,

Dia Sentiasa Ada Di Sampingmu

Assalamualaikum pembuka bicara…

Buat diri yang sunyi tanpa bicara walhal tidak pernah sepi tanpa dugaan daripadaNya.

Setiap daripada kita akan menghadapi apa yang dipanggil sebagai ‘turning point‘ dalam hidup kita.

Warkah ini adalah untuk mereka yang masih sedang cuba untuk bersiap siaga,

Menanti takdir daripadaNya,

Penungguan dalam doa yang berpanjangan tidak pernah luput daripada ingatan.

Tentang setiap perkara yang dikau mahukan.

Jelas aku faham apa yang dikau rasa.

Di sini aku selaku pendengar setia di alam maya,

Yakin kau akan berjaya, dengan kekuatan yang ada, mungkin sedikit berbaki kayaknya,

Kerana aku tahu kadang terdetik bisikan untuk melepaskan hidup ini, mengambil jalan mudah untuk pergi bertemunya.

Syukur kau masih bernyawa, masih boleh membaca dan memilih untuk mencari kekuatan di balik kekejaman bisikan syaitan durjana.

Kelak, percayalah kerana aku pun merasa, kau bukanlah sendirian kerana Allah sentiasa bersama kita.

Walau tidak kau lihat pada mata, tapi Dia ada, di sampingmu senantiasa.

Bangkitlah malam hari memohon kepadaNya, walau berdekad lama, hingga kau jumpa jawapannya.

Jangan mengalah. Mohon petunjuknya, kelak kau akan rasa tenangnya hidup bertuhan selagi kau kuat berusaha.

Aku bukan ustazah, bukan juga pendakwah, tapi aku sebagai manusia kenal erti lelah.

Bingkisan Surah Al-hadid ayat 20-23, moga kau bangkit tidak beralah.

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Yaty2810 (nama pena). Merupakan pelajar perubatan tahun akhir di Malaysia, berpersonaliti ‘extroverted introvert‘. Minat bidang penulisan yang ringkas tetapi mendalam. Warkah buat mereka yang masih berjuang dalam meniti kehidupan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

-2 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 33.333333%

Downvotes: 4

Downvotes percentage: 66.666667%