,

Di Sebalik Al-Azharku Tercinta

PENGAJIAN talaqqi kitab Ihya’ Ulumuddin bimbingan Syeikh Mehanna setiap hari Jumaat biasanya dibanjiri oleh kehadiran pelajar-pelajar dari banyak negara.

Kelas-kelas talaqqi ini bukan perkara yang asing di bumi Mesir malahan budaya itu terbawa-bawa sehingga ke institusi pengajian di negara-negara yang lain pula.

Buat pengetahuan, berdirinya intitusi keilmuan Islam di dunia seperti Universtiti Al-Zaitun di Tunisia, Universiti Al-Umawi di Damsyik, dan Universiti Al-Fateh di Instanbul, secara hakikatnya adalah kerana mengguna pakai kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh Manhaj Al-Azhar dahulu.

APAKAH ITU MANHAJ AL-AZHAR?

Manhaj ditakrifkan sebagai jalan atau kaedah yang disusun oleh ulama-ulama Islam terdahulu bagi memudahkan seseorang melaluinya dan mencapai objektif atau matlamat.

Universiti Al-Azhar pula sudah termaklum adalah sebuah universiti yang asalnya sebuah masjid yang ditubuhkan pada era dinasti Fatimiyyah (909-1171M) kemudian ditutup dan dibangunkan semula oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.

Sistem pendidikan Universiti Al-Azhar era moden masih mengguna pakai sistem tradisi atau lebih senang sistem perpustakaan – pembelajaran berpusat kajian kitab sahaja.

Tetapi apa yang ingin saya tekankan bukanlah sistem tersebut tetapi sistem yang lebih asli iaitu sistem klasik di sekitar universiti Al-Azhar tersebut.

Hingga ke hari ini, Al-Azhar berkembang  merangkumi sekolah rendah (ibtadi’), menengah (i’dadi), menengah atas (thanawi) dan peringkat universiti.

Jadi apakah rahsia Al-Azhar sehinga ianya menjadi satu modul menuntut ilmu bagi umat Islam?

Jawapannya adalah adanya elemen yang disusun oleh ulama’ silam.

Syeikh Usamah Al-Sayyid Mahmud Al-Azhari menekankan lapan elemen Manhaj Al-Azhari yang dirangka bagi seorang penuntut ilmu.

1. Mewariskan sanad (silsilah) ilmiah secara riwayah, dirayah,dan tazkiyah.

2. Memberi berat terhadap penguasaan ilmu alat.

3. Memiliki gambaran sempurna lagi menyeluruh terhadap objektif Syariat.

4. Mengadaptasi Al-Quran tepat pada tempatnya.

5. Mentanzimkan hal ehwal umat Nabi Muhammad SAW.

6. Mendokong tanggungjawab menyampaikan hidayah kepada umum.

7. Memberi perhatian penuh terhadap aspek pembentukan sempurna bagi ilmu.

8. Mengambil faedah dari warisan umat, bersikap terbuka terhadapnya, serta menjalinkan hubungan dan menjadikannya sebagai teras.

PENERAJU UTAMA SISTEM TALAQQI

Sistem talaqqi atau sistem belajar secara langsung daripada guru ini sangat masyhur terutamanya di peringkat universiti-universiti, kelas-kelas terbuka, dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Antara kelas-kelas yang dijalankan merangkumi kelas ulum syarak (ilmu alat) seperti:-

1.Nahu sorof

2.Seni Balaghah

3.Ishtiqaq

4.Ulum Al-Quran

5. Ulum Hadis

6. Mantik

7. Usul Fiqh

Pelajar yang bertandang ke Mesir walaupun bukan menuntut di Universiti Al-Azhar pun dapat merenangi dan menyelami lautan ilmu dan kefahaman agama secara percuma dan bersambung ajarannya dengan Rasulullah SAW di merata-merata tempat seperti di Mudhaiyyafah (pondok) Syeikh Ismail Al-Adawiy, Ruwaq Jawi, Ruwaq Al-Azhar dan banyak lagi. Kena rajin carilah ya.

Sebagaimana kata mutiara:

Ilmu itu adalah khazanah yang paling tinggi nilainya, engkaulah khazanahnya

Barangsiapa yang belajar ilmu, nescaya tidak akan lenyap kemuliaannya

Kerana pangkal dan hujung ilmu pengetahuan itu adalah penerimaannya.

LAHIR ULAMA, ILMUAN, PEMIKIR, SENIMAN ISLAM DI SELURUH DUNIA

Al-Azhar ibarat sebuah gudang yang tak berhenti memproduk individu berkualiti, kepada masyarakat dan negara.

Sebagai contoh, Bekas Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah juga sudah mahfum sebagai ulama besar dari Al-Azhar.

Begitu juga Syeikh Dr. Fathi Hijazi (guru bahasa Arab saya) dan Syeikh Usamah Al-Sayyid Mahmud Al-Azhari sendiri.

