, ,

Cerpen: Tebuk Ke Syurga (Bahagian 2-akhir)

Ukhti…” Kedengaran suara serak di corong telefon. Di hadapan Hannan, duduk seorang gadis dalam lingkungan 20-an, tinggi lampai, berkulit putih kemerah-merahan, riak wajah yang tenang.

Mereka dipisahkan oleh sebuah cermin kaca. Hanya bisa berhubung melalui talian telefon yang disediakan.

“Insyirah… doakan ana, tak pernah sekali pun dalam hidup ana, akan terlintas untuk sampai ke tahap ni, sesuatu yang tak disangka-sangka. Pasti ada hikmah yang sangat besar Allah mahu tunjukkan pada kita, kan ukhti?”

Insyirah tidak dapat mengawal tangisnya. Sayu hatinya melihat tubuh Hannan yang cengkung dan matanya yang lebam serta wajahnya yang penuh kesan calar-balar dan entah apa lagi kesakitan dalaman yang dihadapinya.

Melihat wajah Hannan yang masih mampu melemparkan senyuman terhadapnya, Insyi maklum bahawa Hannan benar-benar seorang daieyah yang meyakini pertemuannya dengan Yang Maha Esa.

Perlahan dia memaksa dirinya menuturkan, “Kita jumpa di syurga ya, Insyi. Kita sambung tebuk hafazan enti di syurga nanti, insyaAllah.”

Senyap. Talian diputuskan. Yang didengari hanyalah hembusan nafasnya sendiri. Hannan bangkit dari kerusi sambil berdiri menghadap Insyirah di hadapannya.

Perlahan dilekapkan tangannya kepada cermin yang memisahkan mereka. Serentak Insyirah melekapkan tangannya di cermin, seakan mereka berpegangan tangan buat kali terakhir, buat selamanya di dunia.

******

Ukhti,” Hannan mengesat air mata yang jatuh membasahi pipi Insyirah. Usai Hannan bercerita tentang kisahnya, mereka saling berpandangan.

Insyirah menghulurkan tangannya, Hannan membalas dengan menggenggam erat tangan sahabat yang dicintainya itu.

Perlahan, Hannan menarik tubuh Insyirah ke dalam pelukannya, sambil berbisik ke telinga Insyirah, “Ana tunggu ukhti, di sini,”

******

Insyirah meraup wajahnya, debaran di dadanya masih belum reda. Dia baru sahaja bangkit dari tidurnya, bermimpi tentang sahabat yang amat dirinduinya.

Insyirah memandang kedua-dua tapak tangannya, sewaktu di dalam mimpi Hannan menggenggam erat tangannya, seakan masih dirasai.

Lama Insyirah termenung, memikirkan rasional mimpi yang dialaminya. Tidak pernah seumur hidupnya di dunia dia melihat dan merasai suasana tempat yang begitu memukau mata memandang, tidak pernah terfikir dek akal, dilihat oleh mata dan didengar oleh telinganya.

Sungguh, hatinya berkobar untuk ke sana lagi! Perlahan nafas dihela, Insyirah bangkit dari katilnya dan menuju ke bilik air.

Dalam tahajjudnya, doa dipohon sesungguhnya agar dia bisa beroleh pengakhiran yang indah seperti mana sahabatnya di Mesir.

Insyirah berjalan menuju ke hospital sambil tergesa-gesa menyarung kot putihnya. Seperti kebiasaan, dirinya perlu menyelesaikan satu tugas besar yang penting. Nyawa anak-anak dan rakyat Syria berada pada tangan Allah.

Namun akan dikerahkan seluruh usahanya untuk menyelamatkan mereka sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.

Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata kritikan berbaur sinis, salah seorang rakan sebiliknya sewaktu zaman persekolahan tingkatan 3 dahulu apabila satu ceramah kesedaran tentang saudara Islam yang ditindas kerap diadakan dua minggu sekali berturut-berturut.

Hatinya benar-benar meronta-ronta untuk membalas kritikan rakannya itu yang berbunyi, “Alahh, balik-balik ceramah pasal Palestin, Gaza, Syria, bosan tahu tak?? Benda sama je nak ulang!”

Mujur dirinya masih setahun jagung pada ketika itu. Dan pada saat ini, pedih sekali hatinya apabila teringat semula kata-kata rakan sebiliknya itu.

Sungguh, entah bila agaknya rakyat di negara berkenaan akan bangkit dari lena yang terlalu panjang itu.

“Andainya dirimu berada di tempat rakyat dan anak-anak Syria, Gaza atau mana-mana negara yang tertindas itu, atau ahli keluargamu adalah dalam kalangan mereka, mampu lagikah kamu tidur dengan lena sepanjang malam?” Insyirah meraup wajahnya. Entah siapa yang akan mendengar monolog dalamannya pada hari itu.

Insyirah baru sahaja selesai merawat seorang kanak-kanak Syria yang hancur kakinya akibat terkena bedilan bom Bashar Al-Assad laknatullah apabila satu gegaran kuat dirasai oleh semua warga hospital yang mereka diami.

******

Ribuan para jundullah Persatuan Keamanan Sedunia sedang melaksanakan solat jenazah ghaib untuk dua orang serikandi mereka yang baru sahaja terkorban di medan jihad masing-masing.

Pejabat Urusan mereka sesak dengan kehadiran para ikhwah dan akhwat. Kelihatan para akhwat ada yang berpelukan sesama sendiri dan menangis dengan pemergian dua orang srikandi hebat itu. Hari itu, sekali lagi mereka kehilangan permata yang terlalu berharga.

******

Seorang gadis bertudung warna hijau muda pucuk pisang sedang duduk di atas rumput yang menghijau bersama dengan sahabat-sahabatnya.

Masing-masing sedang tenggelam bersama ayat-ayat cinta daripada Tuhan yang sedang dibaca.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bersuara perlahan, “Mesti kak Insyi dengan Kak Hannan sedang sambung tebuk hafazan masing-masing di syurga sekarang, kan?”

Izzah mendongak ke langit sambil mengajukan soalan kepada akhwat sehalaqahnya. Serentak mereka berpandangan antara satu sama lain sambil menghadiahkan senyuman.

“InsyaAllah ukhti,” salah seorang daripada mereka membalas. Kolam mata Izzah yang terbentuk sedari tadi tumpah jua akhirnya.

 

> Tamat Cerpen: Tebuk Ke Syurga (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Baiduri Faridah (nama pena). Ikuti perkembangan beliau di blog baidurifaridah.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%