ibrahim: 7)

Natijah ganjaran rasa syukur ialah Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat kepada kita. Jelas tindakan bersyukur ini sesuatu yang menguntungkan kita, dunia dan akhirat.

Malah Rasulullah SAW juga menyatakan syukur ini adalah antara sifat orang beriman yang dianggap mengagumkan, seperti yang disebutkan di dalam hadith yang bermaksud:

‘Daripada Shuhaib bin Sinan r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang yang beriman. Jika dia mendapatkan kesenangan, dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan, dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadith riwayat Muslim)

Namun perlu diingat bahawa kegembiraan yang hendak diuruskan itu hendaklah dihasilkan daripada usaha atau pekerjaan yang tidak bercanggah dengan syariat Allah SWT.

Tidak wujud istilah syukur di dalam perkara yang haram, termasuk haram dari segi cara hendak memperolehinya, walaupun matlamat yang hendak dicapai itu baik.

Tidak ada Robin Hood di dalam Islam!

Usaha dan matlamat perlu dipastikan berada di atas orbit peraturan Allah SWT.

Barulah selayaknya untuk diuruskan rasa gembira atas keberhasilan yang diperolehi itu dengan bertasbih memuji Allah SWT, memohon keampunan kepada Allah SWT dan memanjatkan rasa syukur terhadap Allah SWT.

 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zamir Hj. Omar. Seorang Ghost Writer. Latarbelakang pendidikan di dalam bidang Pengurusan Teknologi (UUM Sintok) dan Kejuruteraan Mekanikal (UiTM Shah Alam).

Pernah berkerjaya di sektor kerajaan dan swasta. Memerlukan perkhidmatan berkaitan penulisan? Boleh ditemui di alam maya melalui laman Facebook: Zamir Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%