, ,

Cerpen: Tebuk Ke Syurga (Bahagian 1)

“Kenapa pandang macam tu? Enti tahu tak tu pandangan maut?” Hannan mengomel. Insyirah tergelak kecil.

Sambil membetulkan duduk, Insyirah menyelak halaman seterusnya untuk menebuk si hafizah ayu di hadapannya. Sememangnya dia sengaja mahu mengusik sahabat tersayang yang sentiasa dirindui selamanya itu.

Ukhti… macam mana enti boleh berada dalam golongan yang sedikit ni?” Insyirah menyoal Hannan usai habis menebuk hafazannya. Hannan yang sedari tadi tersenyum puas, memandang tepat ke arahnya.

******

“Baik, antunna, sebelum ana akhiri halaqah kita harini, ana nak share ibrah tentang surah Al-Anfaal ayat 12. Cuba teka ayat ni berkisar tentang kisah apa?” Hannan memandang dengan penuh kasih kepada tiap-tiap mad’u yang sedang duduk mengelilinginya dalam bulatan.

“Kak Hannan! Tentang perang Badar! Betul tak??” Izzah, anak halaqah Hannan yang proaktif itu mengangkat tinggi tangannya untuk menjawab dengan suara yang bersemangat.

“Pandai! Bagus ukhti! Kisah di mana Allah memerintahkan tenteranya, para malaikat untuk turun membantu kaum Muslimin di medan Badar. Kemenangan 313 lawan 1000 antara tentera Muslimin dan musyrikin ini benar-benar menunjukkan kekuasaanNya, juga pertolongan Allah itu amat dekat. Apabila ditanya manakah pertolongan Allah itu, katakan bahawa pertolonganNya sudah dekat. Sudah semakin hampir. Antunna, ana masih ingat kata-kata salah seorang pendakwah, penulis dan komposer terkenal tanah air yang sangat ana kagumi, yang selalu ana jadikan kekuatan untuk kuat waktu ana jatuh. Kata-katanya berbunyi, ‘Ketika pintu dunia tertutup, pintu langit terbuka.'”

Hannan tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebak di dadanya bersarang kembali. Perlahan, dia memaksa dirinya mengakhiri pertemuan mereka pada hari itu.

“Jadi, teruskan kesabaranmu, adik-adik ana yang dirahmati Allah semua. Antunna, kena terus kuat dan sabar! InsyaAllah, segala yang berlaku pada diri ana ni sebenarnya menandakan pertolongan Allah itu sudah semakin hampir.”

“Kak Hannan, jaga diri akak baik-baik, InsyaAllah, doa kami sentiasa bersama dengan akak.” Izzah memeluk erat tubuh kurus dan cengkung itu. Lama, seakan tidak mahu melepaskan pelukan itu.

“InsyaAllah enti, terus mendoakan ana ya.”

Hannan mengesat air mata yang mengalir di pipi mad’u kesayangannya itu. Dengan berat hati, dia melepaskan genggaman tangan mad’u-mad’u yang mengelilinginya. Masanya sudah hampir tiba.

Hannan menyusun kemas langkahnya menuju ke trak polis sambil dua orang polis wanita mula menggari kedua-dua belah tangannya.

Dalam perjalanan pulang ke penjara perempuan yang terletak di bumi Kinanah itu, Hannan tidak henti-henti mengucap tasbih. Perbuatannya menyelamatkan anak-anak Syria di kem pelarian di Jordan itu ternyata tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang sudah tidak mempunyai hati dan perikemanusiaan.

“Hey you, the one in black scarf!! Come here!” Seorang pegawai penjara berwajah bengis, tubuh tinggi, tegap dan sasa bersuara lantang memanggil Hannan masuk ke dalam bilik soal siasat sebaik sahaja sampai di dalam perkarangan penjara. Dengan lafaz bismillah, Hannan melangkah masuk ke dalam bilik soal siasat.

“Why do you help the Syrian refugees and build schools for them?!” Bentak pegawai penjara tersebut sambil meludah ke muka Hannan.

Hannan tertunduk. Dadanya berombak kencang. Seperti biasa, Hannan akan menjawab segala persoalan dengan yakin namun akan dibalas dengan makian dan cacian oleh pegawai penjara yang menyoalnya.

Jika tidak dipukul dengan kayu, pasti akan ada ludahan-ludahan ke mukanya dari makhluk tuhan durjana yang menyoalnya.

Hannan tidak henti-henti berdoa memohon perlindungan daripada yang Maha Esa agar makhluk-makhluk durjana di sekelilingnya itu tidak bertindak untuk melakukan sesuatu yang melampaui batas terhadapnya.

******

Di satu sudut yang lain, di sebuah bangunan di hujung kota di bumi anbiya’ itu, sekumpulan jundullah dilihat sedang berbincang sesama sendiri untuk menghadapi sesi tunjuk perasaan keesokan harinya.

Usai musyawarah, mereka melakukan solat hajat berjemaah untuk memohon kekuatan dan pertolongan Allah agar tunjuk perasaan secara aman pada hari esok, kemenangan berpihak kepada golongan yang benar.

******

Sungguh, tidak ada siapa yang akan menyangka pengakhiran gadis tinggi lampai kelahiran negeri jelapang padi itu akan berakhir di tali gantung.

Apabila kebenaran di atasi oleh kebatilan, dunia juga sunyi seakan-akan tiada apa-apa yang berlaku. Hannan tertanya-tanya di manakah hilangnya kemanusiaan di hati pemimpin-pemimpin dunia yang bertanggungjawab.

Hannan melangkah keluar dari kandang pesalah sambil diiringi dua orang pegawai polis wanita. Hannan dijatuhkan hukuman gantung atas ketidak adilan pihak yang menjatuhkan hukuman atas ‘kesalahannya.’

Mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman ke atas Penghulu sayap kiri Keamanan Sedunia itu susulan daripada rusuhan yang berlaku hingga menyebabkan beberapa orang pegawai polis mengalami cedera parah dan berlaku kehilangan nyawa dalam kalangan pihak berkuasa.

 

bersambung Cerpen: Tebuk Ke Syurga (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Baiduri Faridah (nama pena). Ikuti perkembangan beliau di blog baidurifaridah.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%