, ,

Cerpen: Setelah Hidayah Menyapa (Bahagian 2-akhir)

Salam anakanda Alex dan Syeril.

Apa khabar? Semoga anakanda berdua sihat sejahtera. Mungkin ibu sudah pergi untuk selama-lamanya daripada pangkuan anakanda berdua di saat surat ini dibaca. Anakanda marah ibu memeluk Islam, benar? Maafkan ibu… Ibu bukanlah ibu yang terbaik untuk anakanda berdua.

Ibu terbuka hidayah memeluk Islam sejak tiga tahun yang lalu, sejak ayah tiada di sisi ibu. Ibu terasa sunyi.

Sesungguhnya, hidayah Allah SWT merupakan jalan permulaan bagi mengharungi kehidupan beragama yang akhirnya akan membawa orang mukmin itu mengecapi ketenangan jiwa yang abadi. Ibu akui terasa jiwa ini tenang daripada kesunyian.

Alex dan Syeril sentiasa sibuk bekerja untuk menyara hidup. Terima kasih untuk kiriman wang setiap bulan kepada ibu. Kamu berdua anak yang baik, tapi wang bukanlah segalanya bagi ibu yang dah tua ini.

Ibu mahukan kebahagiaan daripada anak-anak dan juga cucu. Mungkin Corrie sudah besar sekarang. Rindu dia! Jangan lupa sampaikan salam pada dia dan Anne. Ibu sayang mereka.

Ibu mengenali Islam dengan sahabatmu, Alex. Sahabat zaman kecilmu, Amir Hamzah. Dia selalu menjenguk ibu walaupun ibu sentiasa memarahinya dan melarangnya datang ke rumah ibu. Katanya, kasihan melihat ibu menanti anak ibu keseorangan.

Dia mahu menemani ibu menunggu kamu. Setiap hari, dia akan menghantar makanan kepada ibu. Dia akan datang bersama anaknya yang comel, namanya Amira. Mungkin Amira sebaya Corrie.

Pada mulanya ibu membuang makanan yang dibawanya. Ibu benci kepada dia! Namun begitu, hati ibu sudah lembut mungkin dengan kesabarannya. Isterinya pun baik, selalu bertegur sapa setiap kali berjumpa.

Tetapi ibu selalu mencampakkan segala pemberian dan sering memarahi mereka. Tetapi mereka terus menyantuni ibu sebagai jiran mereka kerana ini adalah tuntutan Islam dalam hak berjiran.

Pada suatu hari, beg ibu diragut dalam perjalanan pulang ke rumah. Ibu cuba menyerang kembali peragut itu, tetapi tidak terdaya. Ibu jatuh dan pengsan. Alhamdulillah Amir dan isterinya menolong ibu.

Dia membawa ibu ke hospital dan menjaga ibu seperti ibunya sendiri. Alangkah bahagianya hati ibu jika Amir itu ialah Alex dan Syeril.

Nak tahu sesuatu tak? Ibu dah tak takut dengan kucing. Amira yang ajar ibu, katanya papa melarang membenci binatang. Katanya lagi, nabi suka kucing dan Amira mesti jadi macam nabi.

Indahnya didikan Islam terhadap budak sekecil itu. Budak itu tidak pernah melihat Nabi Muhammad SAW tetapi dia seolah-olah sudah mengenali Baginda.

Ibu tertarik dengan Islam sejak membaca sebuah buku milik Amir, mungkin dia tertinggal semasa menjaga ibu semasa ibu sakit. Melalui buku itu, ada sebuah kisah yang cukup menyentuh hati ibu.

Seorang wanita tua selalu menyakiti Baginda dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas,

Baginda sentiasa bersabar. Akhirnya apabila wanita tua itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan merawati menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

Melalui keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, wanita itu terbukalah pintu hidayah lantas wanita tua tersebut memeluk Islam di tangan Baginda sendiri.

Islam itu indah apabila ibu mengamalkan setiap ajarannya. Isteri Amir selalu mengajar ibu tanpa penat. Dia sabar dengan ibu. Allah masih baik dengan ibu, DIA menghantar keluarga Amir untuk merawat hati sunyi ibu.

DIA seterusnya menanam benih hidayah yang akhirnya bercambah di dalam hati ibu. Keluarga Amir dijadikan asbab untuk ibu meraih rahmat DIA. Ibu selalu berdoa supaya anakanda berdua serta keluarga mendapat hidayah-Nya.

Mungkin sudah terlambat untuk ayah, tapi ibu tak mahu anak-anak ibu terus hanyut dengan mengejar kemewahan dunia. Kejarlah jua hari pembalasan kita nanti, hari akhirat.

