,

Belajar Kerana Allah, Tetapi Apa Buktinya?

Suasana di cafe begitu sesak dengan pelajar. Tambahan pula, sudah masuk waktu makan tengah hari, jadi pelajar masing-masingnya sibuk menikmati makanan tengah hari bagi mengisi perut yang sudah kelaparan.

Aku mengambil tempat di satu meja kosong di hujung cafe bagi menghilangkan keletihan berjalan jauh pulang dari kelas.

“Aduh, letihnya. Kan senang kalau ada kenderaan sendiri. Tak perlu susah-susah jalan jauh macam ni,” omelku sendiri.

“Laa, sabarlah. Cabaran menuntut ilmu. Lagipun, taklah jauh mana pun, kan? Sekurang-kurangnya, berjalan ni boleh jadi senaman untuk kita. Badan cergas otak cerdas,” tuturnya kepadaku.

“Hmm… yela sangat! Eh, susahkan belajar Fizik tadi. Pening kepala nak faham, dah tu mengantuk pula. Kenapa aku kena belajar benda alah ni? Tapi, aku kagum tengok kau fokus je. Kau tak boring ke?”

Dia melemparkan senyuman kepadaku. Dia tidak pernah lekang dengan senyuman. Katanya, senyum seorang Muslim kepada saudaranya adalah sedekah.

“Kau belajar kerana apa?” Dia menyoal secara tiba-tiba.

“Hmm, kerana Allah,” jawabku tenang. Aku yakin itu jawapan yang terbaik untuk aku berikan kepadanya. Jawapan standard bagi setiap pelajar.

Dia tersenyum lagi. “Baguslah, aku juga begitu dan berusaha ke arah itu. Tapi, kata-kata tak semudah melakukannya.”

“Hah?”

“Kau tau, jika niatmu ikhlas kerana Allah, pasti kau akan melakukannya dengan bersungguh hati, bukan? Jika kau katakan kau belajar kerana Allah, kau akan menuntut ilmu dengan sehabis usahamu. Kau tidak akan pernah mengeluh, kau takkan bermalas-malasan tetapi sehabis dayamu cuba membuat yang terbaik kerana kau mahu Dia tahu apa yang kau lakukan itu keranaNya. Benarkan?”

Aku terdiam. Kata-katanya seolah menusuk tepat ke jantungku. Aku tidak punya jawapan untuk pertanyaannya.

“Kau bilang kau menuntut ilmu keranaNya, pasti kau tidak mahu itu menjadi sekadar kata untuk menyedapkan hatimu. Kau kata ikhlas keranaNya, tapi kau melakukannya dengan sambil lewa, sekadar rasa tanggungjawabmu sebagai seorang pelajar atas alasan menuntut ilmu itu wajib bagi seorang Muslim. Kau tidak begitu, kan? Kau pastinya sedang berusaha menuntut ilmu sehabis dayamu. Betul?” Soalnya lagi.

Aku tertunduk malu. Itukah yang aku lakukan? Baru sahaja tadi mengeluh sendiri.

Tidak! Selama ini, aku hanya bijak berbicara. Bangga mengatakan aku menuntut ilmu kerana Allah tapi ternyata perlakuanku langsung tidak mencerminkan pengakuanku.

Sungguh, aku malu! Malu kepada Allah, malu kepada sahabatku.

Lama dia menunggu aku membalas kata-katanya. Mungkin kerana letih menunggu, dia kembali berbicara, “Kau tidak perlu menjawab pertanyaanku, aku cuma mahu kau tahu jika kita melakukan sesuatu kerana seseorang yang kita cintai, kita pasti berusaha melakukan pekerjaan itu dengan sempurna tanpa cela. Kita pasti ingin menghadiahkan dia sesuatu yang terbaik kerana cinta kita kepadanya. Kau kata kau cinta Allah, kau lakukan pekerjaan ini keranaNya. Jadi, buktikan itu bukan sekadar bicara namun kau benar-benar maksudkannya.”

Aku mendongak melihat wajahnya. Senyuman manis dihadiahkan kepadaku. Dia membalas pandanganku. Aku terpaku melihat pandangan matanya. Seolah-olah dia sedang berbicara!

“Kau boleh sahabat, Allah sentiasa bersamamu!”

Aku tersenyum.

Ya, aku bisa walaupun aku tau ia sukar. Jalan menuju Allah bukan suatu jalan yang mudah penuh keseronokan. Ia suatu jalan penuh duri yang menyakitkan kerana pengakhirannya menjanjikan Syurga yang indahnya tiada bandingan!”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%