, , ,

Falsafah Perhubungan Perempuan Terhadap Lelaki Menurut Buya Hamka (Bahagian 2-akhir)

Pengaruh Yang Membentuk Peribadi

Peribadi adalah suatu perkara ghaib yang hanya dapat diketahui setelah melihat perjalanan hidupnya dan jejak usahanya.

Harga tinggi atau rendah seseorang itu bergantung pada peribadinya. Dan tinggi atau rendah peribadi seseorang lelaki boleh dipengaruhi oleh seorang perempuan.

Dalam novel karya Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck menunjukkan betapa besarnya pengaruh Hayati yang mewakili perempuan kepada Zainuddin. Kata Zainuddin:

“Hayati, amat besar harganya perkataanmu itu bagiku. Saya putus asa, atau saya timbul pengharapan dalam hidupku yang belum tentu diriku, bukan pula kepada orang lain, tetapi kepada engkau Hayati.

Engkaulah yang sanggup menjadikan saya seorang gagah berani, tetapi engkau pula yang sanggup menjadikan saya sengsara selamanya. Engkau boleh memutuskan harapanku, engkau pun sanggup membunuhku.” (Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck m/s 90. Pustaka Dini 2010)

Manakala dalam buku Peribadi, Buya Hamka menyingkap dengan lebih mendalam tentang hal ini. Buya Hamka menyatakan:

“Isteri yang selalu mempengaruhi suami yang seringkali menentukan suami semahunya sehingga membuat bukan suami lagi yang berkuasa menyebabkan peribadi seorang laki-laki menjadi lemah dan tidak cepat mengambil keputusan. Sebab dia takut isterinya di rumah tidak setuju.”

“Pengaruh isteri pun terkadang tidak dapat disembunyikan dari muka umum. Seorang laki-laki yang dilayani dengan baik oleh isterinya akan gembira hidupnya dan terbuka mimpinya untuk meneruskan usaha.

Seorang pemuda yang dicintai oleh seorang gadis akan giat dan tangkas menghadapi pekerjaannya. Beberapa orang besar dunia mengakui terus terang pengaruh itu. Bismarck pernah mengatakan, “Isteriku yang membuat aku menjadi begini.”

“Jangankan kehidupan peribadi orang besar di dunia, kehidupan nabi-nabi pun dipengaruhi oleh jiwa halus perempuan. Tentu saja dengan erti yang suci. Adam dan hawa, Yusuf dengan Zulaikha, Isa anak Maryam meskipun tidak sampai menikah tetapi perempuan yang mencintai dia tetap ada.

Maria Magdalena, awalnya adalah perempuan jahat, kemudian menjadi perempuan yang suci kerana mencintai Isa. Muhammad, saat muda pertumbuhan peribadinya terpengaruh oleh isterinya, Khadijah dan pada waktu usia tua terpengaruh oleh isterinya, Aisyah.”

“Oleh kerana itu, janganlah tuan hambarkan hidup tuan dengan tidak memiliki perempuan. Jika tuan membawanya kepada erti yang baik, tentulah hasilnya akan besar membentuk peribadi yang kuat.” (Hamka, Peribadi m/s 60. PTS publishing House 2017)

Kewajipan isteri

Bilamana kita membuka karyanya Lembaga Hidup, Buya Hamka menukikan dalam bab kewajipan dalam keluarga yang mana beliau membahaskan semua pihak termasuk anak dan suami.

Tetapi bilamana kita membaca tentang kewajipan isteri, Buya Hamka memberi satu sisi yang berbeza daripada kefahaman kita tentang siapakah ketua dalam mengurus rumahtangga. Kata beliau:

“Perempuan dijadikan ketua dalam rumahtangga. Untuk menjadi ibu, pendidik dan pengasuh yang utama. Perempuan adalah “per-empu-an.” Empu ertinya ibu atau peribuan, perkumpulan daripada suami dan anak-anaknya. Lelaki berusaha, perempuan mengatur. Dengan itu tercapai keseimbangan hidup.”

“Mengatur rumahtangga bukan perkara kecil. Dalam banyak hal orang lelaki tidaklah mampu, maka serahkanlah itu kepada isteri, itulah tanggungjawabnya. Dan isteri pun harus insaf, memang berat tanggungjawab itu.

Kalau lelaki memegang tentu kacau-bilau, walaupun berapa sanggupnya menggaji pembantu rumahtangga. Ada beberapa perasaan halus yang mesti menguasai suasana rumahtangga, yang orang lelaki tidak tahu sama sekali.” (Hamka, Lembaga Hidup m/s 227. PTS publishing House 2017)

Pengaruh Isterinya Buya Hamka, Siti Raham

Akhir kalam penulisan ini saya ingin menukilkan tulisan Buya Hamka dalam Tafsir Al-Azharnya terhadap seorang insan yang amat terkesan dalam hidupnya iaitu isterinya.

Apa yang ditulis dalam semua karyanya itulah yang dilakukan dalam kehidupan beliau. Walaupun begitu ia tidak menjadikan isterinya rendah lantaran prinsipnya dalam perjuangan hidupnya.

Tetapi kerana isterinya jugalah menjadikan Buya Hamka seorang yang sanggup berjuang dalam lapangan masyarakat yang mana ia merupakan rahmat Tuhan kepada kita. Kata Buya Hamka:

“Orang ketiga yang saya kenangkan ialah isteri saya sendiri, Siti Rahan Binti Endah Sutan. Masih kanak-kanak, kalau diukur dengan cara sekarang, kami telah dikahwinkan pada 29 April 1929, saya dalam usia 22 tahun dan dia usia 15 tahun.”

“Dari mulai anak tangga pertama dalam perjuangan hidup, untuk meminta sedikit luangan tempat dalam masyarakat bangsa dan agama, dia telah mendampingi saya.”

“Sekarang, kami telah beranak-pinak dan bercucu. Dia telah mengikuti saya dan mendampingi saya dalam hidup selarut selama itu; tidak pernah mengeluh ketika hidup kami melarat dan tidak pernah menyombong waktu hidup kami menaik, hanya berurai air mata seketika saya dengan paksa dipisahkan dengan dia lebih dari dua tahun.”

“Dia adalah pahlawan yang tidak dikenal, yang disedarinya atau tidak, telah banyak memberikan pendorong bagi saya buat maju. Sampai sekarang, telah dekat empat puluh tahun kami kahwin, tetapi dia tetap dalam kesederhanaannya.

Maka, di waktu menjelang tua ini, dia lebih banyak membimbing saya.” (Hamka, Tafsir Al-Azhar dalam helaian orang-orang yang saya kenang. PTS publishing House 2015)

Setelah kita melihat dan mengkaji pemikiran Buya Hamka dalam banyak karyanya termasuk dalam hal ini maka kita akan dapati beliau merupakan orang yang besar dalam falsafah berkenaan kehidupan manusia.

Semoga Allah SWT merahmatinya serta keluarganya atas perjuangan yang beliau dan ahli keluarganya lakukan untuk umat. Dan semoga kita memperolehi manfaat serta keberkatan ilmunya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq Bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq Bin Salim) atau ke Facebook Tukang Jahit Johor.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%