Di dalam bungkusan itu ada wasiat harta dan semua itu milik anakanda berdua. Gunakan untuk kebaikan, duit yang anakanda berdua kirim itu ibu simpan. Ibu tidak menggunakannya pun. Ini kerana duit pencen ibu masih ada.

Duit itu sudah cukup untuk ibu berbelanja untuk diri ibu seorang. Terima kasih kepada Amir sekeluarga. Kirimkan salam ibu kepada mereka. Semoga Allah membalas setiap kebaikan mereka kepada ibu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”  (Surah Al-Baqarah: 195)

Sekian sahaja coretan terakhir ibu untuk anakanda berdua. Ibu sudah lama memaafkan Adam Alex dan Hawa Syeril… Ibu tidak mahu anakanda berdua menjadi seperti Al-qamah di zaman Baginda. Semoga Allah pertemukan kita lagi. InshaaAllah… Salam sayang daripada ibu… sekian…

Semoga berjumpa di syurga, Ibu Aminah…

******

Ibu!!!

Syeril memeluk ibunya lagi. Air matanya berguguran lebih deras lagi setelah habis surat dibaca oleh Alex. Alex turut memeluk ibunya.

“ Maafkan kami…”

Bungkusan berwarna coklat dibuka oleh Alex. Dia terkejut dengan isinya. Dua buah kitab yang masih elok rupanya, tertera nama Adam Alex berwarna biru dan nama Hawa Syeril berwarna merah jambu. Itu warna kegemarannya dan adiknya. Ibu masih ingat. Alex senyum.

“ Ibu, apakah semua ini?” Desis hati Alex. Kemudian kelihatan sekeping kertas wasiat berwarna keperangan untuknya. Wasiat itu merupakan harta peninggalan ibunya untuk dirinya dan adiknya. Ibunya cuma memesan sesuatu di hujung wasiat itu:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah: 195)

‘Amir Hamzah!!! Aku mahu jumpa kamu sekarang!’ Suara hati Alex meraung.

******

“Adam, kau pernah tanya aku masa kita zaman hingusan dulu. Apa itu hidayah? Kau ingat tak? Masa zaman remaja pun kau ada tanya aku. Cuma selepas zaman sekolah, terus kita ikut haluan masing-masing.”

“Iye ke aku tanya kau? Aku tak ingat pun…”

“Ada la… kau siap jawab lagi hidayah tu apa.”

“Kau ni biar betul aku jawab. Ok, aku jawab apa?” Matanya merenung Amir.

“Ada la… kau jawab hidayah itu merupakan anugerah daripada Allah SWT. Terdiam aku saat tu. Masa tu Ustaz Jamil sedang mengajar. Ustaz tu tanya aku sebenarnya, tapi aku tak fokus sebab kau asyik bercakap je sebelah aku. Ustaz suruh kau keluar pergi tempat lain kau tak nak. Nak juga duduk dalam kelas waktu subjek tu…”

“Kau masih ingat? Setelah aku berpisah dengan kau, aku jadi benci dengan agama ni. Ibu selalu menentang dan memarahi aku berkawan dengan kau. Tetapi sekarang, aku tak salahkan ibu ajarkan aku agama gereja kerana akhirnya ibu jugalah yang ajarkan aku dan adikku ajaran yang benar.” Adam tergelak…

“Aku tak sangka kau memang sahabat yang baik. Terima kasih sebab tolong jagakan ibuku. Aku memang anak derhaka. Kalau ibu aku masih hidup, dah tentu aku kena sumpah jadi tanggang versi zaman moden.”

“Kau nak jadi batu ke sebut sumpah nak jadi tanggang tu?” Amir gelak.

“Dah! Sedekah al-Fatihah untuk ibu aku… Kau dah mula buat ayat poyo kau nak kenakan aku.”

“Maafkan saya tuan hamba. Al-fatihah untuk ibu Aminah…”

“Alamak!” Amir menepuk dahinya setelah melihat jam di tangannya. “Dah dekat Maghrib ni, jom la! Prof Adam! Giliran kau bagi tazkirah tentang ibu kepada pelajar-pelajar, jangan lupa! Kempunan mereka nanti bila kau tak datang bagi tazkirah.” Amir mengingatkan.

“Prof Amir kan ada…” Tawa Adam kedengaran lagi.

Ibu… terima kasih di atas wasiat ibu. Adam bahagia dengan jalan pilihan ibu. Hawa pun sama. Terima kasih Allah!

Ibu… inshaaAllah, kita jumpa di sana! Adam dan Hawa tak mahu menjadi seperti Al-Qamah! Kami mahu menjadi seperti Uwais Al-Qarni! Walaupun tak berbakti seperti Uwais Al-Qarni, izinkan kami berbakti dengan membaca al-Quran untuk ibu setiap hari dan mendoakan ibu.

Ibu Aminah, Al fatihah…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%