, ,

Cinta Yang Terlupa (Bahagian 1)

“Abah, nanti along habis belajar, dah dapat kerja, abah tak payahlah menoreh dah.” Ujar Jia sambil menghulur kopi panas kepada Pak Da.

Pak Da sambut sambil berkata, “Mana boleh. Nanti siapa nak tanggung adik kamu lagi dua orang tu nak belajar.”

“Along kan ada.” Jia jawab sambil tersenyum. Manis sekali. Jia labuhkan punggung di sebelah Mak Na.

Mak Na yang duduk sekali di situ cuma diam tak menyampuk. Tangannya sibuk memilih batu yang ada terselit dalam kacang hijau yang dibeli tadi. Hajat hati nak buat bubur kacang hijau.

Maklumlah, Jia tengah cuti semester. Jadi anaknya semua ada di sini. Seronok sikit nak masak macam-macam. Lagipun bukan selalu dapat masak banyak. Kebiasaannya, terpaksa bercatu.

Mereka bukan orang senang. Harapkan duit upah Pak Da menoreh getah milik Wan Jusoh dengan bantuan zakat. Itulah yang menampung mereka anak-beranak selama ini.

Sesekali adalah juga Mak Na ambil upah buat kuih. Tapi bukannya ada yang menempah tiap-tiap hari. Nak hantar ke kedai Ita, dia sudah tak berani lepas Mak Ngah Senah menuduh dia mengganggu jualan Mak Ngah Senah.

Manusia tak lari daripada perkataan cemburu dan hasad dengki. Penyudahnya, Pak Da dah tak izinkan Mak Na hantar kuih ke situ. Katanya, biarlah dia seorang yang mencari rezeki. Mak Na akur.

“Ekonomi kita sekarang tak menentu long. Barang makin lama makin naik. Kamu pun belum tentu habis belajar terus dapat kerja elok-elok. Kerja pun susah nak dapat. Nanti entah cukup entah tidak gaji kamu nak menampung diri kamu lagi, adik-adik lagi.” Pak Da berhujah panjang.

Jia masih tersenyum macam tadi. Mata beningnya menatap wajah tua Pak Da. “Abah dengan mak doakan yang baik-baik untuk along. InsyaAllah Dia bantu. Lagipun niat along nak tolong mak dengan abah. Mesti Allah bukakan jalannya nanti.”

“Mak setiap masa doakan kamu long. Bukan kamu je. Adik-adik kamu sekali.”

“Terima kasih mak.” Laju Jia meraih tangan Mak Na. Dipeluk kemas leher Mak Na sambil kepalanya dilentok ke bahu tua itu. Jia memang manja. Sungguhpun dia yang sulung.

“Abah.” Jia memanggil Pak Da lembut.

Pak Da menoleh ke arah Jia.

“Along janji, along akan jaga mak abah dan adik-adik. Along janji.” Jia senyum lagi lebar dari tadi. Mukanya penuh semangat. Pak Da diam, membantah tidak mengiyakan pun tidak.

Bukan dia tak seronok dengar angan-angan Jia. Cuma, kalau nak diikutkan hatinya biarlah dia yang menyara dan menanggung semua anaknya sampai mereka boleh berdikari sendiri. Itu tanggungjawabnya sebagai bapa.

******

“Abah…” Sapaan Liya dari belakang buat Pak Da tersentak. Diraup kasar mukanya sebelum berpaling ke belakang memandang Liya. Hilang terus lamunannya tadi. Liya hulur kopi hangat kegemaran Pak Da.

Dia rasa sebak tiba-tiba. Teringat dulu selalunya Jia yang rajin nak buatkan kopi hangat tanpa gula kegemarannya.

Liya tenung Pak Da pelik. Menyedari tenungan Liya, laju Pak Da menyambut huluran Liya.

Liya duduk di sebelah Pak Da. “Abah ingat dekat along ke?”

Pak Da sandarkan badan ke dinding papan rumah. Kopi tadi dihirup perlahan sebelum menjawab pertanyaan Liya. “Mak ayah mana yang lupakan anak. Anak je yang selalu lupakan mak ayah.”

Liya diam. Faham kesedihan di hati Pak Da. Bukan Pak Da sahaja yang dirundung duka. Dia pun terasa tempiasnya sekali. Maklumlah dari kecil dia sangat akrab dengan Jia. Macam belangkas. Ke mana Jia pergi dia ikut. Di mana Jia ada, dia ada juga.