Organisasi-organisasi seperti Tabah Foundation yang ditubuhkan oleh Syeikh al-Habib Ali Al-Jifri di Arab Saudi banyak menjemput para-para pemikir dari Al-Azhar bagi membincangkan karya-karya pemikiran Imam Al-Ghazali, ekonomi Islam, dan sebagainya.

Anda juga pasti mengenal Mostafa Atef, anak seni dan pelantun nasyid berjudul ‘Qamarun’ yang cukup popular di Malaysia, Indonesia, Afrika, Rantau Arab dan setiap pelosok negara.

Beliau adalah seorang Al-Azhari tulen. Saya berharap dapat menjadi seperti beliau juga dalam dunia hiburan.

MEMPROMOSI KEHARMONIAN AGAMA

Peristiwa pengeboman gereja Kristian Koptik dan tragedi di Sinai menampakkan ideologi keganasan semakin parah.

Lebih sadis, kewujudan terorisme ini memberi imej buruk dan tanggapan negatif kepada non-muslim yang tidak faham secara mendalam tentang agama Islam.

Kerana itu, Al-Fadhilah Dr. Ahmad Al-Tayyib, Imam Besar Al-Azhar terlebih dahulu mengadakan perhimpunan pada 3-4 Disember 2014 yang menghimpunkan para-para pempimpin agama di segenap nuansa seperti Libya, Nigeria, Lubnan, Jazirah Arab, Iran, Bahrain, Iraq, Yemen, Syria dan negara-negara Islam yang lain demi membincangkan masalah ancaman pergerakan ekstrimis bertopengkan Islam ini.

Perhimpunan ini bertujuan menggesa pemimpin menguatkuasakan dalam membanteras isu ini.

Sewaktu kejadian letupan bom di gereja Koptik pada 2017, Universiti Al-Azhar mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan segala program sambutan Maulidur Rasul bertempat di Universiti Al-Azhar sebagai tanda toleransi kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam siri letupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahah: 8)

SUMBANGAN AL-AZHAR KEPADA POLITIK, EKONOMI DAN SOSIAL

Kedatangan delegasi Imam Besar dari Al-Azhar, Prof Dr. Ahmad Tayyib ke Malaysia ketika Muktamar yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia banyak menyentuh perihal ideologi wasatiyyah atau keserdehanaan dalam kemelut parti politik berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Konsep kesederhanaan itu sendiri diaplikasikan oleh Rasulullah SAW.

Seterusnya, pakar-pakar ekonomi Islam yang terdiri daripada ilmuan Al-Azhar banyak mengerah kepakarannya dalam urusan muamalat, jual beli, zakat, pengurusan harta negara menurut perekonomian Islam dan banyak lagi.

Contohnya bapa ekonomi Islam sendiri, Ibn Khaldun, seorang Al-Azhari dan pengarang kitab Al-Muqqadimah dan Al-Ithar yang terkandung retorik (khayalan) tentang negara Islam tetapi retorik itu dijalankan dalam proses pembinaan negara-negara Islam.

Mengalahkan retorik Plato dalam bukunya Madinah Aflatun yang sangat berat sebelah kerana dipandu dengan akal sahaja.

Manakala dari segi sosial, pembangunan Maahad Tahfiz dan pengajian-pengajian agama yang mengguna pakai kokurikulum Al-Azhar di wilayah Burma, Pattani dan negara-negara minoriti Islam yang lain juga sedang giat dijalankan.

Ramai tenaga pendidik lepasan Al-Azhar mengajar di universiti, kolej, dan sekolah agama. Mereka tidak kedekut pun berkongsi ilmu dan kemahiran.

Di USIM, UIA, KUISAS, hatta sekolah-agama di negara kita turut merasai budaya Al-Azhar.

KESIMPULAN

Jihad dengan mata pena, akal dan wahyu inilah yang menjadi solusi dan realiti untuk kita mengubah perspektif dunia umat Islam yang kononnya tampak mundur tetapi hakikatnya sedang membangun dan terus bangkit tanpa mengacukan senjata mahupun menumpahkan setitik darah pun.

Akhir sekali, Al-Azhar menyediakan plaform kepada anak-anak muda tertutamanya petuntut Al-Azhar agar menjadi harapan masyarakat suatu hari nanti.

Kegiatan merendah-rendahkan, menghina dan menfitnah para ulama Al-Azhar adalah salah satu sikap yang tidak profesional lebih-lebih lagi jika anda seorang penuntut Al-Azhar sendiri

Berkata Al-Imam Ibn Mubarak  RA:

“Siapa yang melecehkan ulama’, akan hilang akhiratnya. Siapa yang melecehkan umara’ (pemerintah), akan hilang dunianya. Siapa yang melecehkan teman-temannya, akan hilang kehormatannya.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%