,

Sepertimana Pentingnya WiFi Dalam Kehidupan, Begitulah Juga Dakwah

Wireless Local Area Networking atau bahasa mudahnya WiFi acapkali disebut dan dicari oleh kebanyakan orang untuk mengakses ke dalam pelbagai laman sesawang.

Dalam generasi moden hari ini memperlihat bagaimana manusia menjadikan WiFi sebagai salah satu perkara penting.

Mana tidaknya, nak buat kerja, nak ber’Whatsapp’,nak muatnaik gambar dan hampir kesemuanya memerlukan sistem kemudahan ini.

Apa yang boleh dikaitkan dakwah dengan WiFi itu sendiri adalah dari segi kekuatan ataupun core.

Menariknya WiFi itu dipilih bukanlah atas dasar jenama,tapi berapa kelajuaan dan kelancaran sistem tersebut untuk diguna pakai.

Hah! Kan sama dengan medium dakwah, orang tidak akan lihat pada siapa yang memberi tapi cukup apa yang diberikan dan cara yang betul memberi kesan kepada penerima.

Lantas, jika kekuatan WiFi dari segi kelajuan, dakwah pula? Ya, dari segi penyampaian hati ke hati. Ingat kita bukan robot.

Pelbagai medium boleh diambil untuk menjayakan sebaran dakwah, tapi jika tiada sulaman hati ke hati, maka dakwah itu hanya sekadar pasir yang digenggam lalu dilepaskan.

Secara saintifiknya, hati merupakan salah satu organ yang memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia.

“Ala, itu saya pun tahu!”

Bawa bertenang. Saya akan melanjutkan kupasan tajuk ini. Hati juga berfungsi sebagai raja dalam tubuh.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang menyebut, “Ketahuilah sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati manusia.”

Bercakap soal hati ataupun jiwa manusia, secara teorinya memang sama tapi bukan dari segi teknikalnya. Ya, sama macam satu pepatah, ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’.

Dalam dunia dakwah tak kira sama ada kita berdakwah atau didakwah, perlunya ada win-win situation atau kata mudahnya seri bagi kedua-dua belah pihak.

Jadi untuk bahagian yang pertama perlu adanya langkah pertama.

BAGAIMANA?

Tapi sebelum itu, satu analogi mudah akan menjadi mukadimah kisah ini.

Si Fulan yang sedang berlari menuju ke hospital kerana urusan kecemasan. Hanya berbaki lima langkah terakhir sebelum sampai ke destinasi,

“Assalamualaikum..”datang seorang menyapa.”Waalaikumussalam…ya?” Jawab Si Fulan.

”Saya dari pusat…datang untuk berkongsi..” Ketika itu respon daripada Si Fulan antara dua, menerima secara masuk telinga kanan dan simpan atau masuk telinga kanan dan berlalu keluar begitu sahaja dari telinga kiri.

Tidak salah apa yang hendak disampaikan tapi CARA yang digunakan… nampak?

Asas dalam berdakwah yang seringkali kita tersilap langkah ialah dengan tidak meletakkan diri kita di tempat mad’u kita.

Sama macam WiFi, kalau kita mahukan line yang kuat, kita mestilah berada dalam zon WiFi itu sendiri.

Semakin jauh kita dengan zon tersebut, semakin kurang kekuatan WiFi yang kita akan dapat. Maksudnya untuk kita sampaikan sesuatu terutamanya perkara penting haruslah mengikut waqi’(situasi) yang sesuai.

Hal ini bukanlah penghalang untuk menyampaikan kebaikan malah untuk kita belajar apa yang perlu supaya ia bermanfaat pada orang lain.

Untuk berada dalam situasi memberi tidak mudah, begitu juga situasi menerima. Jadi perkara pertama selepas berada di situasi yang betul ialah ‘sentuh hati’ mereka.

“Macam ‘touch n go’ ke?” Bukan. Touch and always keep in touch.

Mana ada orang suka WiFi terputus kan? Jadi orang yang terbuka dan jadi tempat mereka mengadu masalah dan berkongsi pendapat.

Kalau kita lihat dalam aspek ini, sangat berkaitan bagi mereka yang mempunyai usrah dan cara untuk menaikkan dan mengekalkan momentum ukhuwah.

Hal ini kerana cara ini lebih kepada dakwah yang berterusan berbanding umum. Tapi jangan terlepas pandang, sebab perkara ini memainkan peranan utama untuk berdakwah secara umum di luar sana.

Bukan semua berada dan berkesempatan berada dalam biah solehah (sekeliling yang baik).

Beranggapan diri tidak layak untuk menyampaikan dakwah hanyalah bisikan jahat yang datang daripada syaitan dan manusia dengki yang lain.

Untuk menarik hati sang mad’u, jadikan akhlak dan pengucapan kita sebagai modal yang tidak pernah merugikan. InshaAllah akan ada manfaat pada kedua-dua belah pihak.

Perkara yang menjadi titik kekuatan dalam kita berdakwah ialah hablumminallah (hubungan dengan Alllah), hablumminannas (hubungan dengan manusia) dan hubungan dengan alam.

Jaga hubungan dengan orang lain dan semoga Allah sentiasa menjaga kita.Semoga kita menjadi hidup dalam keberkatan Allah dan bermanfaat pada sekeliling kita.

Akhir kalam,semoga kita menjadi Wifi yang kuat dan berkesan dalam menyampaikan kebaikan kepada hati-hati manusia di luar sana. InshaAllah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aisya Insyira binti Jamil. Berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan pelajar Jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%