Cuma bila Jia masuk universiti, sesekali sahaja dapat berkepit dengan Jia. Maklumlah menunggu cuti semester. Memang masa itu sungguh-sungguh dia mengekori Jia. Jia kan kesayangan dia. Kesayangan mak abah juga.

Tapi itu dulu. Sebelum Jia berjaya, ada nama ada harta. Tapi lama-lama keseronokan dan kemewahan yang Jia ada buat Jia makin lama makin jauh dan makin hilang dari pandangan.

Lagi bertambah sedih apabila Mak Na pergi dijemput Ilahi 5 tahun lalu. Jangankan menjenguk balik kampung, telefon pun sudah tiada lagi.

Liya cuba-cuba juga sesekali menelefon Jia tapi panggilannya tak pernah berjawab. Kadang, demi nak sedapkan hati, Jia selalu cakap pada dirinya, along tak pernah lupakan dia dan abah, mungkin suami along yang tak benarkan.

Maklumlah, suami Jia usahawan berjaya. Berpangkat lagi. Dia dan abah cuma orang kampung. Isteri kena ikut telunjuk suami. Tapi, bukan ke isteri punya hak juga. Kusut juga Liya bila fikirkan soal Jia.

Rasa berdosa juga dia kadang-kadang bila macam-macam andaian dibuat. Tapi hati dan matanya sungguh tak betah tengok Pak Da lalui hari-hari tuanya tanpa perhatian seorang anak.

Sebab Liya tahu sebaik apa pun Liya takkan mampu hilangkan kekosongan di hati Pak Da. Kekosongan yang ditinggalkan Jia.

******

“Liya, terimalah Luqman.”

Liya jatuhkan pandangan pada wajah Pak Da. “Apa abah tiba-tiba sebut pasal Luqman ni?” Soal Liya mendatar. Sebenarnya, sungguh dia tak berminat nak membuka topik yang satu ini.

“Jangan fikirkan abah sangat. Fikirkan masa depan Liya. Umur abah dah tak lama Liya.” Sayu Pak Da bersuara.

Melihat Liya yang diam tak berkutik, Pak Da sambung lagi kata-katanya, “Jangan disebabkan abah, Liya hilang kebahagiaan Liya. Abah tak nak anak-anak abah korbankan kebahagiaan sendiri demi abah. Tanggungjawab abah untuk beri kebahagiaan pada anak-anak. Lagipun kalau apa-apa terjadi pada abah, abah tahu ada orang boleh jaga Liya. Luqman tu pun baik orangnya.”

Liya tundukkan muka. Tak sanggup nak bertentang mata dengan Pak Da yang memandangnya tepat. Dia bimbang air matanya mengalir tak semena-mena.

Sebenarnya air matanya sudah ada cuma tersekat di pinggir mata. Menanti detik nak turun melewati pipi mulusnya.

Pak Da tarik nafas dalam. Kepala digelengkan. Bukan dia tak tahu Liya sedang cuba menahan tangis. Dan bukan juga dia tak tahu Liya sebenarnya memang ada hati pada Luqman. Tapi Liya terlalu memikirkan diri tuanya.

Terasa dirinya beban pada bahu anak sendiri. Pak Da bangun dari duduknya. Melihat Liya yang diam langsung tak nak meneruskan bicara, Pak Da rasa baik dia masuk tidur dulu. Matanya pun sudah berat semacam.

“Abah, Liya rela hilang seribu Luqman sekalipun asal abah tetap depan mata Liya. Pada abah, mungkin bahagia Liya pada Luqman. Tapi tak, abah. Bahagia Liya bila Liya dapat berbakti sepuas-puasnya pada abah. Liya tak sempat nak balas jasa mak. Jadi izinkan Liya balas jasa abah.” Liya mengetap bibirnya kuat.

Mati langkah kaki Pak Da. Sakit dadanya mendengar kata-kata Liya. Sakit terharu. Sejauh itu Liya fikir. Sungguh, dia sebagai seorang ayah tak pernah mengemis untuk dibalas jasa oleh seorang anak.

“Abah satu-satunya lelaki yang takkan pernah lukakan Liya. Abah cinta pertama Liya. Luqman mungkin sayangkan Liya hari ini, tapi tiada jaminan dia akan sayang Liya selamanya. Tapi abah dengan mak tak. Kasih abah dengan mak membawa ke syurga. Tolong abah. Bagi Liya keizinan untuk jaga abah dan tatang abah selagi Liya mampu.”

 

> bersambung Cinta Yang Terlupa (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Noor Faieza binti Ramli. Berasal dari Kuala Rompin, Pahang. Sedang melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda Al-Quran dan Sunnah dengan Komunikasi.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%