, ,

Cerpen: Setelah Hidayah Menyapa (Bahagian 1)

“APA??? Ibu masuk Islam?”

Mesej whatsapp yang diterima tadi benar-benar mengejutkannya. Bapa saudaranya, Uncle Edward telah menyampaikan berita itu.

Alex terkilan seketika. Raut wajah Syeril tunduk merenung lantai untuk menahan titisan manik jatuh keguguran di raut wajah putihnya.

Luluh jantung hati seorang anak mendengar perkhabaran yang dibawa oleh bapa saudaranya. Alex terduduk di kerusi kerjanya.

Semasa kecil, ibulah insan yang paling kuat menentang Islam. Ibulah insan yang paling membenci Islam! Ibu mengajar diriku dan adik mengenai ajaran Kristian yang memudahkan penganutnya. Setiap hari Ahad, kami akan bersama-sama pergi ke gereja.

“Tetapi, kenapa situasi sekarang berubah? Seolah-olah ada elemen magis yang menimpa ibu. Unsur magis apakah itu? Aku mahu tahu!” Detik hati Alex.

Dia mendesak dirinya untuk berfikir mengenai ini, tetapi tiada jawapan yang logik ditemui. Dia buntu dengan tanda tanya tanpa jawapan.

Syeril pula masih merenung lantai biru laut di ruang tamu rumah abangnya. Manik-manik jernih jatuh berguguran jua di pipi Syeril. Mengapa Islam jadi anutan ibunya sekarang? Arwah ayahnya menentang ajaran Islam sekeras-kerasnya.

Teringat pesanan ayahnya, agama Islam membebankan umatnya. Katanya lagi, agama itu sama sahaja dengan ajaran-ajaran sesat yang berleluasa di Malaysia sekarang. Agama langit? Terasa lucu di tangkai hatinya mendengar agama langit yang dipimpin oleh Ayah Pin yang mengaku dirinya Tuhan.

“Adik, kita harus pergi berjumpa ibu!”  Tegas Alex kepada adiknya.

Syeril segera menyapu linangan air matanya dengan kedua-dua belah tangannya. Tisu di dalam beg merahnya diambil pula dan mengelap lebihan air mata.

Setelah lama terdiam memikirkan persoalan tanpa jawapan, Alex mengambil keputusan untuk bertemu ibunya. Dia ingin memarahi ibunya. Dia ingin segera berjumpa ibunya. Lantas, kunci kereta Persona di atas meja makan itu diambilnya lalu berjalan pantas menuju ke tempat kereta merahnya.

Seketika, otaknya cuba menghadam setiap soalan yang ingin ditanya kepada ibunya nanti. Kenapa ajaran neneknya telah dikhianati oleh ibu? Adakah ibu membenci gereja?

Sikap ibunya sendiri sudah seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Ibu ajarkan aku erti agama dengan pergi ke gereja dan boleh melakukan apa sahaja di dunia ini. Tetapi aku buntu.

‘Kenapa semua ini terjadi? Kenapa Islam? Ada apa dengan Islam?’ Kata hatinya memberontak ingin tahu!

“ Ibu!!! Kenapa Islam menjadi anutanmu?” Marah Alex dengan bengisnya.

“ Ibu, kenapa ibu?” Syeril menyoal kembali.

“ Ibu ajar kami membenci Islam! Tapi kenapa sekarang Islam itu ialah ibu?” Alex menyoal lagi dengan nada lantangnya.

“ Ibu, jawablah…” Syeril bernada lembut. Dia memegang jari-jemari ibunya yang dah semakin kelihatan urat-urat tuanya.

“Maafkan ibu…” Air mata seorang ibu jatuh jua. Ibu menahan batuknya. Puan Mary menunduk mukanya ke lantai. Dia tidak berpaling. Dia masih mencari kekuatan untuk menjawab setiap soalan yang ditanya oleh dua orang anaknya ini.

Mary Aminah, itulah nama Islamnya. Dia lebih suka nama Aminah, dia teringin menjadi seperti ibu Nabi Muhammad SAW yang begitu tabah hidup tanpa seorang suami di sisinya. Suaminya telah meninggal dunia sejak lapan tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya.

Sejak itu hidupnya kesepian. Alex dan Syeril pula sibuk dengan keluarga masing-masing. Mereka mengabaikan seorang ibu yang kesepian hidup di kampung.

Mujurlah jiran-jirannya memahami dan saling bertegur-sapa walaupun dia sendiri berlagak sombong dengan mereka. Ini kerana mereka beragama Islam.

Aminah tidak menduga anaknya, Alex dan Syeril masih menentang ajaran ini. Dia akui silapnya. Dia yang mendidik dan mencurahkan ilmu mengenai ajaran Kristian.

Bebas melakukan apa sahaja asalkan setiap hari Ahad pergi ke gereja untuk menyucikan diri daripada segala dosa. Setiap hari Ahad juga akan berjumpa Paderi Martin untuk menyucikan segala dosa dan meminta air suci.

