, ,

Cerpen: Teruskan, Aku Ada

“Apa semua ini, Inas?”

Inas cuba membaca raut wajah Amani yang jelas tampak keruhnya.

“Maksud Amani?” Inas kembali menyoal sahabat baiknya itu.

“Ini,” Amani menyuakan sekeping fail merah lantas melepaskan keluhan yang menghimpit dadanya.

Saat melihat fail itu, Inas hanya mengangguk kecil. Fahamlah dia akan segala persoalan yang bermain-main di minda Amani tika ini.

“Ada sebarang penjelasan?”

Business tetap business, Amani. Servis kita pun sudah mula mendapat tempat di mata masyarakat, lebih-lebih lagi dalam dunia korporat. Mereka mahu travel, jadi kita berikan mereka pengalaman travel itu. Lagipun, mereka tak tahu Inas ada dalam organisasi ini. Jangan risau, okey?” Inas berbicara selembutnya, tidak mahu menggoreskan hati sahabat baiknya itu.

Amani menepuk dahinya. “Inas dah lupa segala yang telah mereka lakukan pada Inas? Inas jatuh teruk dan terlantar lama tau. Tiba-tiba, Inas serahkan kertas kerja ini pada kami. Amani tak boleh nak lead projek ni. Sakit hati ni masih berbisa.”

Inas membuka helaian pertama kertas kerja yang sudah terletak di hadapannya.

“Nama Amani memang tidak ada dalam ni. Inas tahu, Amani tidak akan setuju dengan keputusan Inas. Kali ini, semua perkara berkaitan projek ini, Inas serahkan pada Saif. Dia kan CEO, biar dia uruskan semuanya. Kita kerja belakang tabir je,” terang Inas sambil ketawa kecil.

“Inas, tak kelakarlah nak ketawa waktu begini. Saif tak kata apa-apa?” Amani mula merendahkan nada suaranya.

Inas menggeleng pantas. Amani mula gelisah.

“Kalau mereka tahu Inas juga merupakan orang kuat syarikat ni, habis Inas nanti. Kalau dulu, mereka boleh singkirkan Inas dengan petik jari je, kali ni, mungkin lebih teruk lagi. Amani risau. Inas belum pulih sepenuhnya. Ustaz pun nasihat benda yang sama, elak sesuatu yang memudaratkan diri.”

Inas merenung mata Amani dengan penuh kasih sayang. Setahun terlantar atas katil, tidak berupaya melakukan sebarang kerja serta semangat untuk hidup juga hampir tiada, mana mungkin boleh dilupakan semua itu.

Tapi, takkan sentiasa nak bersembunyi dan tidak berani untuk bangun berdiri semula? Walaupun hati sudah memaafkan, jiwa belum boleh melupakan, tidak bermakna itu merupakan alasan untuk terus berselimut dalam ketakutan. Hidup masih perlu diteruskan.

“Jangan risau, Amani. Ustaz nasihat begitu supaya kita sentiasa berhati-hati. Tapi, Amani perlu ambil kata-kata ustaz yang awalnya juga.”

Amani berkerut tidak mengerti bicara Inas.

“Istikarah jangan tinggal. Itu adalah tali kita berhubung dengan Allah. Istikarah adalah senjata yang hebat, bisa membuka pintu segala rahsia, dengan izin dari Allah, pemilik segala rahsia itu. Jangan tinggal walau sehari. Setelah istikarah, teruskan berjalan dan jika berat rasanya untuk ditempuhi, elakkan perkara itu, khuatir mudarat pada diri,” bicaranya sambil terus tersenyum.

“Kuatnya dirimu, Inas. Jika Amani di tempat Inas, Amani tak tahu apa yang akan Amani lakukan. Amani tolak je kot client macam ni. Dahlah buat kita sakit, main pula dengan benda-benda khurafat. Walaupun dah setahun lebih berlalu, masih terasa seperti semalam sahaja berlakunya semua tu.”

Inas mengenggam lembut tangan sahabatnya.

