, ,

Cerpen: Gugur Rindu (bahagian 1)

Lihat bunga-bunga yang gugur itu,
Terang tiada melayang sepetang,
Bila rasa yang ada tak bisa luntur,
Ke mana perlu halaku merintih tenang,

Mata biar jauh mengimbau lampau,
Saratnya pasti memori linang,
Untailah kata berangkai kata,
Moga dilihat senang dirindu kenang,

DANIAL, sahabat baikku sejak alam persekolahan melipatkan baju dan memasukkannya ke dalam kantung beg.

Menyambungkan pelajaran di Mesir dalam bidang agama adalah citarasa yang aneh sekali bagiku dalam memulakan dunia mahasiswa.

“Kita akan berpisah agak jauh, harap kau membuat keputusan yang tepat,” pesan Danial seolah berat untuk melepaskanku pergi.

Sahabatku itu seperti kesedihan kerana aku memilih jalan ini. Walaupun kami tidak sedarah sedaging, akan tetapi hubungan kami bagai air yang dicencang takkan putus.

“Sepatutnya kau harus berbahagia kerana aku sudah menginjak sehingga ke peringkat ini tahu,” aku memuncungkan bibir.

“Baiklah Fikri, jangan lupa kirimkan salam aku kepada Naqqiudin yang katanya belajar di sana juga.” Danial membalas dengan agak sebak.

Hampir dua bulan berada di Mesir. Rasanya terasing. Aku menunggu di bawah pepohon palma tamar yang gemuk sementara menanti pelajar-pelajar Islam Selangor yang lain keluar dari dewan ujian kelayakan bahasa Arab di Markaz Syeikh Zayed.

Cuaca sangat terik membuatkan baju Melayu yang dipakaiku melencun. Mataku ralit memerhati ke arah monumen piramid kecil yang kelihatan utuh.

“Assalamualaikum Fikri, lamanya tak berjumpa,” seorang lelaki menyapaku.

“Eh, Naqqiudin. Waalaikumussalam. Iya lama sudah kita tidak bertemu. Selama ini kita hanya berhubung di mukabuku aja bukan. Aku fikir kau sambung belajar di Malaysia,” balasku.

“Sebenarnya sejak aku dapat tahu yang kau ingin sambung belajar di Mesir, aku menolak tawaran untuk belajar di UIA dalam bidang Kesusasteraan,” akui Naqqiudin.

“Tak sangka sampai begitu sekali kau bersemangat ikut aku,” tuturku teruja.

Aku membundarkan mata dan jantungku berdegup. Wajah Naqqiudin seiras Danial, bagai pelanduk dua rupa. Suara Naqqiudin tiga tahun yang lalu bergomol dan mengapung kedengaran.

Kami bertemu di saringan akhir Pertandingan Debat Piala Menteri di Pahang. Naqqiudin wakil dari negeri Perak manakala aku wakil dari kontigen Selangor.

Naqqiudin juga berjaya merangkul gelaran pendebat terbaik keseluruhan mengalahkan timku.

Kelihatan Pelajar Islam Selangor berpusu-pusu keluar dari dewan. Masa sangat terhad untuk kami berbual tambahan asrama bangunan Selangor agak jauh dari asrama bangunan Perak.

“Aku pulang dulu Naqqi,” kataku. Aku sempat memberi nombor telefonku dan berfoto sebentar.

Tinggg…

Bunyi telefonku bergenta menanda ada mesej yang merempuh masuk aplikasi media sosial, Whatsappku. Ketika itu aku baru sahaja keluar dari tandas.

DANIAL : Fikri, kenapa kau sudah tak mesej aku. Kau dah lupa aku ke. Kau memang tak menghargai aku kan. Kalau beginilah sikap kau, semua orang tak hendak berkawan dengan kau tahu.

Aku mengetap bibir. Kata-kata Danial benar-benar menjolok lubuk kesabaranku.

FIKRI : Kau ingat aku ini apa? Memanglah kita sahabat baik tetapi takkanlah aku hendak melekat dengan kau selamanya. Lagipun aku sudah berada di Mesir.

Belum sempat aku membalas, aku sudah disekat oleh Danial. Sifat sensitif yang luar biasanya sukar dijangka dan dikawal.

Di asrama rumah Selangor, lama sudah Danial tidak menghubungiku. Begitulah ragam hidupku yang gemar bersendirian, menatap kepulan awan kelabu yang bercapuk-capuk, tiba-tiba ketua rumah memanggilku.

“Fikri, ada tetamu di bawah,” panggil Ustaz Humaidah.

Kelibat Naqqiudin sudah menunggu di Kafetaria Selangor. Terdapat sekeping fail berwarna hijau terbaring melentang di permukaan meja.

“Ehh Naqiuddin. Lama menunggu?” Aku mengambil tempat duduk bertentang mata dengannya.

“Aa datang pun. Tidak lama pun hanya sepuluh minit. Maaflah lama sudah kita tidak menanya khabar.” Naqqiudin mengeluarkan sehelai kertas dari fail.

“Sebenarnya aku berhasrat untuk mengajak kau menyertai Debat Piala Duta Besar di Iskandariah minggu depan. Kau berminat?” Soal Naqqiudin.

“Kalau benar-benar bermanfaat, aku boleh saja.” Fikri menyibak dan menyeluruhi topik perdebatan di kertas.

“Baguslah begitu, kau ada kawan lagi seorang untuk cukupkan kumpulan kita?” Soal Naqqiudin.

“Sekejap aku tanya Syazwan. Dia antara pendebat  yang hebat juga.”

“Okei, kita namakan kumpulan kita Pendebat Muda Al-Azhar.”

Seminggu lebih kami berlatih, sepanjang bertolak ke Iskandariah menaiki kereta api ayam, ustaz Humaidah menjadi pembimbing kami di sana.

Iskandariah bandar sejarah yang sangat menggiurkan – didirikan oleh anak Raja Philips jua merupakan anak didikan Aristotle iaitu Alexander The Great.

Iskandariah juga menyimpan kisah cinta hangat firaun terakhir, Cleopatra. Kemudian bandar ini menjadi portfolio terakhir yang ditawan oleh junta tentera muslimin pimpinan Amru Al-Asr.

“Mereka dari universiti mana, datang lambat betul.” Bunyi sosek-sosek kedengaran. Aku terluka mendengar, Naqqiudin tenang sahaja dan Syazwan mulai mencuka.

“Dari Universiti Al-Azhar?” tebak Syazwan dengan mulutnya yang murai membuatkan terlongo mulut mereka.

 

> bersambung Cerpen: Gugur Rindu (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%