Setelah berlalunya hari Ahad, hari kemudiannya melakukan lagi perbuatan yang mengundang dosa.

Maksiat berleluasa, zina berleluasa, pergaulan bebas dan budaya barat menjadi ikutan generasi muda pada hari ini. Aminah menyedari itu semua wadah yang mengundang dosa besar dalam ajaran Islam.

“Aku juga berdosa mengajar anak-anakku begitu.” Desis hati Aminah hiba.

Sudah lima tahun anaknya tidak menjenguk dirinya di kampung. Mungkin mereka sibuk di sana. Aminah sentiasa menanti anaknya pulang ke pangkuannya. Dia merindui cucu sulungnya, Corrie. Mungkin Corrie sudah bersekolah sekarang. Rindunya…

Pada hari ini, Alex dan Syeril datang tanpa khabar berita terlebih dahulu. Hatinya sudah menduga, keislamannya ini pasti mengundang amarah di hati mereka. Keislamannya ini pasti terbongkar jua. Tiada lagi istilah biarlah rahsia. Takdir ini sudah ditentukan oleh DIA.

Aminah masih menatap wajah Alex dan Syeril tanpa berkelip. Batuknya kedengaran lagi, semakin lama semakin teruk batuknya.

“Ibu, Syeril nak ibu menganut agama asal kita kembali.” Pujuk Syeril dalam nada lembutnya.

“Siapa dah merasuk ibu menganut agama ini?” Alex bertanya. Dia rimas dengan ibunya yang masih mendiamkan diri. Tak mahu menjawab sebarang soalan. Hanya batuknya sahaja kedengaran.

‘Ibu sakit?’ Bisikan hatinya menerjah otaknya.

Batuk Aminah kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat. Semakin kuat membingit telinga yang mendengar. Aminah menahan tapak tangan kanannya ke mulut untuk memperlahankan bunyi batuknya.

Syeril dan Alex terdiam. Timbul kasihan di hati mereka melihat ibunya yang uzur begitu. Sudah lima tahun tidak menjenguk ibu. Rambut ibu sudah memutih di kepala. Uban putih dah menghilangkan hitamnya rambut ibu suatu ketika dulu.

Aminah akhirnya menjawab, “Tiada sesiapa yang merasuk fikiran ibu. Ibu reda dengan semua ini. Ibu reda anak ibu menjadi anak tak mengenang budi. Ibu malu mempunyai dua orang anak yang seperti kacang lupakan kulitnya. Mungkin salah ibu sendiri yang tidak pandai menjaga dan mendidik anak-anak ibu.”

Perlahan demi perlahan ibu menjawab disusuli dengan batuknya.

Alex terduduk dengan jawapan ibu. Air mata Syeril sudah bergenang keluar lagi. Aminah meneruskan.

“Kenapa ibu memeluk Islam? Jawapannya nanti. Kamu berdua akan tahu nanti.”

“Ibu masih nak mengamalkan ajaran Islam?” Alex terus mendesak.

“Ibu tidak akan menukar lagi agama ini kerana Islam itu agama suci milik Allah pencipta alam semesta ini. Hanya DIA yang lebih berhak kita sembah. Agama Islam ini lebih suci daripada agama Kristian!”

Lantang suara ibu menuturkannya.“Tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah!!!”

Panggg… Alex terus menampar pipi mulus ibunya. Terduduk ibunya. Titisan darah membasahi pipinya. Ibunya jatuh pengsan.

“Abanggg!!!” Kelihatan setompok darah di tapak tangan ibunya. ‘Ibu sakit?’ Syeril menduga.

******

“Maaf… ibu Aminah sudah pergi meninggalkan kita. Penyakitnya dah tahap kronik.”

“Ibu saya menghidap penyakit apa sebenarnya?” Syeril bertanya.

“Barah otak…”

“ Abang… Kita berdosa pada ibu. Kita mengabaikan ibu keseorangan di kampung.” Syeril terus memeluk Alex.

“Ibu!!! Ampunkan kami.” Alex dan Syeril mencium pipi ibunya yang sudah tidak bernyawa lagi. Mereka berdua menangis penuh penyesalan.

“Ibu awak berdua dah memaafkan segala kesalahan awak berdua. Tuhan lebih menyayangi dirinya. Bersabarlah.”

Pesan Dr. Lina yang ayu bertudung hijau pucuk pisang. “Ini surat dan bungkusan daripada ibu untuk awak berdua.”

“Surat dan bungkusan?” Mungkin ada amanah ibu. Detik hati Syeril.

“Terima kasih doktor.” Alex mengambil surat tersebut lalu membacanya dengan suara yang kuat supaya Syeril boleh mengetahui isi kandungan surat tersebut.

 

 > bersambung Cerpen: Hidayah Menyapa (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%