“Allah tidak akan uji kita di luar kemampuan kita. Inas tak kuat mana pun, Amani. Tapi Inas perlu menjadi kuat agar boleh terus lalui hidup ni. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu, jika umat itu tidak mahu berusaha untuk mengubah diri mereka sendiri. Jadi, kalau Inas tidak mahu berusaha menjadi kuat, macam mana Allah nak bantu Inas untuk kuat? Lagipun, banyak hikmahnya sakit Inas ini. Inas lebih tenang sekarang, jauh lebih tenang daripada hidup Inas yang dulu. Kalau Allah tak izinkan Inas sakit, adakah kehidupan Inas sekarang ni semakin dekat atau jauh dari-Nya?”

“Kita terus berserah pada Allah. Projek ini juga adalah rezeki dan amanah dari-Nya yang tidak boleh kita persiakan. Jika banyak buruknya projek ini pada kita semua, Allah akan gagalkan segala persiapan projek ini. Jangan risau, Allah ada. Inas yakin,” sambungnya lagi.

“Baiklah Inas, Amani akur. Tapi jika mereka sakitkan Inas lagi dengan guna benda-benda syirik tu, Amani tidak akan berdiam diri,” nadanya kembali tegas.

“Amani, kita ada Allah. Allah itu lagi berkuasa dari mereka dan segala benda syirik itu. Serahkan semuanya pada Allah. Kita usahakan yang terbaik sahaja, okey?”

Amani menggangguk spontan. Kali ini, dia benar-benar akur dan reda dengan keputusan yang telah dibuat oleh Inas.

“Bagus! Amani pun ada sekali. Saya perlukan cadangan yang bernas daripada kamu berdua!” Saif muncul secara tiba-tiba. Inas dan Amani saling berpandangan.

“Kamu berdua baik-baik sahaja, kan? Sekarang ni memang waktu mesyuarat kita, kan Inas?” Bebola mata Saif menari-nari memandang Inas, kemudiannya Amani. Dia berkira-kira jika dia sudah tersalah waktu, tapi ikutkan mesej yang dihantar Inas pagi tadi, memang waktu sekarang ini adalah untuk perbincangan.

“Cadangan untuk projek mana?” Amani mula bersuara.

Saif menghembuskan nafas lega saat Amani memberi respons.

“Projek Kembara Petra. Kertas kerjanya sudah ada atas meja ni. Mereka mahukan konsep yang sedikit berbeza daripada konsep travel yang kita ada. Saya dah buntu. Saya perlukan bantuan kamu berdua. Boleh?”

Amani menelan air liurnya. ‘Kalau bukan kerana Inas, sesekali tidak akan aku sentuh projek ini.’

“Boleh, Saif. Cuba Saif perincikan permintaan Petra tu. Kita kembangkan idea daripada situ,” Inas kembali bersemangat. Melancong atau mengembara adalah minatnya dari dulu lagi. Kerana minatnya inilah, dia cuba bangkit dari tidurnya yang terlalu lama.

Kerana masih mempunyai trauma yang sedikit, dia tidak mahu bekerja lagi di bawah orang lain, jadi, dia harus berusaha untuk menjadi orang di atas. Biar segala macam ketakutan yang menghampiri, dia perlu laluinya juga, dengan adanya Allah di hatinya.

“Pesan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, kalian harus sentiasa reda kepada Allah dalam keadaan senang mahupun susah, dalam keadaan baik mahupun buruk, sihat ataupun sakit, kaya mahupun miskin, dan dalam keadaan berjaya ataupun gagal. Aku tidak melihat ubat yang baik bagi kalian selain berserah diri kepada-Nya. Jika Allah mentakdirkan sesuatu itu bagi kalian, janganlah takut. Janganlah mengeluh kepada selain-Nya, sebab itu boleh menyebabkan bencana bagi kalian. Tenang dan diamlah! Jika kalian reda, Allah akan mengubah kesusahan kalian menjadi kebahagiaan!”

Masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya, bait nasihat yang diberikan Ustaz Hanafi padanya, saat pertama kali dirinya dirawat. ‘Ya Allah, aku tidak kuat, bantulah aku untuk terus kuat, sentiasa reda, dan bergantung harap hanya pada-Mu.’

Di sebalik niqab itu, tersenyumnya sendiri saat melihat Saif dan Amani yang tekun menyiapkan rangka akhir kertas kerja Projek Kembara Petra. Meskipun tiada sesiapa yang melihat senyumannya itu, sinar matanya sahaja sudah cukup menggambarkan dia sedang bahagia.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%