,

Dua ‘S’ Yang Ramai Orang Selalu Terleka – Senyum & Sedekah

Saya ada seorang kenalan yang sangat hebat di mata saya. Namanya Muhammad Saif Syahrul. Saya panggilnya Syah.

Hingga ke hari ini, seperkara dua nasihat daripadanya yang saya ingat dan pegang erat-erat, ingin saya kongsikan bersama.

Dua ‘S’. Ya, itu yang Syah sampaikan pada saya beberapa tahun yang lepas, sebelum Syah berhijrah. Apa itu dua ‘S’? Mari saya kongsikan.

Senyum

“S” yang pertama adalah senyum. Syah seorang yang sentiasa tersenyum. Kami sama-sama merupakan usahawan dan selalu bekerjasama memajukan bisnes masing-masing.

Jumpa client tersenyum. Makan dan minum di kedai mamak tersenyum. Malah, bila ada ‘hari gelap’ dan sedih juga dia masih tersenyum.

Kadang-kadang ada juga bertanya padanya, apa menariknya amalan senyum ni? Nak awet muda ke?

Kata Syah, senyuman itu adalah kekuatan bagi dirinya. Dia yakin dengan sentiasa tersenyum walaupun dalam saat susah, sedih atau bingung, akan menenangkan dirinya.

Pesan gurunya, senyumlah sentiasa walau kita tengah susah hati, insyaAllah, Allah akan hadirkan jalan untuk kita serta kita akan rasa tenang dan mudah untuk hadapi saat tersebut.

Senyuman bisa menerbitkan tenaga dalaman yang positif.

Mulai saat itulah, dia latih dirinya untuk rajin maniskan wajah dengan senyuman. Katanya lagi, dengan senyuman juga akan buat orang lain bahagia.

Yalah, bila lihat wajah kita yang manis tersenyum, mereka yang ‘kelat’ pun akan tersenyum secara spontannya.

Sedekah

Sedekah adalah “S” yang kedua. Yang ini, saya kerap perhatikan Syah rajin menghulurkan wang ringgit pada yang memerlukan.

Syah pernah kongsikan pada saya pengalaman dia pada waktu dia kesempitan dahulu semasa mula-mula berbisnes.

Waktu itu, dia hanya punyai 10 ringgit sahaja dalam bank. Dalam dompet pula hanya 5 ringgit.

Sedang gundah memikirkan ikhtiar mencari wang, Syah terbaca satu mesej di aplikasi Whatsapp yang memaklumkan sahabat sekolahnya melancarkan ‘sumbangan kilat’ bagi membantu anak-anak yatim membeli perkakas persekolahan serta barang harian mereka.

Satu sikap Syah adalah, jika dia maklum akan apa sahaja jenis derma/sumbangan, dia akan tetap mahu memberi, regardless macam mana pun keadaannya tika itu.

Syah terus buka laptop dan melayari laman sesawang Maybank. Dia pejamkan mata dan berkata sendiri, “Ya Allah, aku punyai ini sahaja dalam akaun aku. Aku tinggalkan 2 ringgit dalam akaun ni bagi menghidupkan akaun, selebihnya, aku ingin turut serta dalam membantu anak-anak ini. Ini sahaja yang aku ada untuk bantu mereka. Moga dengan pemberianku ini, Kau akan lebih berkati hidup aku dalam mencari rezeki.”

Ya, aku masih ingat lagi kata-katanya itu. Masih jelas kedengaran setiap ceritanya.

Kuasa Allah. Sehari selepas itu, kenalan lama Syah menghubunginya. Syah terkejut apabila yang menghubunginya itu bertujuan untuk membayar hutang sebanyak RM500 yang pernah dia pinjam pada Syah beberapa tahun lepas.

Cerita yang benar-benar terjadi. Dengan berbekalkan wang itulah, Syah perlahan-lahan memajukan bisnesnya.

Sejak itu jugalah, Syah makin rajin memberi. Pergi kedai makan akan bayar lebih untuk pelanggan-pelanggan lain, walau tak banyak, tapi mesti ada setiap hari, meskipun seringgit.

Syah selalu pesan pada saya, rajinlah memberi, insyaAllah, Allah akan lapangkan jalan sentiasa.

Jalan tu tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit, tetapi dalam pelbagai bentuk sebenarnya.

Kesihatan yang baik, kereta tak meragam langsung, sentiasa rasa cukup meskipun tak banyak keuntungan yang dapat, orang sentiasa senang berurusan dengan kita, dan bermacam lagi. Semua itu adalah antara jalan dan rezeki daripada Allah.

Jika kita rasa semakin susah atau sempit hidup ni, lagilah digalakkan bersedekah, insyaAllah, bantuan Allah akan mudah hadir nanti.

Lagi satu pesan dia lagi, “Bila dapat gaji atau keuntungan tu, kau selalulah cakap. Ya Allah, bantulah aku untuk aku menguruskan keuntungan atau gajiku ini. Semoga aku sentiasa berada dalam keberkatan yang Kau lorongkan. Cuba kau amalkan, nanti lama-lama kau akan rasa tenang je bila kau uruskan duit kau tu nanti. Kita ni manusia penuh dengan noda, kita perlukan Dia setiap masa.”

Dua ‘S’ ni memang saya laksanakan juga. Jika kita buat kerana Allah, hasilnya sentiasa baik. Dan apa yang Syah rasa dan lalui, itu juga yang saya lalui sama. Nikmat tenang dan bahagia.

Setelah Syah berhijrah ni, makin rindu padanya. Rindu dengan sikap dia yang sentiasa tenang dan rajin berkongsi ilmu.

Segala pesan dia, akan saya ingat sampai bila-bila. Macam saya cakap tadi, rezeki tu bukan datang dalam wang ringgit je, dapat sahabat seperti Syah ni pun adalah salah satu rezeki yang terbaik daripada Allah.

Terima kasih Syah untuk dua ‘S’ yang selalu kau sebut tu. Kini, aku sampaikan pula pada yang lain.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

-2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 100.000000%