, ,

Jika Mahu Pasangan Soleh, Solehahkan Dirimu Dulu

“Huish, aku jealous sungguh la kat Helina ni. Untunglah dia dapat Izzat. Dah la romantik, caring, handsome, kaya. Kira perfect lah katakan. Kalaulah aku dapat suami macam ni. Best nya.”

Omelku sendiri sambil mataku masih khusyuk menonton drama bersiri Red Velvet yang dibintangi pelakon kacak Alif Satar digandingkan dengan aktres wanita Neelofa secara online di laptopku.

“Hanya sebab tu je kau kata dia perfect? Itu saja ciri-ciri calon suami idaman kau?” Dia yang sedang membelek tafsir Al-Quran di meja tulisnya menyoalku secara tiba-tiba.

“Calon suami ek? Yup, aku memang nak yang macam tu. Kalau aku dapat yang macam tu, aku buat kenduri tujuh hari tujuh malam. Hahaha,” bicaraku sambil ketawa. Terbayangkan diri ini dinikahkan dengan pemuda seperti Mikail. Oh, indahnya!

“Kalau macam tu. Rugilah kau…” tuturnya lagi.

Aku buat muka pelik. “Hah! Kenapa kau cakap macam tu? Ada masalah ke dengan ciri-ciri calon suami idaman yang aku senaraikan tadi? Aku rasa okay je,” luahku dengan nada tidak puas hati.

Dia memandangku lalu tersenyum. “Tak ada masalah pun, cuma ianya tak cukup syarat. Kau tahu, Rasulullah pernah menggariskan ciri-ciri seorang jodoh yang ideal sebagai panduan untuk kita? Kata Baginda, “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung.”

“Memanglah hadis di atas menekankan nama ‘wanita’ namun ciri yang digariskan Rasulullah boleh kita gunakan untuk mencari pasangan masing-masing tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Dalam banyak-banyak ciri yang kau senaraikan tadi, agama adalah ciri yang kau lupa senaraikan sebagai ciri-ciri calon suami idaman kau, sedangkan agama menjadi faktor utama yang digariskan Rasulullah dalam pemilihan seorang jodoh. Itupun jika kau mahu jadi orang yang beruntung,” tuturnya.

Aku tersengih sendiri. Kemudiannya, mengangguk saja menandakan persetujuan atas apa yang dia katakan.

“Memang tidak dinafikan yang masyarakat masa kini lebih mementingkan rupa paras, pangkat dan keturunan daripada agama. Lihat saja kebanyakan ibu bapa masa kini, apabila anak gadis mereka dirisik soalan yang dahulu diajukan adalah mengenai pekerjaan dan pendapatan. Sepatutnya soal agama yang pertama ditanya.”

“Sebenarnya sangat beruntung siapa yang mendapatkan pasangan yang soleh mahupun solehah, senang kata yang tinggi ilmu agamanya. Kerana dia bukan saja membahagiakan kita di dunia semata tetapi turut membantu kita melayar bahtera rumah tangga menuju redha Allah hingga ke syurga. Dan di situlah berseminya kebahagiaan yang berkekalan selamanya. InsyaAllah.”

Aku tergegun mendengar bicaranya. Dia ini, bibirnya tidak lekang daripada nasihat yang penuh hikmah. Hampir setiap masa dimanfaatkan untuk berdakwah.

Sungguh, aku kagum dengan dirinya. Perwatakan muslimahnya terserlah bukan daripada pemakaian semata-mata namun daripada akhlak dan peribadinya jua.

“Kau inginkan pasangan yang soleh?” Dia menyoalku lagi.

“Mahu!” Laju sahaja persoalannya aku jawab.

“Jika mahukan pasangan yang soleh, solehahkan dirimu dulu. Perkara yang wajib itu kau laksanakan dengan sempurna, yang sunat pula kau praktiskan sedaya upaya. Contohnya, jangan jadi orang yang melengah-lengahkan solat, tambahan lagi cuma sebab nak tonton cerita drama di kaca televisyen. Betul tak?” Bicaranya lagi. Senyuman penuh makna dihadiahkan buatku.

Bagai terkena renjatan elektrik, badanku secara tiba-tiba berdiri tegak, kakiku bergerak sendiri menuju ke kamar mandi. Hutang pada Ilahi harus aku lunaskan.

Wuduk kuambil dan solat Maghrib aku tunaikan dengan sempurna.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%