, ,

Kita Tak Pernah Terlepas Daripada Buat Dosa, Tapi Itu Bukan Alasan

Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah…

Pertama sekali, jom kita tarik nafas dalam-dalam. Pejamkan mata dan hayatilah cinta Allah dalam hati dan jiwa kita… adakah kita merasainya atau pernah merasainya?

Kemudian, perlahan-lahan mari kita berfikir sejenak. Dalam hidup kita selama ini yang ALLAH bagi ni’mat bernafas selama 20-50 tahun, agaknya benda apa yang paling berharga buat kita?

Harta? Keluarga? Kerjaya? Pangkat?

Semua itu tidak kurang pentingnya tetapi ada lagi benda yang paling berharga dalam hidup kita iaitu IMAN.

Kerana itu, syaitan sangat ingin mencuri IMAN kita kerana itu yang paling berharga dalam diri kita.

Setiap daripada kita yang bergelar hamba ALLAH mempunyai IMAN. Yang membezakan kita semua adalah kualiti iman kita sama ada tinggi atau rendah.

Bilamana iman kita tinggi berada di puncak, maka tiada masalah buat kita untuk melakukan ibadah dan kebaikan kerana kita merasai manisnya iman.

Tetapi, bilamana kita diuji dengan iman yang lemah? Segala kebaikan terasa berat… hilangnya kemanisan ibadah… dan rasa malas menguasai diri… semua kerja tak jalan, kan?

Pertama yang perlu ditanamkan dalam diri adalah kita, manusia yang tidak pernah terlepas daripada perbuatan dosa.

Dosa yang kita lakukan seharian sama ada sengaja atau tak sengaja. Dosa yang kita tahu mahupun yang kita tak tahu.

Kita semua sedia maklum yang IMAN kita akan sentiasa naik dan turun ibarat roller-coaster. Kerana itu, ALLAH Maha Pengampun terhadap hamba-hambaNya kerana Dia tahu kita akan sentiasa berbuat dosa dan lemah.

Nak tahu rahsia yang sememangnya bukan rahsia?

ALLAH itu sangat mencintai hamba-hambaNya yang sentiasa bertaubat lagi dan lagi tanpa putus asa. Apabila hambaNya berbuat dosa… ALLAH menunggu hambaNya itu kembali kepadaNya.

Jangan pernah ragu-ragu dengan cinta ALLAH kerana ALLAH mencintai semua hambaNya melebihi kasih sayang ibu bapa kepada kita.

ALLAH menciptakan kita bukan dengan tujuan untuk menghukum kita melainkan untuk memuliakan kita.

ALLAH ingin berjumpa kita di syurga kerana itu ALLAH membuka pintu pengampunanNya seluas-luasnya sehingga hari kiamat.

Persoalannya sekarang, adakah kita merebut peluang taubat yang ALLAH berikan?

Bilamana kita berjalan kepada ALLAH… ALLAH berlari kepada kita.

Oleh itu, betapa banyak kesalahan yang kita buat, ingatlah betapa besarnya kasih sayang ALLAH yang menunggu untuk mengampunkan kita.

Namun, takutlah dengan azab-Nya untuk mereka yang ingkar dan sombong untuk bertaubat kepada ALLAH.

Hidup ini adalah perjalanan hati, jika hatimu kuat maka kamu akan sampai ke destinasimu… biarpun beribu onak dan liku kerana kekuatan hatimu ada ALLAH.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%